Thursday 22 December 2011

Kaulah Matahariku 14


BAB 14

Petang ini terasa banyak pula kerja yang perlu dilakukan. Tidak menang tangan dibuatnya. Letih itu usah diceritakan kerana Eera memang merasakan teramat letih ketika ini. Dia terpaksa balik lewat dari biasa nampaknya hari ini. Kenapa? Kerana bos di dalam tak rasa nak balik lagi kut. Diberinya kerja bertimbun-timbun kepada Eera. Tetapi syukur juga kerana Haikal sudah nampak sedikit perubahan. Dia lebih fokus pada kerjanya berbanding mula-mula dia masuk bekerja di sini. Banyak kerja-kerja yang lebih berat dilepaskan oleh Dato Azrul kepada anaknya itu.
Sedang asyik jari-jemari runcing Eera menekan papan kekunci komputer, tiba-tiba fikirannya melayang pada situasi dimarahi pagi tadi oleh tunang majikannya itu. Eera masih lagi memikirkan persoalan yang ditanya padanya pagi tadi. Siapa yang selalu keluar dengan Haikal? Rasanya sepanjang dia berkerja di sini rasanya tiada seorang pun wanita yang dia lihat keluar dengan Haikal. Lainlah kalau sebelah malam semasa di rumah. Selalu juga Haikal keluar tanpa mengetahui entah kemana. Lagipun itu bukan urusannya untuk mengambil tahu.
Selepas kejadian itu Eera melihat mood Haikal terus berubah menjadi dingin. Tiada senyuman langsung yang dihadiahkan kepada pekerjanya. Hanya riak muka yang beku sahaja dipamerkan kepada semua. Tetapi sebelum ini Haikal selalu senyum kah? Oh tidak! Senyuman lelaki itu cukup mahal sekali untuk dilihat. Cuma kebelakangan ini sahaja Haikal agak pemurah sedikit untuk tersenyum.
“Kau nak berangan ke nak buat kerja ni?” tiba-tiba suara seseorang menegurnya. Semua lamunanya tadi hilang berkecai entah kemana dan digantikan dengan perasaan terkejut ditegur sebegitu.
Eera mengurut-urut dadanya menunjukkan betapa terkejutnya dia sebentar tadi. ‘Ish mamat ni. Nak bagi aku sakit jantung kot?’ Marah Eera didalam hati selepas rentak denyutan jantungnya menjadi seperti biasa kembali.
“Ish Encik ni.. lain kali bagi la salam. Terkejut saya kalau asyik disergah macam ni. Kalau selalu mau jalan terus ni.” Luah Eera sambil mencebikkan mulutnya tanda protes. Satu jelingan maut diberikan pada Haikal. Geram!
“Ah kau tu. Kalau aku bagi salam pun belum tentu lagi sedar. Ni aku ketuk meja dua, tiga kali pun kau tak sedar lagi. Aku jerkah kau boleh la pulak kau sedar.” Bebel Haikal panjang lebar. Muka dia usah dikatakan lah. Sentiasa beku seperti biasa tanpa emosi.
Ambik kau Eera! Menjawab lagi kerjanya. “ye ke incik? Maafla tak sedar tadi.” Dia sudah tertunduk menahan malu kerana ditangkap mengelamun dengan bosnya sendiri ketika waktu kerja.
“Kau dah siap buat kerja tu ke?” soal Haikal sambil melihat jam ditangannya. Kemudia dia memandang wajah Eera kembali sambil mengangkat kening untuk mendapat jawapan.
“Err.. belum lagi Encik. Ada sikit lagi aja ni.” Eera sudah menggelabah. Pasti Haikal memikirkan yang dia menggelamun sehinggakan kerja pun tidak siap.
“Hmmm.. kau sambung siapkan esok ajalah kalau macam tu. Kita nak cepat ni.” Arah Haikal.
“Kita? Kita nak pergi mana Encik?” Eera kebingungan dengan arahan Haikal itu. Ingatkan dia akan dimarahi oleh Haikal kerana lambat menyiapkan kerja yang diberikan.
“Kau jangan banyak tanya boleh tak? Cepat la siap! Save dulu semua yang kau dah buat tu. Esok sambung balik. Kita nak cepat ni. Aku tunggu kau di depan pintu lif.” Panjang lebar arahan Haikal itu. Selesai bercakap sahaja Haikal terus melangkah pergi dari situ.
‘Huh! Cakap elok-elok tak boleh ke? Dah la beku. Tegas pulak tu mamat ni. Tak reti nak berbudi bahasa sikit ke? Aku cekik-cekik jugak nanti.’ Rungut Eera didalam hati. Dalam merungut pun dia tetap melakukan apa yang diarahkan dengan pantas. Tak mahu membiarkan Haikal menunggunya dengan lebih lama.
“Ok dah siap dah Encik.” Eera teru mendapatkan Haikal selepas siap mengemas. Kelihatan lelaki itu sedang sibuk menaip-naip sesuatu didalam telefon bimbitnya.
“Ok jom.” Tanpa memandang Haikal terus melangkah masuk kedalam lif yang baru terbuka itu. Tidak perlu menunggu lama untuk pintu lif terbuka kerana semua pekerja sudahpun pulang ketika ini.
Didalam lif Eera bertanya lagi. “Kita nak kemana ni Encik?”
Mata Haikal masih pada telefonnya bimbitnya itu. “Kau ikut ajalah. Tak usah risau la, aku takkan culik kau punya lah. Bukan taste aku pun.” Haikal menjeling sekilas dan menyambung menaip kembali.
Sup! Amboi tajamnya lidah. Eera begitu terasa sekali dengan ayat Haikal itu. Dia sedar yang dia hanyalah gadis dari kampung. Tak pandai bergaya seperti Sara yang berpakaian sendat sana sini. Tiada harta seperti mereka semua. Tetapi dia masih pandai menjaga maruah dan perilaku. Tetapi kenapa dia harus terasa? Pelik betul hati ini.
“Kau tak usah la buat muka macam tu. Nanti kau tahu la kita nak pergi mana. Bukan aku nak rahsia. Tapi aku pun sebenarnya tak suka juga nak pergi majlis tu. Malas!” Haikal sedar akan perubahan wajah Eera tersebut. Dia juga sedar atas kata-katanya yang agak kasar itu. Tetapi dia dah terbiasa bercakap begitu dengan mana-mana wanita sejak peristiwa setahun yang lepas.
Majlis? Majlis apa? Takkan tak balik rumah dulu? Hati Eera yang terasa dengan kata-kata Haikal sebentar tadi sudah bertukar kepada perasaan risau pula. Mana pernah lagi dia menghadiri mana-mana majlis sepanjang dia berada di sini. Kalau di kampung lain la, kerana ramai yang dia kenal.
“Err.. Encik nak pergi majlis apa ni? Takkan tak balik rumah dulu? Takkan nak pakai baju macam ni aja?” Eera bersuara juga. Dia sudah mula gelisah dengan berita yang baru dia dengari itu. Lagipun takkan la nak pergi majlis pun pakai baju yang sudah di pakai seharian ni?
“Oh.. yang pasal pakaian tu kau tak payah risau. Nanti Aku uruskan.” Jawab Haikal pendek sambil memerhati Eera atas dan bawah. Dia menungusap-usap pelahan dagunya seperti orang berfikir.
‘Ish mamat ni. Kalau ya pun tak payah la perhati sampai macam tu sekali. Aku cucuk juga biji mata dia nanti.’ Marah Eera didalam hati. Dia sudah malas untuk bertanya lagi kepada Haikal. Buat apa bertanya sekiranya sudah pasti tidak akan perolehi jawapannya itu.
Suasana sepi telah mengiringgi pejalanan mereka ke tempat meletak kereta. Setelah sampai, tanpa sebarang kata mereka berdua terus meloloskan diri kedalam perut kereta milik Haikal. Haikal memecut laju keretanya tanpa Eera ketahui kemana arah tujunya.
*****
‘Aik? Takkan majlis dekat sini pulak kot? Biar betul Haikal ni.’ Hati kecik Eera berkata. Dia sudah terpingga-pingga apabila melihat keadaan sekeliling. Walaupun dia orang kampung tetapi dia masih tahu yang ini adalah pusat membeli belah. Mana pernah orang melangsungkan majlis di pusat membeli belah pula kan?
Seolah-olah tahu apa yang bermain didalam benak gadis tersebut Haikal bersuara. “Jom teman aku ambil barang sekejap. Takkan nak tinggal kau dalam kereta pulak kan?”
Eera mengangguk beberapa kali menandakan dia faham akan penjelasan Haikal itu dan pantas membontoti langkah Haikal tanpa banyak soal. Kelihatan lelaki itu berjalan pantas meninggalnya di belakang. Terasa semput pula untuk menyaingi langkah Haikal yang boleh dikatakan dua kali ganda besar daripadanya. Apa hendak dikisahkan. Orangnya pun tinggi macam galah. Sudah tentu la kakinya pun panjang macam galah juga.
Kelihatan Haikal sudah memasuki salah sebuah kedai emas yang berada di dalam bangunan membeli belah ini. Mungkin ingin memebeli cincin perkahwinan agaknya. Tetapi kenapa dalam waktu sebegini dia ingin melakukan semua itu? Sebentar tadi semasa di pejabat dia mengatakan hendak cepat kerana ada majlis penting yang harus dilakukan. Eera merasakan yang dia sebagai pembantu peribadi pun tidak tahu apa-apa tentang majlis ini. Mana tidaknya. Sekiranya bosnya itu tidak bersuara masakan dia boleh tahu.
Eera hanya memerhati dari jauh sahaja tingkah Haikal itu. Terasa malas pula dia ingin mencampuri urusan bosnya tanpa sebab kerana risau nanti dikatakan menjaga tepi kain orang pula. Eera melihat ketika ini Haikal sedang rancak berbual dengan seorang lelaki yang pada pemikirannya mungkin pekerja di situ. Selepas beberapa ketika lelaki tersebut menghilang di sebalik pintu yang memisahkan ruang ini dengan sebuah bilik yang kelihatan seperti sebuah pejabat.
Dalam asyik menunggu Haikal, sempat lagi Eera menjamu mata dengan melihat barang-barang kemas yang dipamerkan di dalam kedai emas tersebut. Seorang pekerja wanita yang berpakaian seragam mendekatinya dan menghadiahkan satu senyuman yang manis. Eera juga membalas senyuman itu sebelum menyambung kembali melihat barang-barang kemas yang dipamerkan di situ.
Mata Eera tertumpu pada satu kerongsang emas yang berbentuk seakan-akan matahari dan berukiran bunga-bunga kecil pada permukaannya. Manakala setiap ukiran kelopak bunga kecil itu pula dihiasi dengan butiran-butiran kecil belian bagi menambah seri keronsang tersebut. Di bahagian tenggah-tengah kerongsang tersebut pula kelihatan batu delima yang terukir cantik menghiasinya.
“Cantik!” dalam keasyikannya memerhati kerongsang tersebut, Eera tidak menyedari yang perkataan ‘cantik’ itu keluar dari mulutnya.
“Kalau dah cantik apa lagi? Beli aja la.” Eera tersentak mendengar suara tersebut. Dia tidak sedar langsung sejak bila lelaki tersebut sudah berada di sebelahnya kerana terleka sekejap sebentar tadi.
“Kalau ikut hati saya memang la nak beli encik. Tapi macam orang selalu cakap la. kalau ikut hati mati.” Dengan sinis sekali Eera menjawab.
Haikal mengerutkan keningnya kerana tidak memahami maksud gadis tersebut. Kenapa pulak perlu mati? “Kenapa perlu mati pula?”
Eera menghadiahkan senyum sumbing kepada bosnya itu. “Ye lah Encik, kalau saya beli ni mau la kena kerja tanpa gaji dengan encik sepanjang hayat saya. Mana la saya mampu nak beli barang mahal-mahal macam ni.”
Kelihatan Haikal sudah membulatkan mulutnya seperti huruf ‘o’ sambil terangguk-angguk dan terus menundukkan sedikit kepalanya untuk turut sama menilik kerongsang tersebut. Kemudian dia mengangkat semula kepalanya dan memandang tepat wajah Eera sambil mengangkat-angkat keningnya beberapa kali.
Eera kehairanan dengan tingkah bosnya itu. “Apa?” dia terus bertanya Haikal yang kelihatan semakin pelik pada pandanganya. Seolah-olah lelaki itu memandangnya dengan satu bentuk pandangan seorang yang gatal pula dia rasakan. Biar betul!
“Kalau macam tu saya belikan kerongsang ni untuk awak lah. Boleh kerja dengan saya sepanjang hayat tanpa gaji.” Haikal sudah mula menahan ketawanya bila melihat mata Eera sudah membulat seperti terkejut dengan cadanganya itu.
“Encik gila? Tak mau la saya! Nanti menderita seumur hidup saya ni.” Eera sudah merasakan cadangan Haikal itu tidak dapat diterima oleh akalnya. Mana mungkin dia hendak bekerja sepanjang hayatnya dengan lelaki beku seperti ini. Eh sekejap! Kenapa nada percakapan Haikal dengannya sudah berubah? Kata ganti nama aku dan kau pun sudah tiada. Terasa terbuai sekejap perasaannya apabila mendengar Haikal bercakap lembut seperti itu.
Haikal sedikit kecewa dengan jawapan Eera itu. Dia pun tidak tahu kenapa harus dia berasa kecewa dengan jawapan gadis tersebut. Tetapi silap dia juga kerana laju sahaja mulut ini memberi cadangan yang entah apa-apa itu.
Kelihatan lelaki yang bersama Haikal sebentar tadi sudah keluar dari biliknya sambil membawa satu kotak baldu berwarna biru bersamanya. Sedar akan kewujudan lelaki itu Haikal terus melangkah menghampirinya.
Eera menyambung kembali melihat-lihat setiap barang kemas yang dipamerkan di dalam kedai emas tersebut. Sebentar tadi dia sedar akan perubahan wajah Haikal yang berubah secara tiba-tiba. Adakah Haikal marah padanya kerana megatakan bosnya itu gila? Eera sudah gelisah dengan andaiannya itu.
“Jom kita gerak sekarang.” Haikal muncul dari belakang Eera. Dia mengatur langkah keluar dari kedai itu. Mungkin sudah selesai urusannya di sini. Eera hanya mengikuti lelaki tersebut dari belakang tanpa banyak soal.
****
Kali ini sekali lagi dia merasa hairan dengan bosnya itu. Mana tidaknya. Sekarang ini Haikal memberhentikan kereta betul-betul di hadapan sebuah kedai yang kelihatan seperti butik pada pandangan matanya. Tadi dikatakan hendak cepat sehinggakan dia hendak habiskan sedikit kerja yang diberinya semasa di pejabat sebentar tadi pun tidak berkesempatan. Sekarang ini boleh pula dia berlenggah-lenggah tanpa rasa bersalah.
“Awak tak nak keluar ke? Nak duduk dalam ni sampai bila?” Haikal bertanya apabila kelihatan Eera seperti tidak mahu turun dari kereta.
Eera tersedar dari lamunannya apabila ditegur oleh Haikal. Eera bertambah hairan kerana pada ketika ini Haikal sudah mula tidak bercakap kasar dengannya sejak keluar dari kedai emas sebentar tadi. Kata ganti diri yang digunakan Haikal pun sudah bertukar kepada berawak dan bersaya dan kedengaran sedikit lembut panggilan itu pada telinganya. Apa dah jadi dengan bosnya itu sehinggakan berubah sebegitu sekali?
Selepas keluar dan menutup pintu kereta Eera melangkah pelahan mengikuti Haikal yang sudah hilang di sebalik pintu cermin gelap milik butik tersebut. Eera mengetahui yang kedai tersebut adalah sebuah butik adalah disebabkan dia sempat melihat papan tanda yang tergantung elok diatas banggunan tersebut sebelum kereta Haikal memasuki petak tempat meletak kereta yang telah disediakan.Keseluruhan dinding butik tersebut hanya diperbuat daripada cermin tebal yang dijadikan dinding untuk menampakkan isi dalamannya.
Sebaik melangkah masuk kedalam ruang butik Eera sedikit tergamam apabila melihat baju-baju yang dipamerkan di dalam butik tersebut. Cantik-cantik belaka sehinggakan boleh membuatkannya menjadi rambang mata seketika. Cepat-cepat dia sedarkan diri kerana merasakan butik ini bukan sekadar seperti butik biasa. Mungkin butik untuk golongan atasan yang mempunyai banyak duit untuk membeli di sini dan sudah pasti bukan orang sepertinya.
Tanpa membuang masa Eera terus mencari kelibat Haikal yang sudah menghilang dari pandanggannya sebentar tadi. Kelihatan Haikal sedang berbual-bual dengan seorang wanita cina yang pada pandangan Eera seperti wanita tersebut mengenali rapat dengan Haikal. Eera mengorak langkah mendekati kedua-dua mereka yang begitu asyik bersembang.
Aunty. Kenalkan ini Syazeera. Penolong peribadi saya.” Haikal memperkenalkan Eera kepada wanita tersebut apabila menyedari kemunculan gadis tersebut.
Sempat lagi Eera menilik seraut wajah wanita tersebut sebelum menghulurkan tangan untuk berjabat tangan sambil menghadiahkan senyuman yang manis kepadanya. Dalam perkiraan Eera, kelihatan wanita tersebut lebih kurang sebaya dengan Datin Fauziah sahaja.
Wow! You bring beautiful young lady here. Just call me aunty Suzy” Kata wanita cina tersebut kepada Haikal seperti terkejut sambil memperkenalkan dirinya kepada Eera semasa mereka berjabat tanggan. Haikal hanya tersenyum dan Eera pula sudah tertunduk malu kerana dipuji begitu. Eera merasakan mungkin wanita tersebut hanya ingin mengambil hatinya disebabkan dia datang bersama dengan Haikal pada waktu sekarang. Kalau tidak jangan haraplah sama sekali dia akan mendapat pujian seperti itu.
Aunty. Saya datang ni nak cari baju untuk majlis malam ni. Saya rasa mesti aunty pun dijemput kan?” tanpa berlenggah lagi Haikal terus mengutarakan hasratnya datang ke butik ini. Eera baru mengetahui tujuan Haikal berkunjung ke sini selepas mendengar bicara lelaki tersebut.
“Ye lah. Aunty pun ingat dah nak tutup dah butik ni sebab nak hadir majlis tu. Tak sangka pula Haikal nak datang sini waktu-waktu macam ni. Nasib baik Haikal cepat sikit. Kalau tak memang tak jumpa lah kita.” Sungguh petah sekali Suzy bercakap dalam bahasa melayu. Takjub seketika Eera dibuatnya kerana jarang sekali berjumpa dengan bangsa cina yang lancar bercakap dalam bahasa Melayu tanpa sebarang pelat. Eera ingatkan wanita cina tersebut hanya pandai berbahasa Inggeris sahaja tadi.
“Saya terlupa tadi tentang majlis tu. Sebab tu datang butik aunty ni nak cari baju utuk salinan. Maklumlah kalau nak balik takut terlewat pula nanti.” Haikal menjelaskan tujuannya datang ke sini kepada Suzy tanpa dipinta.
“Owh boleh aja. Haikal tengok-tengok lah di sebelah sana. Sebelah sini semua bahagian perempuan. Macam tak biasa pula Haikal kat sini.” Suzy memuncungkan mulutnya menunjukkan kearah bahagian pakaian-pakaian lelaki yang terdapat didalam butiknya ini. Sambil itu sempat lagi dia menyakat Haikal yang seolah-olah tidak pernah datang ke sini.
“Err.. bukan macam tu aunty. Tapi saya nak suruh aunty tolong tengok-tengokkan pakaian yang sesuai untuk Sya ni. Dia mungkin baru lagi kat sini.” Haikal menyatakan hasratnya yang sebenar dia datang ke sini. Rasanya dia tidak memerlukan menyalin baju yang lain kerana baju yang dipakai ini pun masih boleh digunakan dan menepati konsep majlis. Tetapi bagi gadis tersebut mungkin tidak kena pada konsep dan kurang selesa untuk ke majlis tersebut.
“Macam tu rupanya. Aunty ingat Haikal yang nak cari baju. Untuk gadis cantik macam ni rasanya tak susah nak cari baju yang sesuai. Mari Sya aunty pilihkan baju yang sesuai utuk awak. Kalau untuk muslimah ada di sebelah sana.” Panjang lebar Suzy bercakap. Eera merasakan seperti wanita itu memerlinya apabila mengatakan dia seorang gadis yang cantik. Geram pula dirasakan kerana masuk ini sudah dua kali wanita tersebut menyebutnya. Dalam marah sempat juga Eera memuji butik ini kerana turut menyediakan persalinan untuk muslimah sepertinya.
Selepas menyarungkan gaun labuh berwarna biru gelap dan tudung senada warnanya dengan gaun yang dipilih Suzy sebentar tadi dia melangkah keluar dengan perasaan gemuruh. Gaun tersebut mempunyai sulaman halus pada bahagian hujung lengan yang kelihatan begitu cantik sekali pada pandangannya.
Terasa seperti tidak layak pula dia memakai pakaian seperti ini. Harga usah dikata. Sudah tentu mencecah ribuan ringgit. Pada mulanya dia menolak untuk memakai pakaian tersebut. Tetapi seboleh-bolehnya Haikal mendesak supaya dia mengikut sahaja arahannya. Siap disuruhnya Eera memakai kasut tumit tinggi yang entah berapa inci tingginya pun Eera tidak tahu. Terkial-kial jugaklah dia hendak berjalan kerana sebelum ini mana pernah dia berkasut seperti itu. Selepas Haikal meminjamkan lengannya untuk dipaut baru agak selesa untuk dia berjalan. Tetapi dia Hanya memegang hujung lengan baju lelaki itu sahaja. Mana pernah dia hendak berlebih-lebih dengan seorang lelaki yang bukan halal baginya untuk bersentuhan walaupun berlapik. Kekok rasanya bagi Eera.
Semasa di dalam kereta yang sedang bergerak dan tidak tahu kemana arah tujunya itu, Eera teringat kembali semasa dia melangkah keluar dari bilik persalinan didalam butik sebentar tadi. Dia pelik dengan pandangan Haikal yang tidak lepas-lepas memandang ke arahnya. Sekali pandang seolah-olah lelaki itu ternganga. Tetapi bila pandang buat kali kedua Nampak seperti biasa pula dia rasakan. Tetapi mata lelaki itu tetap tidak lepas menikam anak matanya. Kenapa dengan bosnya itu? Terasa seperti ada sesuatu pada mukanya mungkin. Tetapi bila dipandang kedalam cermin rasanya tiada apa-apa pun yg mencurigakan.
Usah dikatakan sebentar tadi. Sekarang ini pun Haikal masih asyik menjeling-jeling kearahnya. Terasa seperti ingin cucuk sahaja biji mata itu. Geram pulak bila bosnya itu main curi-curi pandang kearahnya. Mungkin Haikal tidak sedar yang Eera menyedari yang dia asyik curi-curi memandang gadis itu agaknya.
Lagi satu perkara yang ligat bermain di fikiran Eera sekarang ini ialah kemanakah destinasi mereka seterusnya? Majlis apakah yang akan mereka hadiri? Semua itu ligat bermain di fikirannya saat ini. Terasa pelik pula apabila memikirkan yang dia turut dipaksa mengikuti bosnya itu tanpa sebarang alasan. Kerana tidak mahu menyerabutkan otak, Eera memejamkan seketika matanya untuk menggosongkan kotak fikirannya saat ini.

No comments:

Post a Comment