Bab 31
Kepala didonggak ke atas memandang
langit biru yang luas terbentang. Kepulan awan berarak perlahan merentasi
pandangan. Sungguh damai rasanya angin yang bertiup kencang ketika ini. Namun
semua itu masih lagi tidak mampu menghilangkan resah dihati. Sekali lagi Eera
melepaskan keluhan berat. Terasa sesak otaknya memikir pekara yang dilaluinya.
Lepas satu, satu masalah yang datang menimpa dirinya. Selepas ini entah apa
pula yang bakal berlaku pada dirinya.
Kedudukan diatas kerusi dibetulkan.
Sejak diperkenalkan lelaki tersebut oleh bapa mertuanya sebentar tadi, Eera
terus menghilangkan diri ke sini. Waktu kerja juga sudah tidak dihiraukan lagi.
Tingkat paling atas bangunan pejabatnya itu dinaiki walaupun ia merupakan kawasan
larangan bagi pekerja-pekerja biasa sepertinya. Eera terfikir sejenak. Kenapakah
mereka harus berjumpa lagi? Eera rasakan pertemuan ini bukanlah sesuatu yang
menggembirakan. Malah luka lama datang kembali.
Haidar Adnan. Itulah nama jejaka yang
sudah lama ingin dilupakan olehnya. Walaupun setahun lebih masa berganjak, Eera
masih lagi belum mampu membuang nama itu terus dari ruangan hatinya.
Berkali-kali dicuba, namun hati ini tetap degil. Rupanya masih ada sedikit rasa
yang masih bersisa di situ. Apakah yang harus dia lakukan? Sungguh. Dia
betul-betul keliru.
Sekali lagi Eera membuang pandang
kearah hadapan sambil memandang bangunan-bangunan pencangkar langit yang
terdapat di sekelili bangunan yang didudukinya ketika ini. Dia masih teringat
bagaimana Dato Azrul mengenalkannya kepada Haidar sebentar tadi. Fikiran Eera
mula mengerawang terhadap peristiwa itu.
****
Muka Eera kelihatan pucat sebaik sahaja
memandang muka lelaki dihadapannya itu. Dia begitu terkejut akan pertemuan
tersebut sehinggakan seluruh badan terasa kaku dan dahinya mula berpeluh. Bagaikan
mimpi sahaja yang mereka akan bertemu lagi dan yang lebih penting, ketika ini.
Kedengaran suara Dato Azrul memecah
kesunyian. “Sya. Ini papa hendak kenalkan Sya dengan anak papa Haidar.” Muka
Eera dipandangnya sebaik sahaja menyebut nama anaknya itu tanpa sebarang syak.
Sudah lama rasanya dia ingin kenalkan Haidar kepada menantunya itu. Tetapi semasa
Haikal dan Eera berkahwin tempoh hari, Haidar masih tiada di Malaysia. Kalau
ada pun, sudah pasti Haidar tidak akan menghadirinya. Kerana hubungan Haidar
dan Haikal masih belum pulih lagi.
Eera masih lagi kaku berdiri di situ
sambil memandang wajah lelaki di hadapannya yang persis wajah Haikal. Sungguh.
Dia kenal wajah tersebut walaupun hanya mempunyai sedikit perbezaan dengan
wajah Haikal. Lelaki itu mengenakan kaca mata dan wajahnya sedikit cengkung.
Tambah mengukuhkan lagi adalah nama yang baru disebut oleh Dato Azrul sebentar
tadi.
“Sya?” Dato Azrul kehairanan apabila
Eera seolah-olah berkhayal sehinggakan tiada langsung tindak balas darinya. Apa
yang dicakapkan sebentar tadi hanya dibiar sepi begitu sahaja. Wajah itu
kelihatan pucat berbanding sebentar tadi.
Dalam masa yang sama, Haidar yang baru
terpandang wajah Eera juga tergamam. Ditenungnya wajah bujur sirih itu dengan
perasaan yang tidak menentu. Benarkah apa yang dipandangnya ketika ini? Adakah
wanita yang di hadapannya itu adalah orang yang sama?
“Sya? Kenapa ni? Muka Nampak pucat.”
Dato Azrul menegur menantunya itu dengan risau. Sebentar tadi elok sahaja pada
pandangannya. Kenapa dalam sekelip mata boleh berubah pula? Risau pula
kalau-kalau ada yang tidak kena dengan Eera.
“Hai! Saya Haidar Adnan. Selamat
berkenalan.” Haidar cuba memecah kebisuan yang tercipta. Sebaik mungkin dia
tidak mahu papanya menyedari apa yang berlaku diantara mereka. Belum tiba
masanya lagi. Lagipun dia perlu menerangkan apa yang sepatutnya kepada Eera supaya
semuanya terungkai. Masih ada yang belum selesai.
“Haidar. Ini papa hendak kenalkan kakak
ipar kamu. Syazeera.” Dato Azrul pula mencelah apabila melihat tiada
tanda-tanda yang Eera akan bersuara. Terus sahaja Eera diperkenalkan.
Kali ini Haidar sekali lagi terkejut
mendengar perkataan yang keluar dari mulut papanya itu. Rasanya dia tidak silap
dengar. Pantas wajah Dato Azrul dipandang meminta kepastian. Benarkah Eera
merupakan kakak iparnya? Isteri Haikal? Biar betul. Anggukkan dari Dato Azrul
mengukuhkan lagi tafsirannya sebentar tadi. Sungguh dia terkejut akan berita
tersebut.
“Kakak ipar?” Perkataan itu meniti di
bibir Haidar pula kali ini untuk meminta kepastian dari papanya walaupun
sebentar tadi Dato Azrul telah memastikannya dengan anggukan. Dia mengharapkan
semua itu adalah tidak benar.
“Yelah. Inilah kakak ipar kamu.” Dato
Azrul kehairanan. Sudah diberitahu masih ingin bertanya lagi. Apa yang tidak
kena pun dia tidak tahu dengan anaknya yang seorang ini. Sudahlah Eera dari
tadi hanya membisu sahaja. Muka pula kelihatan pucat sahaja. Adakah menantunya
itu sakit? Tetapi bila ditanya tidak pula berjawab.
“Sudah lah. Mari duduk sana. Sudah lama
papa tidak berjumpa dengan anak papa ini.” Dato Azrul ingin menamatkan
persoalan yang berlegar didalam kotak fikirannya. Bikin serabut sahaja. Langkah
diatur kearah sofa lalu dilabuhkan punggung di situ. Manakala Haidar pula
mengikuti papanya dari belakang. Sebaik sahaja melintasi Eera, riak muka serba
salah dan penuh persoalan dipamerkan.
“Sya.. kenapa berdiri di situ lagi?
marilah duduk sini.” Dato Azrul menegur Eera sebaik sahaja sedar akan Eera yang
masih berdiri kaku di situ.
“Hah?” Eera tersentak dengan teguran
Dato Azrul itu. Jauh sungguh dia mengelamun sebentar tadi. “Err... tak apalah
papa. Papa sembanglah dulu dengan Haidar. Sya ada kerja sedikit hendak diselesaikan.
Sya minta diri dahulu.” Eera memberi alasan. Harap-harap Dato Azrul mempercayainya.
Lagipun secepat mungkin dia ingin lenyap dari sini.
“Hmmm... Kalau macam itu, tak apalah.
Nanti kalau ada apa-apa yang Sya perlu, Sya carilah papa di sini.” Dato Azrul memberi
kebenaran. Mungkin Eera masih belum bersedia untuk berbual mesra dengan Haidar
agaknya.
“Baiklah papa. Sya pergi dahulu. Assalammualaikum.”
Tanpa berlenggah dan menunggu balasan salam, terus sahaja Eera melangkah keluar
dari bilik kerja Dato Azrul dengan diiringgi padangan dari sepasang mata yang
masih tertancap padanya. Siapa lagi kalau bukannya Haidar. Bagi Haidar,
segala-galanya perlu dirungkaikan dengan segera.
“Ehem!”
Kedengaran ada suara lelaki berdehem dari
arah belakang dan mengejutkan Eera dari lamunan terhadap pertemuannya dengan
Haidar sebentar tadi. ‘Ish! Siapa pula yang mengganggu ni?’ rungut Eera didalam
hati. Hatinya sudah berdongkol geram.
Dengan perasaan tidak berpuas hati,
Eera mengalihkan pandangannya untuk mencari pemilik suara tersebut. Sangkanya
tempat ini sudah cukup tenang untuk lari dari sebarang gangguan. Tetapi
ternyata tidak. Masih ada lagi orang yang dapat mengganggunya.
Sebaik sahaja mata Eera tertacap pada
wajah pemilik suara tersebut, hatinya semakin bertambah geram. Puas sudah dia
cuba melarikan diri dari lelaki tersebut. Tetapi wajah itu tetap hadir lagi
dalam pandangannya. Siapa lagi lelaki tersebut kalau bukan Haidar Adnan. Lelaki
yang pernah melukakan hatinya dengan menghilangkan diri tanpa berita.
“Jauh termenung? Sudah sampai mana?”
Haidar memulakan bicara untuk memecah kesunyian. Dia tahu, sekiranya dia tidak
memulakan, Eera pasti tidak ingin bercakap dengannya.
Eera mencebik. Dia tahu yang lelaki itu
sedang memerlinya. ‘Kalau aku hendak mengelamun pun apa salahnya?’ bisik Eera
didalam hati. Lagipun dia merasakan dia tidak menganggu sesiapa pun di sini.
Disebabkan malas untuk bersoal jawab,
Eera terus berdiri dan ingin berlalu dari situ. Risau pula pergaduhan bakal
tercetus sekiranya dia masih di sini. Apa-apa pun boleh berlaku sekiranya kita
sentiasa mengikuti hati yang sedang marah.
Baru sahaja ingin mengorak langkah,
lengannya sudah dicengkam kemas oleh Haidar. Dia tersentak. Berani betul Haidar
bertindak seperti itu terhadapnya. Pantas sahaja darah mendidih menyerbu naik
ke kepala menandakan dia sedang marah.
“Ish! Lepas la!” Suara Eera sedikit
lantang memarahi Haidar sambil merentap kuat lengannya dari pegangan lelaki
tersebut. Walaupun suaranya sebentar tadi tidaklah sekuat mana, tetapi cukuplah
dengan menunjukkan ketidak puasan hatinya di situ.
“Please Eera. Anan minta Eera dengar
dulu penjelasan dari Anan terlebih dahulu.” Terus sahaja Haidar merayu. Wajah
itu kelihatan mendung sahaja sambil matanya merenung tajam kedalam anak mata
Eera untuk memohon simpati.
“Apa lagi yang Anan nak? Antara kita
sudah tidak ada apa-apa.” Eera melarikan anak matanya dari pandangan Haidar.
Dia tidak mahu termakan dengan pujuk rayu lelaki tersebut. Badannya dialihkan
membelakangi Haidar dan memandang bangunan-bangunan yang berada di hadapnnya.
“Harap Eera sudi dengar dulu penjelasan
Anan ni.” Sekali lagi Haidar merayu. Dia teramat berharap supaya Eera sudi
mendengar penjelasannya ini.
Eera menghembuskan nafas yang panjang.
Dia cuba menenangkan dirinya. “Baiklah. Apa penjelasan yang Anan hendak berikan?”
“Err.. sebenarnya...”
Belum sempat Haidar memulakan bicara
Eera sudah memintas percakapannya. “Tengok! Bila orang dah beri peluang dia
pula tergagap-gagap hendak bercakap. Kalau susah sangat nak bercakap, baik tak
payah cakap apa-apa.”
“Nanti dulu!” wajah Haidar sudah mula
kelihatan tegang. Dia geram kerana Eera seolah-olah sengaja mencari alasan
untuk beredar dari situ tanpa mendengar penjelasannya terlebih dahulu.
“sebenarnya masa tu Anan menghilang disebabkan sesuatu perkara telah berlaku.
Pekara yang Anan sendiri tidak jangka. Anan diperangkap.”
“Pekara apa?” pantas sahaja Eera
menyoal seolah-olah tidak mahu membuang masa di situ. Senyuman sinis terpamer
di hujung bibirnya bagi tatapan Haidar. Dia rasakan ini semua hanyalah alasan
belaka.
“Anan diperangkap . Anan di tangkap khalwat
ketika itu dengan tunang Haikal.” Walaupun susah untuk meluahkan, namun Haidar
terpaksa juga meluahkan bagi pengetahuan Eera. Walaupun dia terpaksa membuka
aibnya sendiri.
Eera tercengang. Dia seolah-olah tidak
mempercayai akan pekara yang baru didengarinya itu. Sampai begitu sekali lelaki
itu mengkhianatinya setahun yang lepas? Sangkanya Haidar Cuma sudah tidak
mencintainya sahaja. Rupanya lelaki itu siap mempunyai hubungan dengan
perempaun lain lagi.
“Huh! Sudah kena tangkap khalwat pun
masih hendak merayu untuk diberi peluang?” Eera menyindir. Nasib baiklah rasa
cintanya kepada lelaki tersebut sudah berkurang. Kalau tidak entah bagaimanalah
dia harus menerimanya.
“Ini bukan salah Anan. Tetapi kami
diperangkap. Ada orang yang mempunyai hasad dengki sehinggakan sanggup
melakukan begitu.” Anan cuba mempertahankan dirinya. Sungguh. Apa yang
diceritakan olehnya itu adalah benar belaka.
“Sudahlah Anan. Kalau sudah silap itu
mengaku sahajalah. Usah lagi menegakkan benang yang sudah basah.” Eera sudah
malas ingin melayan kata-kata lelaki tersebut. Sesungguhnya perasaan marah dan
jelik terhadap lelaki tersebut semakin bertambah. Dia ingin berlalu dari situ.
“Oh ya. Tadi ada sebut kena tangkap khalwat
dengan tunang Haikal kan?” Eera mematikan langkahnya sebaik sahaja teringatkan
akan penjelasan Haidar sebentar tadi. Kelihatan Haidar hanya menganggukan
kepalanya sahaja dengan mata yang kelihatan sayu seolah meminta simpati. Ahhh!!
Belakon sahaja semua itu.
“Eera hendak ucapkan tahniah dan terima
kasih. Terima kasih atas sumbangan Anan yang menyebabkan Eera berada di sini
sekarang. Kalau bukan bantuan Anan, Eera mungkin tidak akan berkahwin dengan
Haikal. Rupanya sanggup Anan merampas tunang saudara kandung sendiri. Sungguh
kejam.” Panjang lebar Eera meluahkan rasa. bukan dia ingin menyalahkan takdir
yang menyebabkan dia terpaksa berkahwin dengan Haikal. Tetapi dia terkilan
dengan perkara yang berlaku menimpa-nimpa keatasnya. Langkah diatur
meninggalkan Haidar keseorangan di situ. Dia sudah malas lagi untuk berfikir.
Haidar terkebil-kebil memandang tubuh
Eera yang semakin menghilang. Sungguh dia tidak tahu apa lagi yang perlu
dijelaskan kepada Eera. Kelihatan Eera tidak mahu langsung mempercayai
cakapnya. Beberapa kali diraup wajahnya dengan telapak tangan bagi menghilangkan
perasaan kecewa. Dia sungguh kecewa kerana setakat ini tiada siapa pun yang
mempercayai bahawa peristiwa tersebut bukan salahnya. Semuanya telah dirancang.
****
Sebaik sahaja pintu lif terbuka, dengan
pantas Eera mengatur langkah tanpa memandang keadaan sekeliling. Fikirannya
sedang berkecamuk. Apakah maksudnya Haidar ditangkap khalwat dengan tunang
Haikal? Siapa tunang Haikal itu? Persoalan itu berlegar-legar didalam kotak
pemikirannya.
“Aduh!!” Eera terlanggar seseorang.
Kedengaran orang itu menjerit lantang sebelum turut jatuh terduduk seperti Eera
juga. Pantas dia memandang orang yang dilanggarnya sebentar tadi. Terus sahaja
wajahnya bertukar menjadi pucat.
“Kau ni apa hal?! Jalan tu dah tak reti
nak tengok depan ka?” Sara menghaburkan marahnya. Dia berdiri dari tempat
jatuhnya sebentar tadi dan merenung tajam kearah Eera. Geram pula bila melihat
wajah dihadapannya ini. Sesuka hati sahaja melanggar orang.
Muka Sara sudah bertukar seperti seekor
singa yang lapar. Kecut Eera jadinya. Air liur ditelan berkali-kali. “Maa..
maaf cik. Sa.. saya tak sengaja.” Tergagap-gagap Eera memohon maaf. Gerun
jadinya melihat wajah Sara yang tegang ketika ini. Matanya pula sudah bertukar
menjadi merah tanda yang dia sedang marah.
“Senangnya kau hendak minta maaf? Habis
tu, baju aku yang dah kotor ni macam mana? Pekerja macam kau ni mampu ke hendak
ganti balik?” soal Sara dengan suara yang lantang. Dia terasa teramat marah
saat ini. Sudahlah sakit hatinya kepada Haikal belum lagi reda. Sekarang ini
wanita di hadapanya ini pula mencari fasal. Pantas sahaja Sara menghampiri Eera
dan mencengkap rambut Eera yang tersembunyi disebalik tudung. Dia akan
melepaskan segala kemarahannya kepada wanita tersebut.
“Sa.. sakit cik. Ma.. maafkan saya.”
Air mata Eera sudah berjuraian gugur dari tubir matanya. Sesungguhnya dia
berasa sakit dan malu diperlakukan begitu. Sudahlah dihadapan orang ramai pula.
Pasti maruahnya seolah-olah dipijak-pijak oleh Sara ketika ini.
“Hey perempuan! Orang kampung macam kau
ni tak layak langsung berada di bangunan ini. Kau tak layak langsung hendak
bersentuh dengan aku walaupun berlanggar sekalipun. Tengok dari pemakaian kau
pun aku tahu yang kau ni orang miskin.” Sara berkata perlahan dihadapan muka
Eera seolah-olah berbisik tetapi suaranya ditekan kasar. Kelihatan rahangnya
bergerak-gerak menahan marah. Cengkaman pada rambut Eera dikuatkan.
“Ahhh...” Eera terjerit kerana di
rasakan seolah-olah kulit rambutnya seperti hendak tercabut sahaja. Dalam
keadaan begini, tiba-tiba sahaja wajah Haikal terlayar diruang matanya. Disaat
ini, cuma Haikal sahaja yang berada dalam fikirannya.
Sara melepas kasar rambut Eera. Eera
sedikit terdorong ke belakang. Nasib baiklah dia tidak terjatuh kerana sempat
mengimbangkan badannya. Mata Eera sudah terpejam rapat dan tangan diangkat
untuk melindungi wajahnya sebaik sahaja telihat Sara sudah bersedia ingin
menampar pipinya. Ya Allah! Apalah dugaanmu ini. Air mata sudah laju berjuraian
membasahi pipinya.
Setelah merasakan tiada apa-apa yang
berlaku terhadap dirinya. Eera membuka matanya pelahan-lahan. Dia dapat melihat
wajah Sara sudah bertukar pucat. Tangan yang ingin menamparnya sebentar tadi
rupanya sudah dicengkam oleh seseorang lelaki yang membelakangi dirinya ketika
ini.
“Haikal...?” Suara Sara perlahan sahaja
menyebut nama itu. Eera terpana seketika. Benarkah Haikal yang
menyelamatkannya?
“Apa yang kau buat ni? Kenapa hendak
buat kecoh dekat sini?” Suara Haikal bergema memarahi Sara. Tangan Sara dilepas
kasar lalu dirapatkan dirinya mendekati Eera. Bahu Eera dipeluk dan menariknya
kedalam pelukan.
“Aku minta kau pergi dari sini dengan
cara baik. Kalau kau tidak pergi, aku akan buat cara yang paling memalukan
supaya kau pergi.” Haikal mengarahkan Sara dengan penuh tegas. Wajahnya
kelihatan tegang sahaja.
“Ta.. Tapi.., I”
“Tak ada tapi-tapi lagi! Sekali lagi
aku Nampak kau sakitkan isteri aku, siap kau. Aku cari kau sampai ke lubang
cacing.” Pantas Haikal memintas percakapan Sara dengan suara yang lantang.
Pasti semua yang berada di situ dengar akan apa yang baru sahaja disebutkan
oleh Haikal sebentar tadi. Semua kelihatan sudah berbisik-bisik diantara satu
sama lain.
Eera tergamam apabila mendengar Haikal
mengaku yang dia adalah isterinya. Dirasakan bagaikan mimpi sahaja saat ini.
Air mata yang laju mengalir ke pipi, secara automatik boleh terhenti.
Sara mendegus kasar. Rupanya wanita
itulah isteri Haikal. Tidak sangka kehadirannya ke sini hari ini telah memaksa
Haikal membongkarkan rahsianya sendiri. “Baiklah! I akan pergi dari sini.
Tetapi you kena ingat, I akan pastikan perempuan ini terima balasannya
disebabkan merampas you daripada I.” Kaki dihentak kuat meninggalkan bangunan
A&F Holding. Hati Sara berdongkol geram. Dia akan balas dendam terhadap
perempuan tersebut. Lihat sahajalah nanti.
“Kau tak apa-apa?” Tanya Haikal kepada
Eera sebaik sahaja kelibat Sara sudah hilang dari pandangan. Dagu Eera disentuh
lembut lalu dipusing- pusing wajah Eera untuk melihat pipi isterinya itu. Risau
juga sekiranya ada kecederaan yang berlaku. Sekiranya dia terlambat sedikit,
sudah pasti pipi gebu tersebut telah menjadi habuan penampar Sara sebentar
tadi. Nasib baiklah hari ini dia tergerak hati untuk datang ke sini untuk
mengambil barang yang tertinggal.
Pipi Eera sudah kemerah-merahan menahan
malu apabila diperlakukan begitu. Dia menjadi keliru seketika. Adakah Haikal
sudah lupa akan penjanjian mereka sebelum ini? Adakah dia sudah diterima dalam
hidup suaminya itu?
“Err.. Err.. saya tak apa-apa.” Eera
tertunduk sambil menahan perasaan halus yang tiba-tiba sahaja menjengah
hatinya. Apakah maksud perasaan tersebut? Sebelum ini dengan Haikal dia tidak
pernah berasa seperti itu.
Tiba-tiba pelukan pada bahu Eera
dilepaskan. Haikal tersedar. Rupanya ego yang dipertahankannya selama ini sudah
menghilang entah kemana. Dia telah terlepas laku sebaik sahaja terlihat Eera
diserang oleh Sara sebentar tadi. Sifat melindunginya tiba-tiba sahaja
menggunung sampaikan perkataan isteri terluah dari bibirnya sendiri.
Dipandangnya keadaan sekeliling. Rupanya orang ramai sudah mula berbisik-bisik
diantara satu sama lain. Mungkin sedang bercerita akan perihal dirinya dan
Eera.
“Ehem..” Haikal berdehem bagi menutup
keegoannya yang sudah tercalar sebentar tadi. “Aku datang ni nak ambil barang
yang tertinggal. Kau tolong aku kemaskan sekejap.” Pantas sahaja tangan Eera ditarik
lalu menuju kearah bilik kerjanya. Dia tahu yang mata para pekerjanya ketika
ini masih lagi dituju kearah mereka berdua.
p/s: huhu.. lama sudah tak mengarang. sibuk betul kebelakangan ni. entah apalah dah jadi dengan Haikal dan Eera ni. :)