Friday 11 May 2012

Kaulah Matahariku 25



Bab 25

Hari ini benar-benar terasa seluruh badan kehabisan tenaga walau sebenarnya tidak ada apa sangat yang dilakukannya. Tetapi kalau asyik berdiri dan tersenyum kepada orang sepanjang hari pun letih juga. Sudahlah orang yang dilayannya itu tidak dikenali langsung. semuanya orang kampung sahaja. Lihat cara pemakaian pun sudah tahu. Kenapalah dia mesti terjebak dengan orang-orang seperti ini? Tak ada kelas langsung. Tapi apa boleh buat, dia dah pun kahwin dengan orang kampung. Ini semua idea gila neneknya yang dah nyanyuk itu. kalau bagi kahwin dengan anak Tan Sri atau Datuk boleh lah lagi dia menerimanya walaupun terpaksa. Ini orang kampung juga yang dikutipnya.

Dalam kegelapan, mata Haikal masih terkebil-kebil memandang sekeliling. Walaupun badan ini terasa letih teramat, tetapi dia masih belum mampu melelapkan matanya itu. Masakan tidak, dia merasakan seperti tidur di dalam oven sahaja sekarang ini. Sudahlah tiada penghawa dingin seperti rumahnya di Kuala Lumpur sana. Ditambah lagi dengan nyamuk yang tidak henti-henti menghisap darahnya tidak kira masa. Memang rumah kampung isterinya ini tidak selesa langsung. Kalau boleh, esok juga dia ajak Eera balik Kuala Lumpur.

Haikal mengangkat sedikit kepalanya untuk melihat Eera yang sedang nyenyak tidur. Bahagia betul kelihatan mak cik tu tidur. Mahu tidak nyenyak. Sudahlah tidur didalam kelambu. Kipas pula dihalakan kepadanya seorang sahaja. Tetapi apa boleh buat, hendak marah pun tidak boleh. Silap dia sendiri yang mengikut kata ego supaya tidak tidur sebelah wanita tersebut. Sekarang merasalah jawabnya.

Berkali-kali Haikal memikirkan situasinya sekarang ini. Hendak naik tidur atas katil ataupun tidak? Kalau tidak, sampai bila baru dia boleh melelapkan mata? Rasanya sampai pagi pun belum tentu lagi. Arhhh!!! Kusut betul kepala ni. Tetapi kalau dia tidur atas katil pula macam mana? Habislah egonya tercalar. Sebentar tadi bukan main angkuh lagi dia berbaring atas lantai ini. Nasib juga lantai tersebut diperbuat daripada papan. Kalau tidak mahu esok pagi seluruh badannya menjadi kejung.

Nampaknya kali ini dia terpaksa meruntuhkan juga egonya. Pelahan-lahan Haikal menyusup masuk kedalam kelambu dan naik keatas katil. Kalau boleh, dia tidak mahu Eera tersedar langsung yang dia tidur di sebelahnya. Esok pagi, akan dia bangun seawal mungkin untuk mengelakkan Eera menyedarinya. Tapi mampukah dia bangun awal? Sedangkan tiap-tiap hari dirumahnya tidak pernah dia bangun awal. Paling awal pun hanya hari bekerja sahaja.

Ahhh.. terasa lega seluruh badannya apabila merasa pemukaan tilam mengalas badannya. Kalau macam ni barulah selesa. Lagipun keadaan sekarang ini terasa sejuklah sedikit apabila merasa angin dari kipas. Tidak seperti tadi. bukan main panas lagi. Lagipun nyamuk kat luar sana mesti terasa sedih kerana tidak dapat menghisap darahnya yang manis lagi berkrim ini. Padan muka! Kira nak isap pecuma sahaja. Sedangkan dia bulan-bulan bayar insuran tau.

Bekali-kali Haikal menguap. Dia sudah tidak tahan lagi mengantuknya. Mata kian lama kian memberat. Mana tidaknya, sudah dapat tempat yang sedikit selesa untuk melelapkan mata. Dalam tidak sedar, entah bila matanya terlelap pun dia tidak tahu. Yang pasti dia terasa bahagia kerana dapat memejamkan matanya ketika badan yang terasa amat letih ini.

****

Eera tersedar dari lenanya ketika azan subuh berkumandang. Dia mengucapkan kesyukuran kepada yang Maha Esa kerana masih memberi kesempatan untuk dirinya meneruskan amal ibadan ketika ini. Sebaik sahaja dia ingin mengangkat kepala dari bantal, Eera merasakan pinggangnya terasa berat semacam. Manakala kakinya juga tidak dapat digerakkan. Terasa seperti ada sesuatu yang menindihnya. Apa dah jadi ni? Takkan dia sudah lumpuh separuh badan pula?

Sebaik sahaja mata Eera memandang kearah bahagian bawah badannya, alangkah terkejutnya dia ketika itu. Dia terlihat ada tangan sasa yang sedang elok memeluk dirinya dan bahagian kaki pula ditindih dengan kaki seseorang. Biar betul? Takkan perogol pula. Hampir terjerit dia di situ sebelum akalnya lebih pantas memikirkan situasi sebenar. Pantas sahaja dia memandang ke sebelah dan melihat wajah Haikal yang sedang nyenyak tidur sambil memeluknya.

Kepala Eera ligat berfikir. Sejak bila pula suaminya itu tidur di sebelahnya. Bukan semalam dia jugakah yang tidak mahu tidur sekali? Tetapi kenapa pula pagi ini Haikal boleh berada disebelahnya pula? pelik betul.

Pelahan-lahan Eera cuba untuk mengalihkan tangan Haikal dari memeluk pinggangnya. Dia mahu bangun untuk menunaikan solat subuh. Tapi tidak berjaya pula apabila tangan itu semakin Eera memeluknya. Dah macam bantal peluk pula Haikal melakukannya. Melampau betul. Sekali lagi Eera mencuba. Tetapi kali ini seperti mengejutkan Haikal dari lenanya pula. Cepat-cepat Eera baring semula dan berlakon seolah masih sedang tidur. Dia dapat rasakan tangan sasa suaminya itu sudah dialihkan dari pingggangnya. Kakinya juga sudah terasa ringan kembali. Eera membuka sedikit matanya untuk melihat Haikal. Kelihatan suaminya itu sedang memerhati mukanya terlebih dahulu sebelum bergerak turun dari katil. Eera kahairanan. Awal pula Haikal bangun ye? Nak solat subuh juga agaknya. Baik dia cepat. Untung-untung boleh berjemaah sekali sekejap lagi.

Selepas seketika, barulah Eera bangun dari pembaringgannya. Dia mencapai tuala yang tersidai di sebalik pintu bilik. Pasti ketika ini Haikal berada di bilik air. Baik dia kemaskan bilik dahulu. Semasa ingin membukakan kelambu, alangkah terkejutnya dia apabila melihat Haikal yang sedang terbaring elok diatas lantai bersebelahhan dengan katil. Laaa.. ingatkan dah pergi mandi tadi. rupanya sambung tidur kat bawah pula? Ni mesti kes nak belakon lah ni. Eera mencebik.

“Encik.. Encik.. bangun. Dah subuh ni.” Eera cuba mengejutkan Haikal dari lenanya. Eera masih memanggil suaminya itu Encik kerana tidak berani hendak memandai-mandai. Risau pula dimarahinya nanti. Lagipun kelihatan Haikal seperti bukan sukakan sangat perkahwinan ini.

Haikal memisat-misat matanya sekejap. Dia memandang sekeliling terlebih dahulu. “Awal lagi ni. Aku mengantuk lah.” Rungut Haikal dengan wajah yang kelat.

“Dah subuh pun sekarang ni. Saya nak pergi mandi sekejap. Encik tidur lah atas katil dulu. Nanti saya kejutkan lagi.” Beritahu Eera sebelum beredar ke bilik air yang terletak di luar rumah berhampiran dengan dapur.

Haikal yang masih mengantuk, pelahan-lahan memanjat katil dan menyambung kembali lenanya yang tergangu sebentar tadi. Didalam hati dia bersyukur kerana merasakan Eera tidak menyedari yang dia juga turut tidur diatas katil. Sudahlah dia siap terpeluk isterinya itu pula. tapi apa hendak dihairankan. Dia tidur memang lasak. Tapi tak apa lah. Eera tak sedar pun.

****

Pagi itu, Eera dan ibunya menyediakan nasi goreng kampung sahaja untuk sarapan mereka sekeluarga. Manakala ayahnya dan Syafiq sudah ke pasar sejak tadi lagi untuk membeli barang-barang untuk dimasak tengah hari nanti. Maklumlah hendak sambut ahli baru dalam keluarga. Kalau boleh hendaklah masak masakan istimewa.

Selepas siap menghidangkan nasi goreng diatas meja makan yang sederhana besar itu, terus sahaja Eera mengatur langkah kearah biliknya. Mungkin Haikal masih tidur lagi ketika ini. Selepas subuh tadi kelihatan lelaki itu memanjat kembali katil untuk melelapkan mata. Hendak ditegur sikap Haikal itu risau pula akan dimarahinya. Kalau dia dan Syafiq buat perangai macam itu, mahu bergegar rumah ini dengan leteran dari ibunya Halimah. Dikatakan rezeki tidak masuk kalau tidur kembali selepas subuh.

Eera membuka pelahan pintu biliknya yang kini sudah dikongsi dengan Haikal. Matanya terus memandang kearah katil sebaik sahaja meloloskan diri kedalam bilik tersebut. Dilihatnya susuk tubuh Haikal tidak kelihatan di situ. Kemana pula perginya suaminya itu? Takkan sudah lari balik ke Kuala Lumpur pula. Hish! Tak mungkin lah.

Matanya berkeliaran di dalam bilik tersebut cuba mencari barang-barang milik Haikal yang dibawanya sekali semalam. Kelihatan ada sahaja minyak rambut dan barang-barang lain yang telah disusun kemas diatas meja solek. Tetapi kemana pula tuannya?

“Kau cari apa tu?” Eera teperanjat apabila ada suara yang menegurnya dari belakang. Tak lain dan tak bukan sudah tentulah suara tersebut milik Haikal. Siapa lagi lelaki yang ada didalam rumah ini melainkan ayahnya dan Syafik. Nasib baik dia tidak terlompat disebabkan terkejut sebentar tadi.

“Ish Encik ni. Selalu kejutkan saya macam ni.” Gumam Eera perlahan kepada Haikal. Matanya menyoroti Haikal yang sedang duduk mencakung sambil menyelongkar beg pakaiannya dibelakang pintu. Patutlah tidak nampak sebentar tadi. Rupanya suaminya itu main sorok-sorok.

“Dah kau tu asyik terhendap-hendap saja dari tadi. Apa yang kau cari?” tanya Haikal sambil tangannnya masih menyelongkar beg pakaiannya tanpa memandang kearah Eera.

“Err.. saya cari Encik lah tadi. Nak ajak sarapan sekali.” Beritahu Eera. Termalu juga dia kerana tertangkap oleh mata Haikal dengan sikapnya sebentar tadi.

“Hmmm… kau pergi dulu. Nanti aku susuli. Nak bersiap kejap ni.” Selepas menuturkan ayat itu, dengan tidak malunya Haikan menyalin bajunya dihadapan Eera. Dia baru sahaja selesai mandi sebentar tadi. susah juga bila bilik air di luar rumah ni. Nak seksi-seksi sikit pun tak boleh. Nanti ada pula anak-anak dara kampung ini yang cair bila terlihat badannya yang sasa terdedah.

Serta merta wajah Eera merona merah. Inilah kali pertama dia melihat susuk tubuh lelaki dewasa secara berdepan begini. Adiknya Syafiq pun tidak pernah menunjukkan  badannya secara terang-terang di hadapannya.

“Kau tunggu apa lagi tu?” tanya Haikal sambil memandang kearah Eera. Hairan pula apabila gadis tersebut masih tidak berganjak dari situ. Sebaik sahaja terpandang wajah Eera, Haikal dapat mengesan riak wajah itu yang sudah berubah. Kelihatan merah sahaja kulit mukanya.

“Err.. saya nak pergi lah ni.. ja..jangan lambat tau.” Sempat lagi Eera menitipkan pesan walaupun dalam keadaan yang menggelabah. Sampaikan hendak bercakap pun sudah tergagap-gagap. Cepat-cepat dia melangkah keluar dari bilik tersebut. Haikal yang memerhati hanya mengelengkan kepalanya sahaja kerana tidak faham dengan tingkah Eera itu. Terus sahaja dia menyudahkan perkara yang belum selesai sebentar tadi.

“Menantu ibu dah bangun ka?” Tanya Halimah sebaik sahaja melihat kelibat Eera yang sedang turun dari tangga untuk ke ruang dapur.

“Dah bu. Kejap lagi dia turun.” Jawab Eera sambil menghampiri ibunya untuk membantu apa yang patut di meja makan.

“Eh.. kenapa muka anak ibu ni merah semacam aja ni?” dipegangnya sedikit dagu Eera sambil memerhati kulit wajah anaknya itu. Hairan pula. sebentar tadi elok sahaja kelihatan.

Eera tergamam akan terguran ibunya itu. Fikirnya sudah hilang merah pada wajahnya sebentar tadi. Rupanya masih ada sehinggakan ibunya boleh menyedari perubahan tersebut. Nasib dia jugalah kerana memiliki kulit putih gebu yang senang dilihat perubahannya ketika malu dan marah.

“Err.. tak ada apa-apa lah ibu. Mungkin cuaca panas sikit kot.” Eera cuba mencipta alasan. Takkan dia hendak mengaku kepada ibunya pula. Mahu bertambah merah mukanya nanti.

Halimah kehairanan. Takkan pagi-pagi begini cuaca sudah panas. Tengok di luar memanglah cuaca cerah sahaja. Tetapi rasanya tidaklah panas mana. Mungkin anaknya itu sudah terbiasa duduk rumah mewah Dato Azrul kot. Maklumlah di sana sentiasa terpasang penghawa dingin. Sudah pandai mengada-ngada anaknya itu. Enggan bertanya lagi, Halimah meneruskan kerjanya sehinggalah menantunya Haikal turun ke ruang makan untuk menjamu selera.

Cepat-cepat Eera menyibukkan dirinya sebaik sahaja dia menyedari kehadiran Haikal. Rasa malu sebentar tadi masih bersisa. Kalau boleh dia tidah mahu langsung memandang wajah tersebut buat masa sekarang walaupun dia sedar yang Haikal tidak langsung menyedarinya.

“Makanlah Haikal. Nasi goreng kampung aja yang sempat ibu buat. Tengah hari kejap lagi barulah boleh makan sedap-sedap sikit.” Pelawa Halimah kepada menantunya itu. Dia sedar yang Haikal masih kekok lagi berada dirumahnya. Maklumlah rumah kampung sahaja. Mana hendak sama dengan citarasa orang bandar seperti menantunya itu.

“Emm… ibu tak makan sekali?” Tanya Haikal kembali kepada ibu mertuanya itu. Terasa malu pula untuk menjamah makanan seorang diri. Sedangkan orang di rumah tersebut masing-masing sedang melakukan kerja termasuklah isterinya.

“Ibu dah makan tadi. Haikal makanlah.” Beritahu Halimah kepada menantunya itu. “Kakak.. temankan Haikal makan dulu. Ibu nak ke rumah mak cik Salmiah kejap. Kerja tu tinggalkan dulu. Nanti sambung balik.” Halimah mengarahkan Eera yang ketika ini sedang membasuh pinggan di singki. Lagipun anaknya itu pun masih belum menjamah makanan lagi.

Eera tersentak apabila namanya disebut oleh ibunya. Sebenarnya dia sengaja menyibukkan diri sahaja. Nampaknya dia sudah tidak dapat lari lagi apabila ibunya sendiri yang mengarahkan dia menemani Haikal makan. Pelahan-lahan dia menapak kearah meja makan dan kelihatan Haikal hanya duduk diatas kerusi sambil menunggunya di situ tanpa menyenduk nasi goreng kedalam pinggan. Tidak selerakah dia untuk menjamah makanan seperti itu? Maklumlah masakan biasa sahaja. Tetapi setahu Eera di rumah Dato Azrul pun makanannya biasa sahaja. Tidaklah sampai hendak terikut masakan barat.

“Err… jemputlah makan Encik.” Eera menuturkan juga pekataan yang bermain di fikirannya ketika ini sebaik sahaja kelibat ibunya hilang disebalik pintu dapur rumahnya.

“Memanglah nak makan. Tapi tolonglah sendukkan untuk aku.” Arah Haikal kepada Eera.

Eera mencebik. Ingatkan tadi Haikal tidak berselera nak menjamah makanan seperti ini. Rupanya sifat mengarah itu masih ada. Sengaja lelaki itu hendak menggenakan dia walaupun Eera sedar yang itu sememangnya tugas seorang isteri buat suaminya.

“Kau tak makan sekali ka?” Tanya Haikal apabila melihat Eera cuma memerhatikannya dia makan.

“Tak apalah Encik. Saya dah makan tadi.” Dalih Eera. Sedangkan dia belum pun menjamah apa-apa sejak tadi lagi. Biarlah, nanti Haikal sudah habis makan dan beredar dari ruang dapur barulah dia akan mengisi perutnya yang kosong.

Haikal meneruskan suapannya apabila jawapan itu yang diberikan oleh Eera. kalau orang sudah kenyang buat apa lagi hendak memaksa. “Petang ni kita balik KL.” Beritahu Haikal tanpa memandang Eera. Pandangannya masih kepada nasi goreng kampung yang berada di hadapannya.

“Hah? Dah nak balik KL?” Tanya Eera terkejut. Cepatnya dah nak balik. Sedangkan dia masih belum puas berada di kampung. Lagipun banyak perkara juga dia sudah rancang dengan Anis sepanjang berada di sini.

“Yup.. Aku ada banyak benda penting nak buat kat sana.” Haikal mencipta pembohongan. Sedangkan dia sebenarnya tidak selesa langsung berada di kampung isterinya ini. Tidurnya semalam pun tidak senyenyak mana. Pagi pula terpaksa bangun awal. Lihat sekarang sudahlah. Baru pukul Sembilan sudah kena mandi dan bersiap. Sedangkan di rumah papanya matahari sudah betul-betul diatas kepala barulah dia hendak bangun. Tambah-tambahan lagi apabila waktu cuti sebegini.

Eera terdiam seketika. Dia seolah sedang memikirkan sesuatu. “Err.. Kalau Encik balik seorang dulu boleh tak?” Eera memberi cadangan. Manalah tahu Haikal bersetuju dan tidak kisah langsung akan perkara tersebut.

“Kau nak mampus? Nanti macam-macam mama tanyakan dekat aku. Dah! Kau kemas barang-barang kau kejap lagi.” Haikal menegaskan suaranya. Dia tahu isterinya itu pasti akan ikut cakapnya apabila dia bertegas seperti itu. “Tentang keluarga kau pula, nanti aku beritahu. Kau tak perlu risau.” Sambung Haikal lagi. Selepas itu terus sahaja dia berdiri usai sahaja habis menjamah nasi goreng kampung didalam pinggannya. Haikal membasuh tangannya terlebih dahulu sebelum naik semula kebilik mereka. Eera hanya mampu memandang tanpa dapat berkata apa-apa kerana keputusan sudah dibuat. Nampaknya terpaksalah dia membatalkan segala aktiviti yang telah dirancang bersama Anis semalam.

****

“Dah cukup dah Syafiq?” Tanya Halimah kepada anak bongsunya itu.

“Dah ibu. Semua Syafiq dah masukkan.” Jawab Syafiq pada soalan ibunya sebentar tadi. Semua kelapa yang telah siap dikopek olehnya telah dimasukkan kedalam boot kereta Haikal. Semua itu atas permintaan ibunya sendiri.

“Kakak balik dulu ibu.” Eera berasa berat hati sahaja untuk berpisah dengan keluarganya. Dipandang wajah ibunya itu. kelihatan wajah tua tersebut sedikit mendung. Dia tahu ibunya berasa berat hati sepertinya juga.

“Hmm.. Nanti dah sampai sana bagitahu ibu tau. Ingatkan kali ni kakak lama lah sikit di kampung ni. Rupanya semalam majlis hari ni dah nak balik.” Keluh Halimah didepan anak sulungnya itu.

“Sudahlah tu mah. Kakak tu dah jadi isteri orang. Lagipun Haikal ada kerja kat KL sana. Tak baik kita jadi penghalang.” Tegur Syamsudin kepada isterinya.

Halimah hanya tertunduk apabila mendapat terguran dari suaminya itu. Dia baru tersedar atas kesalahannya.  Dia terlalu ikutkan sangat perasaannya itu.

“Tak apalah ibu. Nanti ada masa lapang kakak janji akan balik jenguk ibu. Ibu janganlah macam ini.” Eera memujuk ibunya. Tubuh tua itu diraih kedalam pelukkannya. kalau boleh dia pun tidak mahu berpisah lama-lama dengan ibunya. Tetapi apa boleh buat. sekarang ini dia sudah punyai tanggungjawab yang lebih penting.

“Maafkan ibu. Ibu tak terniat nak buat Kakak rasa serba salah.”

“Tak ibu. Ibu tak salah apa-apa dengan Kakak. Cuma satu aja yang kakak pinta dari ibu dengan ayah.” Eera memandang silih berganti wajah kedua ibu bapanya itu. Sesungguhnya dia benar-benar kasihkan mereka berdua.

Syamsudin dan Halimah hanya menunggu bait patah perkataan yang bakal diperkatakan oleh Eera. Tertanya-tanya juga mereka akan apa yang bakal disampaikan oleh anak mereka itu.

“Kakak nak Ayah dan ibu jaga kesihatan. Kalau ada apa-apa cepat-cepatlah maklumkan kepada kakak. Syafiq pula, tolong jaga ayah dan ibu tau. Pelajaran pun jangan diabaikan.” Eera mengalihkan pandangan kepada Syafiq pula. Sempat dia memesan kepada adiknya itu supaya tengok-tengokkan ibu dan ayah mereka bagi pihaknya. Kelihatan remaja tersebut hanya menganggukkan kepalanya sahaja tanpa sebarang kata.

Haikal yang hanya memandang sejak tadi terasa sedikit tersentuh akan kasih sayang diantara keluarga isterinya itu. Sedangkan dia tidak pernah merasakan keadaan seperti itu sejak kecil lagi. Cuma beberapa tahun kebelakangan ini sahaja dia dapat merasainya. Itupun tidaklah sebanyak yang dia dapat lihat ketika ini. Rupanya isterinya itu lebih bernasib baik darinya.

“Dah la tu kakak. Dah lama Haikal tunggu tu. Nanti lambat pula sampai KL.” Syamsudin menegur anaknya itu. Dia juga sudah tidak dapat bertahan lagi. Bila-bila masa sahaja air matanya bakal menitis mengenangkan perpisahan ini walaupun sementara.

“Emm… baiklah ibu, ayah.. Kakak balik dulu. Kalau ada apa-apa, terus sahaja maklumkan pada Kakak.” Eera menyalami tangan kedua ibu bapanya itu. Haikal juga turut mengikut langkah isterinya menyalami kedua tangan ibu bapa mertuanya sebelum mereka meloloskan diri kedalam perut kereta.

Halimah memandang kereta yang dinaiki oleh anak dan menantunya yang kian menjauh itu dengan linangan air mata. Dia mengharapkan Eera akan menemui kebahagiaan disamping suaminya. ‘Semoga kau ketemui kebahagiaanmu wahai anakku.’ Doa Halimah didalam hati.


p/s: huhu.. rasa macam ada kurang lah bab ni. mungkin terasa penceritaan dalam bab ni sedikit terburu-buru. huhu.. apa pula pendapat anda?

3 comments:

  1. Story ni memang nampak macam dibuat terbur-buru...Ada sedikit ejaan yang salah...
    Harap penulis semak dahulu sebelum update...

    ReplyDelete
  2. TQ Atiza sb sudi menegur. mugkin perasan excited nk update buat saya telepas pandang. nanti akan saya perbaiki lagi. hehe..

    ReplyDelete
  3. bolehla...cuma bab ni rasa macam boring sikit la pulak...

    ReplyDelete