Thursday 22 December 2011

Kaulah Matahariku 17


Bab 17
Sepanjang perjalanan untuk ke hospital, Eera dan Haikal lebih banyak mendiamkan diri. Masing-masing masih berasa kekok untuk berbicara selepas apa yang telah berlaku di pejabat tadi. Disebabkan kebosanan, Haikal menguatkan lagi bunyi radio yang sedia terpasang didalam keretanya. Bergema seluruh ruang kereta yang dinaiki mereka dengan lagu-lagu yang dimainkan oleh siaran radio tersebut.
Eera yang sedang asyik memandang kearah luar tingkap kereta sejak tadi memandang sekilas wajah lelaki tersebut yang dihiasi dengan cermin mata hitam yang menutup matanya. Dalam masa yang sama Haikal juga turut memandang kearahnya sambil mengangkat kening seperti bertanya kepadanya kenapa?
‘Itu sengaja lah tu nak ajak berbual.’ Gumam Eera didalam hati sambil mengalih kembali pandangannya kearah luar kereta.
“Ehem... Ehem...” Haikal berdehem beberapa kali.
Selepas agak lama tidak dipedulikan, Haikal bersuara. “Tentang hal tadi tu. Saya nak minta maaf.” Entah kenapa, Haikal merasakan dia perlu memulakan bicara untuk mengelakkan hal ini berlarutan.
“Hmmm.. Encik tak salah pun. Memang salah saya tadi tu” Jawab Eera seperti berjauh hati dengan Haikal.
Selepas mendengar bicara gadis tersebut, Haikal terus menekan punat tutup pada radio keretanya. Dia tidak mahu sebarang gangguan semasa mereka sedang berbicara.
“Tak-tak! Saya rasa saya yang salah. Saya lupa yang awak pun penat macam saya juga. Mungkin disebabkan semalam kita terpaksa berjaga sampai ke pagi.” Kata Haikal sambil menyalahkan dirinya pula kerana tidak perihatin akan hal tersebut.
“Yang itu memang saya tak nafikan. Tapi sepatutnya saya tak curi masa berkerja untuk tidur. Itu salah saya juga.” Balas Eera yang menyedari akan kesilapannya.
“Ok-ok. Saya tak kisah yang itu. Mungkin kita sama-sama salah. Harap sekarang ni awak dah tak ambil hati dengan saya tentang pekara tadi. Mungkin saya terlalu emosi.” pujuk Haikal lagi apabila dia menyedari masing-masing tidak mahu mengalah dalam menyalahkan diri.
“Ok. Saya faham keadaan encik. Mungkin kalau saya berada dalam situasi tersebut pun, mungkin saya lakukan perkara yang sama.” Eera sudah malas untuk mengambil pusing akan hal tersebut. Benda dah jadi. Tak guna kalau hendak difikirkan lagi. Lagipun orang dah meminta maaf. Apa salahnya kalau kita saling bermaaf-maafan.
Haikal tersenyum mendengar jawapan Eera tersebut. Dia terasa lapang ketika ini kerana pasti yang Eera sudah mula memaafkan dirinya.
“Hmmm.. tadi apa yang awak kata masa melatah tadi?” Haikal menyakat Eera sambil mengungkit hal di pejabat tadi. Dia tergelak kecil apabila mengigatinya. Masakan tidak. Orang tengah marah boleh pula dia buat lawak walaupun tidak disengajakan.
Serta merta wajah Eera bertukar menjadi merah apabila mendengar pertanyaan Haikal itu. Dia sedar yang Haikal sengaja mahu menyakatnya. ‘huh! Tak boleh pakai punya mamat sengal!’ Luahan Eera didalam hati.
Semakin kuat pula ledakkan ketawa Haikal apabila melihat muka Eera makin kemerahan menahan malu. Entah kenapa hatinya terasa seronok pula ingin menatap wajah comel itu ketika malu.
“Encik! Berhenti! Berhenti!” Tiba-tiba Eera yang memandang kearah luar tingkap kereta bersuara. Dia menyuruh Haikal memberhentikan keretanya sambil menampar-nampar pelahan lengan kiri lelaki tersebut yang sedang memegang stereng kereta.
Haikal terkejut dengan arahan tersebut. Ketawanya sebentar tadi terus mati sebelum dia menekan pedal berhenti dan membelok kebahu jalan. Walaupun tindakkan Haikal itu secara mengejut, tetapi dia berjaya mengawal dengan baik keretanya supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini. Agak berpeluh juga lah dahi Haikal dibuatnya.
“Opss Maaf.” Eera rasa bersalah apabila dia melihat lelaki itu mengelap dahinya dengan sapu tangan.
“Ish awak ni. Selalu buat saya jadi gelabah. Nasib tak jadi apa-apa tadi.” Tegas kedengaran suara Haikal memarahi tindakkan Eera tersebut. Nasib baik dia cekap mengawal keadaan. Kalau buat dia berhenti secara mengejut sebentar tadi macam mana? Mahu keretanya disodok dengan kereta di belakang.
Eera terkulat-kulat di kerusi sebelah kerana tidak tahu untuk menjawab apa. Lagipun memang salahnya pun. Huk Huk...
“Hmmm... Awak suruh saya berhenti ni kenapa?” Tanya Haikal pula. Suaranya sudah mula mengendur apabila melihat Eera seperti ketakutan kerana risau dimarahi olehnya.
“Err.. Err.. Saya ingat nak pergi beli buah kejap kat sebelah jalan tu. Buat buah tangan untuk Puan Sri.” Tergagap-gagap Eera memberi tahu hasratnya itu.
“Lah itu aja ke? Kenapa tak cakap? Kalau tak boleh saya berhenti kat depan sana. Banyak lagi kedai yang ada jual buah.” Tergeleng-geleng kepalanya Haikal mendengar alasan Eera itu.
“Maaf... Saya tak tahu.” Jujur dia memohon maaf.
“Tak apa lah. Dah berhenti pun. Awak pergi lah beli cepat. Saya tunggu di sini saja lah, sebab dekat sini tak boleh parking.” Beritahu Haikal sambil dia menanggalkan tali pinggang keledar yang melilit pada tubuhnya. Rimas!
“Ok. Encik tunggu kejap ye? Saya pergi beli.” Eera membuka pelahan pintu kereta selepas melihat anggukan dari Haikal.
Selepas menutup kembali pintu kereta dia menghalakan pandangan kearah kedai yang dilihatnya sebentar tadi. Mak ai! Jauh juga ni nak berjalan.
****
Mereka beriringan mengatur langkah memasuki ruang hospital. Kelihatan Eera menjinjit beg plastik yang sarat dengan pelbagai buah-buahan yang dibelinya sebentar tadi.
Haikal yang berjalan di sebelah Eera mencebik bibirnya apabila melihat beg plastik yang dibawa Eera. ‘Dah tahu tak larat nak bawa, yang pergi beli banyak-banyak tu buat apa?’ gumamnya didalam hati. Lagipun neneknya itu bukan makan sangat buah-buahan ini. Mungkin takut gigi palsunya tertanggal kot.
“Mari sini aku bawakan.” Pinta Haikal supaya plastik buah tersebut beralih kedalam tangannya.
Tersenyum lebar Eera apabila mendengar Haikal ingin menolongnya. Dah ada orang nak tolong. Apa tunggu lagi kan? Terus sahaja beg plastik buah-buahan tersebut diserahkannya. Ha! kan senang sikit dia nak berjalan bila tiada beban di tangan. Hehehe..
Haikal hanya mampu menggelengkan kepalanya apabila melihat gadis tersebut berjalan sambil berlenggang-lenggok mendahuluinya. Nampak sangat tak matang. Tetapi, disebabkan tidak matang itulah yang membuatkannya kelihatan comel dan manja. Manja ke? Dia pun tidak pasti.
‘Eh.. Sekejap! Sekejap! Bilik Puan Sri kat mana ye?’ Eera bertanya dirinya sendiri apabila menyedari yang dia tidak mengetahuinya.
“Bilik Puan Sri kat mana ye encik?” Terus disoalnya Haikal apabila dia pasti dan teramat pasti dia tidak mengetahuinya. Masakan dia boleh tahu kalau semalam pun dia pulang awal.
“Eh.. tadi jalan laju semacam aja? Saya ingat awak dah tahu tadi.” Sengaja disakat gadis tersebut. Berjalan laju seperti tahu sahaja tadi.
“Ekk?? Tak tahu lah encik.” Dia mencebik kerana sedar diperli oleh Haikal.
“Kalau tak tahu buat cara tak tahu. Ikut sajalah saya pergi mana. Ini tidak! Bukan main laju lagi awak berjalan di hadapan saya.” Perli Haikal lagi.
Eera tersengeh. “Ok, ok.. saya ikut encik aja lepas ni. Tapi encik jangan pergi tandas pula. Yang itu saya tak boleh nak ikut.”
“Huh! Ada-ada jelah awak ni.” Haikal sudah malas untuk melayan.
Tanpa sebarang kata selepas itu, Eera hanya mengikuti langkah Haikal sehinggalah mereka berhenti di hadapan pintu salah sebuah bilik pesakit. Eera yakin itulah bilik Puan Sri walaupun Haikal masih belum melangkah masuk. Kelihatan lelaki tersebut seolah-olah teragak-agak untuk melangkah masuk. Eera menjadi hairan seketika.
“Kenapa encik?” Tanyanya kepada Haikal.
Haikal seperti baru tersedar dari lamunannya apabila ditegur Eera, terus menjawab. “Tiada apa-apa lah.”
Eera tidak berpus hati dengan jawapan tersebut. Tetapi dia tidak berani hendak menyoal lagi. Tambahan pula Haikal sudah menolak pelahan pintu bilik tersebut dan melangkah meninggalkannya di belakang.
Sebaik sahaja Eera melangkah masuk kedalam bilik itu, matanya jatuh pada susuk tubuh Puan Sri yang sedang terbaring diatas katil yang dinaik sedikit dibahagian belakangnya supaya kelihatan lebih tinggi. Dalam masa yang sama, mata wanita tersebut juga turut memandang kearahnya yang baru memasuki bilik tersebut.
“Mak. Ini lah Syazeera yang saya cerita tu. Dia lah yang jumpa mak semalam.” Terang Dato Azrul kepada ibunya yang mungkin sudah melupakan wajah gadis tersebut walaupun mereka pernah berjumpa sebelum ini.
Eera yang baru hendak melangkah kearah Haikal yang berada di hujung katil Puan Sri Azizah sedikit tersentak mendengar suara Dato Azrul dari arah belakangnya. Terus sahaja dia memandang kearah belakang dan kelihatan Dato Azrul sedang duduk diatas salah sebuah sofa yang disediakan didalam bilik tersebut. Datin Fauziah dan Mak Tun pembantu rumah Puan Sri Azizah juga turut sama berada didalam bilik tersebut.
Tanpa berlenggah lagi Eera terus mendapatkan dua orang wanita tersebut untuk bersalam dan kembali semula kearah katil untuk bersalam dengan Puan Sri Azizah pula. Lambat-lambat huluran tangan Eera disambut oleh wanita tersebut. Mungkin badannya masih lemah lagi.
“Nenek macam mana? Dah rasa sihat sikit?” tanya Haikal dengan wajah yang beku.
Puan Sri Azizah hanya menganggukkan kepalanya sahaja. Sedikit pun suaranya tidak keluar dari anak tekaknya. Eera yang sejak tadi melihat hanya mampu mengeluh didalam hati sahaja dengan dua orang manusia ini. Masakan tidak. Dalam keadaan seperti ini pun masih hendak meneruskan perang dingin diantara mereka berdua.
“Nenek ok. Cuma mungkin terpaksa ditahan di sini dalam beberapa hari lagi. Itupun, sekiranya doktor lihat perkembangan positif.” Dato Azrul cuba menyelamatkan keadaan.
“Nenek dah cerita dengan papa siapa yang buat semua ni?” Tanya Haikal kepada papanya ingin tahu. Kalau ditanya neneknya sudah tentu dia tidak akan perolehi jawapan dari orang tua tersebut. Tengok sahaja soalan yang diajukannya sebentar tadi pun cukup lah. Tak berjawab pun.
Dato Azrul mengeluh. “Puas papa paksa supaya nenek beritahu siapa yang buat. Tetapi sampai sekarang pun kami di sini tak dapat jawapannya.” Beritahu Dato Azrul jujur.
“Tapi kenapa nenek?” Terus Haikal menajukan soalan tersebut kepada Puan Sri Azizah. Ternyata dia juga turut tidak berpuas hati.
“Aku tahu la apa yang aku nak buat. Korang tak payah nak sibuk hal aku.” Jawab Puan Azizah kasar.
“Tapi takkan nak buat orang tu terlepas macam tu aja? Paling kurang pun kita bagi amaran dekat dia.” Protes Haikal dengan hati yang sebal.
“Kau tak payah nak risau la Haikal. Bukan setakat ambil tindakan sahaja yang akan nenek buat. Tapi nenek akan pastikan juga orang itu turut mengigit jari.” Beritahu Puan Sri Azizah kepada semua yang berada di situ.
Semua yang berada di dalam bilik itu sudah buntu memikirkan sikap Puan Sri Azizah yang tidak habis-habis dengan rancangannya. Tak pernah nak berubah langsung! Eera yang tidak tahu apa-apa cuma mampu mendengar dan memerhati sahaja keluarga itu menyelesaikan masalah mereka.
“Ikut nenek lah nak buat apa pun. Asal nenek rasa puas hati cukup lah.” Haikal sudah malas untuk melayan dan bertekak dengan Puan Sri Azizah lagi. Tambah-tambah dalam berkeadaan neneknya yang sakit sebergini.
“Ok! Kalau macam tu harap semua boleh keluar dulu dari bilik ni kecuali Syazeera. Ada benda sikit aku nak bincang dengan dia.” Kata Puan Sri Azizah tegas. Semua yang berada di situ berasa terkejut dengan arahan tersebut. Masing-masing memandang antara satu sama lain. Ah sudah! Apa pula yang bakal dia mulakan?
Eera yang tidak tahu menahu apa-apa, tercengang seketika. Dia sudah mula berasa tidak enak apabila mendengar arahan tersebut. Kenapa Puan Sri Azizah ingin berjumpa dengan dia seorang sahaja? Ada kesalahan besar yang pernah dia lakukankah sehinggakan wanita tersebut ingin berjumpa dengannya? Oh tidak!
Selepas memastikan semua sudah keluar dari bilik tersebut, Puan Sri Azizah berdehem beberapakali. Eera yang duduk diatas kerusi di sebelah katil hanya membatukan diri dan hanya merenung lantai. Tiba-tiba Eera terasa seram pula bila berdua-duan dengan wanita tersebut. Di saat ini dia seperti seorang pesalah yang menanti hukuman yang bakal dijatuhkan keatasnya.
“Nama Penuh Nur Syazeera bt Syamsudin. Tahun ini genab Umur 21 tahun. Berasal dari utara tanah air dan mempunyai seorang adik lelaki tingkatan 5 yang sedang menuntut di sebuah sekolah harian. Tujuan datang ke Kuala Lumpur adalah untuk berkerja sebagai kerani di A&F Holding kerana ingin menyara keluarga. Tetapi secara tidak sengaja dilantik sebagai penolong peribadi Haikal Adam iaitu cucu saya.” Panjang lebar Puan Sri Azizah menyebut satu persatu tentang dirinya. Eera tergamam apabila mendengar penerangan tersebut. Terus dia memandang tepat wajah wanita tersebut untuk meminta kepastian.
Dengan wajah yang tenang Puan Sri Azizah bersuara lagi. “Awak jangan tanya saya bagaimana saya boleh tahu banyak tentang diri awak. Tetapi untuk pengetahuan awak, semua tentang diri awak memang saya tahu kesemuanya. Tiada satu pun yang terlepas dari pengetahuan saya.”
“Tapi kenapa?” pantas Eera memotong. Dia sudah tidak sabar untuk tahu kenapa Puan Sri Azizah buat bergitu? Sedangkan dia bukan siapa-siapa pun pada wanita tersebut.
“Sebab saya ingin awak berurusan dengan saya.” Mudah sahaja jawapan yang diberikan oleh Puan Sri Azizah kepada Eera.
“Urusan? Urusan apa?” Tanya Eera lagi dengan kedutan di dahi yang menyatakan dia tidak faham.
“Ya! Saya hendak awak berkahwin dengan Haikal dalam masa sebulan dari sekarang.” Jawab Puan Sri Azizah sambil melawan pandangan Eera.
“Apa?! Kahwin dengan encik Haikal?” Eera benar-benar terkejut dengan berita yang baru didengarinya itu. Bulat matanya saat ini kerana terkejut. Seperti sedang bermimpi pula dia rasakan. Ini kerja gila!
“Kenapa? Awak tidak setuju dengan cadangan saya ni?” Soal wanita tersebut sambil mengangkat kedua-dua belah keningnya.
“Masakan saya boleh setuju! Ini semua kerja gila. Saya tak setuju dan tak akan pernah setuju.” Dengan tegas Eera menjawab. Dan dia begitu pasti sekali dengan jawapannya itu.
“Awak jangan yakin sangat dengan jawapan awak tu. Saya dah agak dengan jawapan yang bakal diberi oleh awak sejak awal lagi. Untuk menjayakan rancangan ini, tanah awak di kampung akan menjadi cagaran.” Puan Sri Azizah sudah memulakan langkahnya untuk memerangkap Eera. Dia tersenyum sinis.
“Maksud Puan Sri?” Eera sudah mula gelisah apabila hal tanahnya di kampung juga turut disebut oleh wanita itu.
“Tanah yang keluarga awak duduk sekarang ini sudah saya beli dari Pak Mail. Sekiranya awak menolak, saya akan pastikan keluarga awak akan diusir keluar dari situ. Tapi....” Sengaja Puan Sri Azizah membiarkan ayat itu tergantung untuk melihat riaksi Eera.
“Tapi apa?” Cepat sahaja Eera bertanya untuk mengetahui apa yang telah dirancang oleh Puan Sri Azizah.
“Tapi, kalau awak setuju nak kahwin dengan Haikal, semua itu akan jadi milik awak semula. Malah saya akan bayar kepada awak dengan dua kali ganda harga tanah tersebut.” Nampaknya rancangannya bakal berjaya apabila dia melihat Eera sedang memikirkan sesutu. Puan Sri Azizah mula mengukir senyuman kemenangan.
Eera mengeluh. Nampaknya dia memang tiada pilihan lain lagi. Tujuannya datang ke Kuala Lumpur ini pun ada lah untuk mengumpul duit dan membeli tanah yang disewa dari pak Mail selama ini. Nampak sangat harapan itu akan terkubur bergitu sahaja kalau dia menolak tawaran Puan Sri Azizah.
“Nanti lah saya fikir macam mana. Lagipun pekara ini bukan boleh dibuat main-main.” Eera meminta tempoh untuk berfikir telebih dahulu. Untuk bertanyakan pendapat dari ayah dan ibunya di kampun dia berasa risau akan kesihatan mereka. Dia berharap sangat supaya dia mempunyai jalan lain bagi menyelesaikan masalah itu.
“Ok. Saya bagi masa dalam seminggu sahaja. Minggu hadapan saya akan tuntut jawapan awak.” Puan Sri Azizah bersetuju dengan pemintaan Eera itu dan hanya memberi tempoh seminggu sahaja untuk gadis tersebut membuat keputusan.
“Err.. macam mana dengan encik Haikal pula? Bolehkah dia terima saya ni sebagai isteri dia?” Eera berasa risau akan masa depan dia dan Haikal. Bolehkah mereka mengecapi kebahagiaan sekiranya tiada cinta antara mereka?
“Itu awak tak perlu risau. Nanti saya akan uruskan segalanya sehinggakan semua ini berjalan dengan lancar. Tugas awak Cuma bersetuju sahaja.” Dia cuba meyakinkan lagi Eera yang kelihatan sedang gelisah memikirkan tentang rancangannya itu.
Tiba-tiba ketukan di pintu mengganggu perbualan mereka. Kelihatan Zakuan yang sedang mendukung Aiman melangkah masuk kedalam bilik tersebut dan bersalam dengan neneknya.
“Nenek macam mana? Dah sihat sikit?” tanya Zakuan perihatin.
“Macam ni la wan. Tak banyak beza pun.” Puan Sri Azizah menjawab pertanyaan cucunya itu seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
“Tadi semasa wan hendak datang ke sini, wan nampak Pak long sekeluarga sedang duduk di kerusi menunggu di ruang legar hospital. Kanapa dorang tak masuk melawat nenek aja?” Tanya Zakuan seperti hairan kepada neneknya itu.
“Oh! Pak Long kau tadi kata nak pergi beli sup ayam dekat nenek. Tiba-tiba sahaja nenek rasa nak makan sup ayam pula.” Bohong Puan Sri Azizah supaya Zakuan tidak menghidu apa-apa tentang rancangannya itu.
Eera yang mendengar hanya mencebik bibirnya. Pandai sungguh orang tua ini berlakon. Dia yang mendengar sejak tadi sudah terasa berbuku-buku sumpah seranah untuk wanita tersebut.
“Oh.. kenapa tak cakap dengan wan tadi. Kalau tak boleh wan suruh mama tolong masakan untuk nenek. Lagipun wan dari rumah sebentar tadi.” Beritahu Zakuan jujur sambil menyerahkan Aiman kepada Eera yang sejak tadi lagi meronta-ronta untuk pergi kepadanya.
“Tak apa lah. Saja nenek tak mahu susahkan wan. Yang wan ni pula takkan datang seorang saja? Mama dengan papa wan mana? Dari pagi tadi lagi tak nampak muka.” Tanya Puan Sri Azizah Ramah dengan cucunya yang seorang ini. Cucu kesayangan lah katakan.
“Mama dengan papa ada hal sikit. Nanti diaorang sampai lah tu lepas selesaikan semua kerja.” Beritahu Zakuan sambil memandang kearah Eera yang asyik bermain dengan Aiman.
Eera yang masih berserabut dengan perkara yang dibincangkan dengan Puan Sri Azizah sebenar tadi merasakan tidak sesuai pula mengganggu mereka berbual. Dengan pelahan dia melangkah keluar dari bilik tersebut sambil mendukung Aiman. Nasib baik ada Aiman ketika ini. Bolehlah jugalah menghiburkan hatinya walaupun seketika.

No comments:

Post a Comment