Thursday 22 December 2011

Kaulah Matahariku 16


Bab 16
Kelihatan Dato Azrul mundar-mandir dihadapan bilik kecemasan. Dia begitu gelisah kerana ibunya Puan Sri Azizah masih belum keluar dari bilik tersebut. Begitu juga dengan Datin Fauziah yang turut berasa risau diatas salah satu kerusi yang didudukinya sambil ditenangkan oleh Eera. Sudah hampir dua jam mereka menunggu di situ tampa sebarang berita.
Haikal yang sejak tadi menghilangkan diri, muncul dengan tangan kanannya menjinjit beg plastik berisi beberapa kotak air minuman dan beberapa bungkus roti. Dia risau melihat keadaan papa dan mamanya yang begitu gelisah menanti dihadapan bilik kecemasan hospital. Sejak tadi lagi papa dan mamanya tidak menjamah apa-apa makanan pun. Semasa dia mencari mereka di rumah neneknya tadi, kelihatan papa dan mamanya baru sahaja tiba di situ. Sudah pasti mereka belum menjamah apa-apa sekiranya baru sampai.
“Mama, papa, makan la dulu! Ni Kal ada belikan roti ni. Dari Tadi Kal tengok mama dengan papa tak makan apa-apa lagi pun. Nanti perut masuk angin pula.” Haikal mengarahkan papa dan mamanya supaya makan terlebih dahulu. Risau pula dia apabila melihat keadaan mereka sebergitu.
Dato Azrul dan Datin Fauziah hanya mengelengkan kepala memberitahu yang mereka tidak punyai selera untuk menjamah apa-apa saat ini. Apabila Haikal ingin bersuara lagi untuk memujuk, pintu bilik kecemasan ditolak dari dalam. Kelihatan seorang lelaki yang kelihatan lebih kurang sebaya dengannya dan berjubah putih melangkah keluar. Tanpa membuang masa Dato Azrul dan Datin Fauziah meluru mendapatkan doktor muda tersebut. Pelbagai soalan yang bakal diajukan oleh mereka kepada lelaki itu.
“Macam mana dengan mak saya doktor?” Tanya Dato Azrul risau.
Doktor muda tersebut mengukir senyuman bila diajukan soalan tersebut sebelum menjawab. “Alhamdulillah mak encik tak ada apa-apa sekarang. Cuma dia agak lemah waktu ini. Harap encik boleh beri dia rehat secukupnya terlebih dahulu.”
“Bagaimana pula dengan kecederaan yang dialami oleh mak saya doktor?” Tanya Dato Azrul lagi walaupun sebentar tadi dia sudah menarik nafas lega selepas mendengar keadaan ibunya itu.
“Dia Cuma cedera ringan sahaja. Tetapi bahagian kaki dia mengalami keretakkan tulang sedikit. Untuk keterangan lanjut encik boleh datang ke bilik saya. Lagipun ada beberapa pekara saya ingin bertanyakan kepada encik.” Doktor tersebut memberitahu serba sedikit tentang kecederaan Puan Sri Azizah sebelum dia meminta diri. Kelihatan Dato Azrul, Datin Fauziah dan Haikal sedikit tergamam mendengar berita tersebut.
Keretakkan tulang? Apa dah jadi sebenarnya? Selepas itu masing-masing menghalakan pandangan kearah Eera. Mungkin hanya gadis itu sahaja yang tahu apa yang sudah berlaku.
Eera menelan air liur beberapa kali apabila dipandang begitu. Dia tahu yang mereka ingin mengetahui apa yang sudah berlaku keatas Puan Sri Azizah melaluinya. Memandangkan dia sudah tiada pilihan, terpaksalah dia menceritakan kepada mereka daripada A sampailah ke-Z. Tiada satu perkara pun yang terlepas dari diceritakan oleh Eera melainkan orang yang melakukannya. Ini adalah kerana Eera sendiri pun tidak mengetahui siapa yang telah melakukan perkara tersebut. Lagipun, dia tidak melihat kejadian tersebut dengan mata kepalanya sendiri selain mendengar dari sebalik dinding sahaja.
Ternyata Dato Azrul begitu marah sekali apabila mendengar cerita daripada Eera itu. Dia ingin tahu siapakah yang sanggup melakukan perkara seperti itu terhadap ibunya yang sudah tua dan tidak mampu melawan. Nanti apabila ibunya sudah sedarkan diri, dia akan pastikan Puan Sri Azizah menceritakan segalanya dan dia akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap orang tersebut.
Apabila jam menunjukkan tepat pukul 3.00 pagi, Haikal meminta diri untuk pulang terlebih dahulu kerana matanya sudah benar-benar mengantuk. Eera juga turut merasakan situasi yang sama ketika ini. Selepas memberitahu Dato Azrul, mereka berdua berangkat pulang dan diikuti oleh Datin Fauziah. Pada mulanya Datin Fauziah juga ingin turut menemani suaminya disitu. Tetapi ternyata yang Dato Azrul membantah keras rancangannya itu. Kata Dato Azrul, dia seorang sahaja pun sudah cukup untuk menemani ibunya di hospital.
****
Keesokkan pagi semasa mereka bersarapan sebelum ke pejabat, Eera mendapat tahu dari Datin Fauziah yang menyatakan Puan Sri Azizah sudahpun sedarkan diri awal pagi ini. Masing-masing kelihatan begitu bersyukur atas berita gembira tersebut. Walaupun sebelum ini Eera tidak berapa menyenangi wanita tersebut, tetapi dia juga tidak mempunyai sebab untuk membencinya. Mungkin wanita tersebut pernah mengkritik tentang penampilannya. Namun begitu, dia juga tidak pernah mengambil pusing akan hal tersebut. Malah dia juga sudah melupakannya.
“Encik rasa-rasa siapa ye yang sanggup buat Puan Sri sampai begitu sekali ye?” Soal Eera memulakan bicara semasa didalam kereta yang dipandu Haikal untuk ke pejabat.
“Entah! Awak tanya saya pula. Bukankah awak ada masa kejadian tu berlaku?” Soal Haikal kembali. Dia juga tertanya-tanya kenapa perkara begini boleh berlaku. Setahu dia, neneknya itu tidak mempunyai mana-mana musuh.
“Entah la encik. Saya cuma dengar suara Puan Sri bertekak dengan seseorang sahaja masa tu. Tak silap saya suara wanita. Tapi tak tahu lah pulak siapa dia. Itu pun saya curi-curi dengar.” Eera menceritakan serba sedikit keadaan semasa kejadian semalam sekali lagi kepada Haikal.
“Awak curi-curi dengar? Habis tu, masa kejadian awak ada kat mana?” Soal Haikal lagi.
“Saya kat belakang dinding sambil pasang telinga. Saja je nak test jadi wartawan segera kejap.” Jawab Eera jujur sambil tersengeh macam kerang busuk. Dia tahu mesti Haikal sedang memikirkan yang dia ini jenis yang menjaga tepi kain orang lain juga.
“Oh! Kira awak ni sibuk nak tahu hal orang lain lah ye?” Haikal sedikit menjegilkan matanya memandang Eera seolah terkejut.
“Hehehe.. bukan macam tu encik. Sebenarnya masa tu saya baru keluar dari tandas. Bila saya nak keluar sahaja, saya dengar ada orang bertekak. Mula-mula memang saya tak mahu ambil tahu. Tapi bila dengar nama encik disebut terus saya jadi berminat.” Terang Eera panjang lebar supaya Haikal tidak menganggapnya bukan-bukan.
“Nama saya pun ada nenek sebut? Apa pula kena-mengena saya dalam hal ini?” Haikal berasa sedikit terkejut dengan maklumat yang baru didengarinya. Semalam tidak pula gadis itu menceritakan tentang hal ini kepada papa dan mamanya.
“Entah la encik. Saya pun tak berapa dengar sangat masa tu.” Eera memandang sekilas wajah Haikal di sebelahnya. Kelihatan Haikal sedang memandang ke hadapan sambil mengerut-ngerutkan dahinya seolah-olah sedang berfikir.
“Awak tak cam ke suara orang yang bertekak dengan nenek saya tu?” Tanya Haikal. Sekarang ini dia juga turut berminat untuk tahu siapakah gerangan yang bertekak dengan neneknya semalam sehingga turut membabitkannya.
“Entah la encik. Saya ni mana lah kenal sangat tetamu-tetamu yang hadir semalam. Ramai pula tu.” Beritahu Eera kepada Haikal. Kalau dia kenal milik siapakah suara tersebut sudah tentulah dia akan menceritakannya semalam.
“Hmmm.. betul jugak tu.” Haikal berfikir kembali jawapan yang diberikan oleh Eera itu kerana mempunyai kebenarannya.
****
“Huwahhh..” Eera menguap lagi. Masuk yang ini entah kali keberapa pun dia tidak pasti. Terasa lesu pula tubuhnya kerana menahan mengantuk. Ini kalau dilihat orang mahu dikatakan mayat hidup ni. Mata usah dikatakan. Sudah pasti kelihatan bengkak-bengkak dan lebam.
‘Macam mana nak buat kerja ni. Mata mengantuk betul! Kenapalah Haikal ni tak bagi aku cuti aja?’ gumam Eera didalam hati. Terasa sebal pula kerana terpaksa berkerja walaupun semalam mereka terpaksa tidur lewat. Asalnya tadi dia merasakan ingin mengambil cuti sahaja. Tetapi bila dilihat kesungguhan Haikal bangun pagi dan sudah bersiap, terpaksalah dia membatalkan niat tersebut.
Eera mengurut pangkal lehernya pelahan. Mungkin hendak menghilangkan sedikit rasa mengantuknya. Tetapi ternyata sia-sia sahaja cara tersebut. Dia menegakkan pula badannya dan menyandar pada penyandar kerusi. Tiba-tiba terlintas di kotak fikirannya untuk melihat apa yang dibuat oleh Haikal saat ini.
Eera memanjangkan sedikit lehernya untuk mengintai Haikal yang berada di sebalik dinding kaca yang memisahkan tempat duduknya dengan bilik lelaki tersebut. Dia merasakan sedikit hairan apabila kelibat lelaki tersebut tiada di tempat duduknya. Kemana dia pergi? Eera sudah berasa hairan. Hendak dikatakan lelaki itu keluar, tiada pula dia memberitahunya terlebih dahulu.
Eera berdiri dan mengatur langkah menghampiri dinding kaca tersebut. Selagi dia tidak memastikan lelaki itu masih berada didalam biliknya, selagi itulah hatinya tidak senang. Namun apa yang dilihat Eera sekarang ini membuatkan matanya menjadi sebulat-bulatnya.
“Huh! Mentang-mentang lah dia bos. Sedap-sedap aja dia buat tahi mata ye? Dah la tidur terganga! Tak sopan langsung!” gumam Eera pelahan sambil matanya masih jatuh pada susuk tubuh Haikal yang sedang terbaring diatas sofa berangkai tiga. Terasa geram pula dengan perangai bosnya yang seorang ini. Tak ada disiplin langsung semasa berkerja! Kalau dia tahu jadi seperti ini. Sudah pasti dia bermati-matian tak akan mengikuti lelaki tersebut ke perjabat. Biarlah perbagai alasan yang bakal dia berikan kepada lelaki tersebut asalkan terlepas.
“Muka kau di kenapa Sya? Aku tengok dah macam mayat hidup aja?” tegur Jaja sebaik sahaja Eera melabuhkan punggungnya di atas kerusi.
“Hmmm.. aku tidur lewat la semalam. Sebab tu jadi macam ni.” Jawab Eera malas.
“Lah! Yang kau pergi tidur lewat tu kenapa? Kan kau pun tahu yang hari ni kerja kan?” Hairan pula Jaja dengan minah seekor ini. Dah tahu esoknya hari berkerja, kenapa hendak tidur lewat juga?
“Aku bukan saja-saja lah! Tu encik kesukaan kau kat dalam tu lah. Semalam nenek dia masuk hospital. Sampai pukul 3 pagi aku tunggu kat hospital tu dengan dia.” Jawab Eera jujur tanpa belok-belok lagi.
“Nenek dia? Kau biar betul! Takkan kau suka kat encik Haikal tu sampai nenek-nenek dia sekali pun kau nak jaga kot?” Jaja sudah tersengeh. Dia sahaja ingin menyakat Eera. Padahal satu pejabat sudah tahu yang Puan Sri Azizah dimasukkan ke hospital semalam kerana mengalami kecederaan semasa majlis ulang tahunnya sendiri. Lagipun siapa tidak kenal isteri allahyarham Tan Sri Khairul Abdullah, tokoh koperat terkenal tanah air. Tan Sri Khairul merupakan seorang Mualaf yang berasal dari Eropah dan menetap di Malaysia sebelum mengahwini Puan Sri Azizah dan dikurniakan dua orang anak lelaki.
“Ish! Malas la cakap dengan kau ni. Buat sakit hati aku aja. Dah la aku tengah makan hati dengan orang kat dalam tu. Aku kat luar ni punya lah tahan mengantuk. Tapi dia kat dalam sedap-sedap aja tidur. Geram betul aku!” Eera melepaskan amarahnya. Tambah-tambah lagi apabila mengingati Haikal yang tengah sedap-sedap tidur didalam biliknya.
“Aik? Sejak bila kau ada hati kat encik Haikal ni? Siap nak makan-makan hati pula tu.” Sakat Jaja lagi. Suka pula dia melihat wajah cemerut gadis tersebut.
Ekk? Betul jugak kata Jaja tu. Sejak bila pula dia dah pandai nak makan-makan hati pula ni? “Ish kau nih! Malas la aku nak layan.” Marah Eera dan terus berdiri. Lebih baik dia pergi ke tandas untuk membasuh muka pun lagi bagus. Mudah-mudahan dia lebih segar selepas ini.
“Kau nak pergi mana tu?” Soal Jaja apabila melihat Eera sudah melangkah meninggalnya.
“Aku nak pergi tandas la. Kau nak ikut ke?” sengaja diajaknya sekali Jaja supaya menyertainya walaupun dia tahu jawapan yang akan diberikan sebentar nanti.
“Eh! Tak kuasa aku nak ikut kau. Nak pergi tandas pun nak aku temankan.” Jaja memasamkan mukanya. Dia teringat kejadian ditinggalkan Eera berseorangan di tandas kerana menunggu gadis tersebut. Sangkanya Eera masih belum keluar dari tandas. Selepas hampir 15 minit menunggu dia mula merasa kuatir dan terus mengetuk pintu jamban yang dimasuki oleh Eera. Melopong mulutnya apabila yang keluar bukannya Eera. Tetapi Kak Sally dengan muka yang ketat sekali. Mungkin marah kerana hajat tidak kesampaiyan bila diganggu.
****
Haikal terjaga dari lenanya apabila telefon bimbitnya berbunyi beberapa kali meminta diangkat. Dia mengesat mulutnya yang terasa ada cecair yang mengalir dari celah bibirnya. Sempat lagi dia memandang keadaan sekeliling untuk memastikan tiada orang yang melihatnya berkeadaan sebergitu.
Setelah pasti tiada sesiapa yang memerhatinya, Haikal terus menekan butang menjawab apabila tertera nama mamanya pada paparan telefon bimbitnya.
“Ya mama? Hmm.. nanti petang lepas waktu pejabat Kal pergi lah. Lagipun sekarang ni banyak kerja nak buat ni.” Bohong Haikal. Banyak kerja lah sangat. Kerja tidur di dalam pejabat adalah. Hehehe...
“Ok.. ok.. nanti petang kal sampai. Mama pergi lah dulu dengan Pak Man.” Haikal membuat janji dengan mamanya apabila dipaksa melawat neneknya di hospital.
“Waalaikummussalam..” Haikal menjawab salam dari mamanya itu sebelum memutuskan talian. Dia merenung jam pada tangannya yang menunjukkan dia sudah terlepas waktu rehat. Lama juga dia tidur rupanya. Haikal meraup-raup wajahnya sebelum bangun dan melangkah kearah pintu biliknya. Dia mencari kelibat Eera di tempatnya. Tetapi ternyata gadis tersebut tiada di situ.
“Kak Lin ada Nampak Sya tak?” Tanya Haikal kepada Kak Lin yang sedang menaip sesuatu didalam komputernya.
“Encik cari Sya ke? Kak lin rasa lepas saja rehat tadi dia terus ke surau. Tapi macam dah lama sangat aja dia tak balik-balik lagi ni.” Kak lin yang sedikit terkejut dengan kemunculan Haikal secara tiba-tiba di tempatnya itu terus menjawab. Dia juga turut merasa hairan akan kehilangan Eera sejak tadi lagi.
“Hmmm... kalau macam tu, nanti dia dah balik suruh dia jumpa saya ye.” Haikal hanya meninggalkan pesanan buat pembantu peribadinya itu. Selepas melihat Kak lin mengangguk faham, Haikal terus melangkah kembali ke biliknya.
“Huh! Kemana pulak la Sya ni pergi. Dah dekat dua jam dia menghilang ni. Nanti tak fasal-fasal bapa singa tu mengamuk kan susah.” Rungut Kak Lin perlahan selepas memastikan kelibat Haikal hilang dari pandangannya.
****
“Masyallah sya! Kau kat sini ke rupanya?” Jaja sudah terjerit kecil apabila melihat keadaan Eera sekarang ini. Satu pejabat sudah risaukannya kerana menghilangkan diri secara tiba-tiba tanpa meninggalkan pesanan.
“Weh! Bangun la... aku cepuk jugak minah ni nanti.” Marah Jaja sambil mengoncangkan tubuh Eera yang sedang tidur menyandar pada dinding surau.
“Ish! Kau jangan la kacau aku nak tidur. Aku mengantuk sangat ni.” Rungut Eera dalam keadaan mata yang masih tertutup.
“Banyak la kau punya tidur. Encik Haikal sudah bising-bising cari kau tau sekarang ni.” Beritahu Jaja.
Mata Eera terus terbuka luas apabila mendengar nama itu disebut Jaja. Cepat-cepat dia memandang Jam di dinding surau pejabatnya itu. “Masyaallah! dah pukul 3.” Eera terkejut. Ternyata sudah lama dia tertidur di sini rupanya. Sebentar tadi semasa dikejut Jaja dia merasakan seperti baru sahaja ingin melelapkan mata.
“Kenapa kau tak kejutkan aku tadi Jaja?” Eera menyalahkan Jaja pula.
“Eh.. eh... aku pula yang kena. Ni bukan aku dah kejutkan ke? Mati lah kau kena bambu dengan encik Haikal kejap lagi.” Gertak Jaja. Biar Eera gerun sedikit mendengar. Orang sibuk buat kerja, boleh pula dia tidur dekat sini. Dah la senyap sahaja tanpa meninggalkan pesanan.
“Ye ke? Encik Haikal dah lama cari aku? Mati la aku kali ni..” Kecut perut Eera apabila memikirkan yang dia bakal dimarahi oleh Haikal. Kerja baru sebulan dah pandai buat perangai. Tetapi bukan dia sengaja untuk ponteng kerja. Niatnya ke sini cuma hendak melelapkan sekejap matanya yang mengantuk selepas solat zohor dan sebelum habis waktu rehat. Tak sangka pula boleh terlajak sampai bergini sekali. Hish!
“Ye lah. Baik kau cepat pergi melawat buah hati kau tu.” Hendak tergelak pula Jaja rasakan apabila melihat muka kalut Eera sekarang ini. Tetapi sedaya upaya dia cuba menahan kerana tidak mahu Eera memarahinya lagi.
“Banyak lah kau punya buah hati! Tu singga lapar tu..” Kutuk Eera sambil memuncungkan mulutnya. Eera berdiri sambil membetulkan tudungnya yang mungkin agak herot-petot sekarang ini sebelum melangkah pergi. Destinasinya sekarang tak lain tak bukan sudah tentulah kandang singa!
****
Selepas sampai di hadapan pintu bilih Haikal, Eera menekapkan telinganya terlebih dahulu pada pintu bilik tersebut. Mungkin ingin mengetahui mood lalaki itu terlebih dahulu agaknya. Selepas agak lama dia begitu dan tidak mendengar apa-apa yang mencurigakan, Eera mengetuk pintu pelahan. Terdengar sayup-sayup suara Haikal dari dalam mengarahkannya supaya masuk.
Dengan penuh debaran Eera menolak pelahan pintu bilik tersebut dan melangkah masuk. Dia merapati Haikal yang sedag duduk di tempatnya dan sedang asyik menaib sesutu didalam computer ribanya.
‘Amboi! Bukan main segar lagi dia. Mentang-mentang la dah puas tidur tadi.’ Kutuk Eera didalam hati khas buat Haikal.
“Encik cari saya ke tadi?” Tanya Eera. Dah tahu bertanya lagi pula dia.
“hmmm..” Pendek sahaja jawapan yang diberi. Nada sura seperti sirius sahaja pada pendengaran Eera. Dia menelan liur beberapa kali.
“Kau pergi mana tadi?” Soal Haikal kembali dengan nada yang sedikit kasar.
“Err.. Err..” tergagap-gagap ingin dia menjawab. Ini pertanda buruk! Bila Haikal sudah beraku dan berkau dengannya menandakan lelaki itu memang tengah marah.
“Cakap!!!” Suara Haikal meninggi sambil tangannya menghentam kuat meja kerjanya sehinggakan mengeluarkan bunyi yang mengejutkan Eera.
“Oh mak kau jatuh longkang! Eh meja! Oh engkau.” Eera melatah sambil matanya terpejam rapat disebabkan terkejut teramat sangat. Hampir terlompat keluar jantungnya sebentar tadi dia rasakan. Ekk?? Apa yang dia dah sebut tadi?
Haikal tergamam apabila Eera melatah akibat terkejut apabila mendengar bunyi meja yang ditamparnya tadi. Segala perasaan marahnya terasa seperti tersekat sebentar kerana tidak menyangka reaksi gadis tersebut.
“Ma.. maaf encik. Saya terkejut tadi.” Dia mengurut dadanya yang masih berombak kerana terkejut.
“Kau pergi mana tadi? Kau tahu tak ada panggilan penting masuk tadi tapi tidak berangkat? Nasib baik panggilan tadi dari kawan baik papa aku. Kalau tidak, syarikat kita terpaksa tanggung kerugian sebab kecuaian kau ni.” Terang Haikal panjang lebar. Suaranya sudah sedikit mengendur. Mungkin dia pun sedar atas keterlanjurannya meninggikan suara tadi.
“Saya.. saya tertidur tadi dekat surau selepas solat zohor. Saya benar-benar tak sengaja tadi. Saya minta maaf.” Terang Eera jujur. Kelopak matanya sudah mula terasa lembab. Dia terkejut dengan tengkingan Haikal tadi. Eera juga merasa bersalah atas kecuiannya yang akan mengakibatkan syarikat ini menanggung kerugian.
“Tertidur?” Haikal terasa seperti terpukul pula dengan apa yang didengarinya itu. Dia terasa seperti diperli oleh Eera walaupun dia tahu gadis itu tidak bermaksudnya. Mana tidaknya. Sebentar tadi bukan main sedap lagi dia tertidur didalam bilik. Mungkin gadis itu juga turut merasakan keletihan yang sama sepertinya.
Eera pelahan-lahan menganggukkan kepalanya. Risau pula Haikal akan bertambah marah dengannya apabila mengetahwi hal sebenar.
“Hmmm... kali ni saya maafkan awak. Sekarang awak boleh keluar.” Nada suara Haikal sudah kembali seperti biasa.
“Oh ya. Sebelum saya lupa. Lepas waktu perjabat ni kita akan terus ke hospital. Harap tak ada masalah bagi awak.” Pesan Haikal kepada Eera sebelum gadis tersebut menghilang diri dari pandangannya.
“Baik encik.” Jawab Eera lemah dan tanpa berlenggah lagi dia melangkah keluar dari bilik itu.
Kelihatan beberapa kakitangan pejabat menghampirinya. Itu tak ada lain nak merisik khabar lah tu. gumam Eera didalam hati. Menyibuk sahaja kerjanya.
“Bunyi apa tadi tu Sya? Macam bunyi bom atom aja kak dengar.” Tanya Kak Ani yang memang terkenal dengan mulut kepohnya di perjabat itu.
“Bukan bom atom lah kak. Itu bunyi bom nuclear dah pun.” Jawab Eera seperti tidak berminant hendak menjawab pertanyaan itu. Tapi hendak atau tidak, terpaksalah dilayan juga. Nanti dikatakan sombong pula.
“Biasa lah tu kak. Kalau dia dah marah macam tu lah. Ni saya ada kerja sikit ni. Nanti kita sembang lain ye.” Eera memberi alasan. Bukan niat untuk menghalau. Tetapi sekarang ini dia memang tiada hati untuk bersembang. Kelihatan Kak Ani sudah menarik muncung itik dan berlalu bersama rakan-rakannya ke tempat masing-masing.

No comments:

Post a Comment