Thursday 21 June 2012

Kaulah Matahariku 30


Bab 30

Meja kerjanya dipandang kosong. Hari ini merupakan hari pertama Eera memulakan kerjanya selepas status diri dari bujang bertukar kepada isteri orang. Tetapi itu cuma keluarga terdekat kedua belah pihak dan Haikal sahaja yang tahu. Manakala seluruh warga syarikat milik mertuanya tiada siapa yang tahu. Untuk apa diberi tahu? Sedangkan orang yang mengahwininya pun tidak mahu mengaku dia adalah isterinya.

Hari ini Eera datang ke pejabat dengan menumpang Jaja. Nasib baik sahabat baiknya itu mempunyai kenderaan. Tambahan lagi tempat kerja mereka adalah sama. Teringat kembali semasa dia tinggal di rumah Dato Azrul sebelum ini. Setiap pagi hendak ke tempat kerja, pasti dia dan Haikal akan bertolak bersama. Malahan di tempat kerja juga mereka pasti akan berjumpa. Senang kata tiap-tiap harilah dia mengadap wajah suaminya itu. Terasa lain pula apabila tidak dapat memandang wajah itu lagi. Eera dimaklumkan oleh papanya yang Haikal sudah mula menjalankan tanggunjawabnya keatas syarikat yang telah diamanatkan kepada beliau. Mungkin selepas ini mereka tidak akan bertemu lagi.

Eera memandang kearah bilik yang pernah diduduki oleh Haikal sebelum ini. Kosong. Kosong tanpa penghuni. Kalau tidak hari-hari dia dapat melihat gelagat malas suaminya itu ketika berkerja. Kadang-kadang dia dapat lihat Haikal terbaring diatas sofa didalam bilik tersebut ataupun lelaki itu akan bersandar malas diatas kerusi kerjanya. Semua itu seolah-olah bermain kembali dimata Eera.

Sedang asyik mengelamun, Eera dikejutkan dengan bunyi intercom diatas mejanya. Dengan malas dia menjawab juga. Pasti ini adalah panggilan penting kerana talian dari bapa mentuanya sedang menyala lampunya.

“Ye, Saya Syazeera disini. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Sebaik sahaja ganggang diangkat, pantas sahaja Eera mengenalkan diri dan menanyakan apa yang dapat dia membantu gerangan orang yang berada di seberang sana.

“Sya.. ni kak Lisa ni. Bos, Dato Azrul nak jumpa. Sekarang..” Lisa yang sebagai pembantu bapa mentuanya menyampaikan pesanan yang ditugaskan kepadanya. Berkerut dahi Eera mendengarnya. Untuk apa bapa mentuanya ingin berjumpa dengannya? Sebelum ini tidak pernah-pernah mereka berjumpa diwaktu pejabat. Ada hal pentingkah?

“Err.. ada apa Dato Azrul hendak jumpa Sya?” Eera cuba merisik khabar. Manalah tahu kalau-kalau Lisa tahu sesuatu.

“Akak tak tahu lah Sya. Dato cuma suruh beritahu Sya supaya datang kebiliknya sekarang.” Lisa tidak dapat memberi sebarang jawapan ketika ini. Sungguh dia sendiripun tidak tahu sebabnya.

“Emmm… kalau begitu, sekejap lagi Sya naik ke sana.” Eera memberi kata putus. Terpaksalah dia berjumpa dengan bapa mertuanya itu di tingkat atas yang terletak satu aras lagi dari arasnya sekarang.

Selepas meletakkan ganggang kembali kepada tempatnya, Eera mengemas-ngemas sedikit meja yang berselerak dengan pen dan kertas. Selepas siap dia mula mengatur langkah kearah lif untuk naik ke tingkat atas. Kalau boleh, dia tidak mahu Dato Azrul menunggunya lama walaupun itu adalah bapa mertuanya sendiri. Kerja tetap kerja. Itu adalah prinsip Eera sendiri. Orang hendak mengajikannya ini pun sudah kira cukup baik.

Butang lif untuk ke tingkat atas ditekan. Tidak lama harus dia tunggu kerana pintu lif cepat sahaja terbuka. Tanpa membuang masa, terus sahaja Eera melangkah masuk kedalamnya. Butang aras yang ingin dituju ditekan. Sambil-sambil menunggu pintu lif terbuka kembali, sempat Eera memerhati biasan dirinya pada permukaan pintu lif yang sudah dianggap seperti cermin. Tudung dibetulkan sedikit. Padahal bukan ada apa-apa yang tidak kena. Cuma dia tidak betah hanya duduk diam sahaja didalam lif tersebut seorang diri.

Pintu lif terbuka. Eera melangkah menghampiri meja Lisa yang terletak di hadapan pintu bilik Dato Azrul. Kelihatan wanita tersebut asyik sekali mengemaskini fail-fail dihadapannya. Mungkin ada kerja yang perlu diselesaikan ketika ini. Nampak sibuk sahaja.

“Kak Lisa.. Dato ada di dalam ke?” Eera menegur Lisa yang seperti tidak menyedarinya yang sudah beradi di hadapan wanita tersebut.

“Oh Sya dah sampai. Maaf kakak tak perasan tadi. Sya boleh terus masuk sahaja ke dalam bilik dato. Dato sedang tunggu Katika ini.” Kak Lisa menyampaikan pesanan. Eera hanya menganggukkan kepalanya tanda faham akan maksud wanita tersebut.

Pintu diketuk terlebih dahulu. Sayup-sayup kedengaran suara orang dari dalam menyuruhnya masuk. Siapa lagi kalau bukan Dato Azrul merangkap mertuanya itu. Pintu ditolak dengan penuh sopan. Sebaik sahaja pintu terbuka, kelihatan wajah Dato Azrul yang sedang menghadiahkan sekuntum senyuman kepadanya. Pintu bilik tersebut ditutup semula.

“Assalammualaikum Dato. Dato hendak jumpa dengan saya ke?” Eera bertanya untuk kepastian walaupun sudah berkali-kali disahkan oleh Lisa sebentar tadi.

“Ish Sya ni! Apa pula Dato, Dato. Panggil papa sudah. Bukan orang lain pun. Sya tu kan menantu papa juga.” Dato Azrul menegaskan panggilan yang perlu Eera memanggilnya sekarang. Lagipun mereka bukan orang lain lagi. Sudah menjadi menantu dan mertua pun.

Eera menghampiri Dato Azrul lalu bersalam dengannya. “Err.. bukan Sya maksudkan macam tu. Tetapi rasa macam tidak sesuai pula hendak memanggil di pejabat ini papa, ‘papa’. Rasa macam kurang formal.” Seboleh mungkin Eera menerangkan situasinya yang sebenar. Risau pula Dato Azrul bakal bekecil hati dengannya.

“Hmmm.. ikut suka kamu lah Sya.” Kedengaran seolah Dato Azrul enggan mengambil pusing akan hal tersebut. “Kamu dengan Haikal bagaimana sekarang?” Tiba-tiba sahaja soalan itu terpacul dari mulut Dato Azrul.

Terkelu lidah Eera seketika untuk menjawab. Entah jawapan apa yang harus dia berikan kepada bapa mertuanya itu pun dia tidak tahu. Hendak berbohong ataupun bersikap jujur sahaja? Eera kepeningan.

“Tak apa lah Sya. Sebenarnya papa tahu apa yang berlaku antara kamu dengan Haikal. Cuma papa agak terkilan kerana Haikal sanggup lakukan bergitu terhadap kamu. Padahal kamu tidak salah apa-apa pun. Yang salah cuma papa. Mugkin papa silap percaturan masa muda dahulu. Yang terpaksa menanggung akibatnya pula adalah kamu. Papa minta maaf.” Kedengaran suara Dato azrul semakin sayu. Suaranya kedengaran agak bergetar meluahkan kata. Eera sedikit terkejut. Dia tidak sangka yang Dato Azrul tahu akan hal tersebut.

“Tak apa lah papa. Papa tak salah apa-apa pun dengan saya. Mungkin semua ini sudah tersurat begini. Saya terima dengan redha sahaja.” Eera menjawab tenang. Sengaja dia tidak mahu Dato Azrul berasa serba salah. Biarlah dia yang menanggung semua ini. Pasti setiap yang berlaku itu ada hikmahnya.

“Mungkin memang semuanya sudah tersurat. Tetapi papa tetap terkilan. Mungkin kalau papa tidak ikutkan hati dahulu, papa tidak akan tinggalkan Haikal terkontang kanting berseorangan dengan datuknya. Semua ini disebabkan papa sendiri terlalu mengejar kemewahan sampaikan anak dan isteri terabai. Nasib baiklah mama kamu itu seorang yang tabah. Walaupun tanpa suami, dia berusaha untuk berjuang untuk anak-anak sehinggakan kesihatan terabai.” Dato azrul mengambil nafas seketika. Kelihatan ada linangan air mata di kelopak mata tua itu. Eera hanya mampu mendengar sahaja. Sungguh sebenarnya dia tidak percaya yang keluarga suaminya itu terlalu konflik sejarahnya.

Selepas seketika, Dato Azrul menyambung kembali ceritanya. “Disaat itu, mama kamu bertarung dengan maut disebabkan kemalangan. Kerana kejadian itulah, arwah datuk Haikal mengambilnya untuk dijaga sementara mama kamu masih dalam koma. Alhamdulilah selepas seminggu mama kamu sedarkan diri kembali. Dalam tempoh itu juga, kasih sayang antara datuk dan cucunya itu terjalin kukuh. Bila mama hendak mengambilnya kembali, datuk kamu tidak izinkan. Dia ingin menjaga Haikal katanya. Lagipun kesihatan mama kamu belum pulih sepenuhnya ketika itu. Sebab itu datuk Haikal keberatan hendak melepaskannya.”

Dari linangan air mata, ia bertukar menjadi tangisan. Air mata Dato Azrul berjuraian jatuh ke pipi. Eera terkelu sekali lagi. Pantas dia menghampiri mertuanya itu dan menepuk perlahan bahunya. “Sabar papa. Kisah lama usah diungkit.” Hanya itu sahaja yang mampu Eera katakan.

“Papa tidak akan maafkan diri papa ini selagi Haikal tidak maafkan papa. Sebelum ini papa ingatkan dia sudah boleh memaafkan papa. Tetapi rupanya masih ada dendam didalam hatinya itu. Lagipun dia memang berhak marahkan papa. Ketika keluarga papa dalam kesusahan, di mana papa ketika itu? Dimana papa untuk menjadi perlindung mereka? Cuma peniagaan sahaja yang menjadi dunia papa.” Tidak tertahan-tahan lagi tangisan Dato Azrul sehinggakan menjadi sendu sedan. Eera yang mendengar sudah tidak tahu apa lagi yang harus dia lakukan ketika ini. Malah untuk berkata sebarang perkataan pun dia tidak mampu. Dia bukan seorang yang pandai memujuk.

Eera membiarkan Dato Azrul melepaskan segala perasaannya ketika ini. Biarkan diluahkan segalanya. Mungkin selepas ini, bapa mertuanya itu akan bertambah baik.

“Maafkan papa sebab meluahkan perasaan pada Sya.” Kedengaran suara serak-serak basah Dato Azrul sebaik sahaja tangisannya semakin reda. “Papa cuma tidak tahu hendak diluahkan kepada siapa lagi. Lagipun papa hendak minta izin daripada Sya untuk menebus segala silap yang telah papa lakukan. Mungkin tidak banyak yang dapat papa lakukan. Tapi cukuplah kalau Sya dapat maafkan Haikal. Dia tidak salah dalam hal ini. cuma disebabkan dendam dia kepada papa, Sya menjadi mangsa. Berikan dia peluang untuk berubah. Papa merayu kepada Sya buat kali ini.” Bersungguh-sungguh Dato Azrul merayu kepada Eera. Serba salah dibuatnya. Bohonglah kalau Eera katakan dia tidak terasa atas apa yang telah Haikal lakukan kepadanya. Tetapi dia juga tidaklah sampai hendak berdendam dengan suaminya itu. Lagipun benda sudah berlaku. Cuma dia harus beringat supaya perkara itu tidak akan berulang lagi di kemudian hari.

“Eh..! papa tak perlulah minta maaf dengan Sya. Papa tak lakukan apa-apa salah dengan Sya pun. Lagipun tentang Haikal tu Sya tak ambil hati pun. Mungkin sebelum ini Sya juga terasa dengan apa yang dia lakukan. Tetapi masa tu Sya tak tahu apa-apa. Sekarang ini Sya akan cuba memahaminya.” Eera cuba memujuk Dato Azrul dan cuba meyakinkan bapa bertuanya itu. Lagipun dia terjebak di dalam hal keluarga ini juga adalah bersebab. Dia juga harus menebus kebahagiaan keluarganya sendiri. Mungkin semua ini memang sudah tersurat. Dan dia hanya mengikut laluannya sahaja.

“Terima kasih Sya kerana sudi memahami keadaan yang sebenar. Papa tak tahu macam mana hendak balas. Tapi papa akan doaakan kalian akan berbahagia suatu hari nanti.” Dato Azrul mula mengukirkan senyuman. Mungkin terasa sedikit lapang dengan penerimaan Eera ketika ini.

“InsyaAllah papa. Kalau ada jodoh dan kebahagian kami di situ, pasti kami akan bersatu. Tapi saya tidak berani hendak menaruh harapan yang tidak pasti. biarlah dia datang sendiri. Dan waktu itu pasti saya akan menerima dengan hati yang terbuka.” Eera hanya mampu tersenyum nipis kepada Dato Azrul. Bohonglah kalau dia katakan dia tidak inginkan kebahagiaan. Tetapi buat masa ini dia enggan memikirkan. Eera rasakan kebahagiaan yang ingin dia kecapi itu terlalu jauh darinya.

“Oh.. lupa pula papa. Asyik sangat meluahkan perasaan sampai terlupa.” Dato Azrul membuka laci meja kerjanya. Dia mengeluarkan sampul surat berwarna coklat dari dalam laci tersebut. Eera hanya memerhati. Tertanya-tanya juga apakah benda tersebut.

“Ni geran tanah kamu yang telah dibeli oleh nenek Haikal untuk mengugut kamu supaya berkahwin dengan Haikal.” Eera sedikit tersentak. Maknanya Dato Azrul sudah tahu akan hal sebenar. Eera menelan liur. “Sya tak perlu risau. Sekarang ini semuanya sudah menjadi hak mutlak kamu sekeluarga. Yang itu papa akan pastikan.” Sambung Dato Azrul lagi. “Dan ini.” Dato azrul meletakkan sepasang kunci diatas meja berserta sekeping kertas. “Papa Hadiahkan kamu sebuah kereta supaya kamu mudah berulang alik datang ke tempat kerja. Tapi kalau Sya hendak tinggal dengan papa dan mama pun kami tidak kisah. Hari ini juga kamu boleh berpindah masuk semula. Yang ini pula check yang Mak papa janjikan pada kamu dahulu kalau kamu sudi ikut cadangan gilanya itu.” Eera tertunduk malu. Risau sekiranya Dato Azrul memikirkannya seorang yang tamak. Berkahwin dengan Haikal adalah disebabkan wang.

“Terima Kasih papa. Tapi..” Eera tidak tahu hendak berkata apa. risau Dato Azrul akan menyalah ertikannya.

“Kamu tak perlu risau. Papa faham tindakkan kamu tu. Kalau papa pun, papa akan lakukan pekara yang sama.” Dato Azrul meyakinkan Eera yang kelihatan serba salah sahaja ketika ini.

Pelahan-lahan Eera mengangkat wajahnya dan memandang Dato Azrul. Sungguh dia terharu dengan perhatian Dato Azrul itu. “Terima kasih papa. Terima kasih sangat-sangat sebab memahami saya.”

“Dah lah. Usah difikirkan lagi. Ambil kunci kereta dan cek ni.” Dato Azrul mengarahkan Eera mengambil pemberiannya.

Teragak-agak Eera ingin mengambilnya. “Err.. tentang kereta ni.., sebenarnya Sya tak ada lesen.” Malu-malu Eera meluahkan. Risau pula dikatakan sudah diberi banyak songeh pula.

“Yang itu kamu tak perlu risau. Semuanya papa sudah uruskan. Kamu cuma perlu menghadirkan diri sahaja.” Kelihatan Dato Azrul tersenyum. Mungkin faham dengan apa yang Eera fikirkan ketika ini.

“Kalau macam itu tak apa lah. Susah-susahkan papa pula. tentang pindah balik ke rumah papa tu, nanti Sya fikirkan balik. Rasanya Sya lebih selesa dengan tempat tinggal sekarang.” Dengan baik Eera menolak perlawaan bapa mertuanya itu. Lagipun dia masih belum bersedia untuk bersemuka dengan Haikal sekiranya lelaki itu akan pulang ke rumah keluarganya nanti.

“Itu terpulang pada kamu. Papa..” Belum sempat Dato Azrul menghabiskan ayatnya, intercom diatas meja berbunyi. Dato Azrul memandang sekejap. “Sekejap Ye.” Dato Azrul meminta kebenaran. Eera hanya menganggukkan kepalanya memberi laluan kepada bapa mertuanya itu untuk menjawab panggilan tersebut.

“Ye. Ada apa Lisa?” Dato Azrul diam seketika. Mungkin memberi laluan kepada Lisa untuk bercakap. “Ok. Suruh dia masuk sekarang.” Kelihatan senyuman Dato Azrul melebar sebelum meletakkan ganggang telefon. Senyuman Dato Azrul itu seolah-olah mendapat berita gembira sahaja. Tetapi apakah berita gembira tersebut?

“Mari Sya. Papa hendak kenalkan Sya pada seseorang.” Dato Azrul sudah berdiri dan mengatur langkah kearah pintu masuk biliknya. Eera yang tidak tahu apa-apa hanya mengikuti langkah bapa mertuanya itu sahaja.

Belum sempat mereka menghampiri pintu, pintu tersebut sudah ditolak dari luar. Dato Azrul dan Eera mematikan langkah. Tersembul wajah seorang lelaki di sebalik pintu tersebut. serta merta wajah Eera menjadi pucat sebaik sahaja terpandang wajah lelaki itu. Dirinya dirasakan seolah-olah melayang tanpa berpijak pada bumi. Adakah ini suatu mimpi? Kenapa mereka harus berjumpa di sini?


p/s: sorry kali ni lambat sikit post. bz dengan final exam. lepas tu bz dengan Euro jugak. maklumlah pemainan bola tengah hangat sekarang ni. awal-awal pagi sudah bersengkang mata tengok bola. hehehe.. ni ada update KM untuk pembaca semua. harap enjoy baca bab baru ni. lupa pula. agak-agak siapa ye yang Eera jumpa tu dekat babak paling akhir dalam bab ini? cuba teka.. :)


3 comments:

  1. Mungkin lelaki yang tolong Eera dulu tu kotlah... o_O
    Haih suspen betullah...

    ReplyDelete
  2. alahai xpuasnya baca.... tq awak

    ReplyDelete