Tuesday 3 January 2012

Kaulah Matahariku 19


Bab 19
Suasana gerai makan yang dilawati Eera, Jaja dan Kak Lin ketika ini kelihatan sesak dengan pelanggan. Mereka memilih meja yang terletak sedikit hujung didalam gerai tersebut. Itupun nyaris-nyaris sahaja mereka tidak memperolehi tempat duduk disebabkan terlalu ramai pelanggan yang berkunjung ke situ.
Setelah pesanan yang telah dibuat sebentar tadi sampai di meja, tanpa membuang masa mereka bertiga terus sahaja menjamu selera sambil berbual-bual kosong. Kelihatan perbualan mereka itu sudahpun dikuasai oleh Jaja yang bergitu petah sekali bercakap. Lagaknya seperti tidak mahu memberi ruang langsung kepada Eera dan Kak Lin untuk mencelah. Biasalah Jaja. Bila dia sudah bercakap, dunia ini seperti dia yang punya.
“Kau kenapa Sya? Kebelakangan ni aku tengok kau asyik perhati Encik Haikal je. Ada apa-apa ke?” Tiba-tiba Jaja mengajukan soalan itu kepada Eera. Eera yang tadi begitu asyik menyedut milo ais didalam gelasnya serta-merta tersedak. Terbatuk-batuk Eera ketika ini kerana terasa perit di bahagian saluran pernafasannya. Dia tidak menyangka langsung yang Jaja akan mengajukan soalan sebegitu.
“Eh mana ada! Kau ni pandai-pandai aja ye Jaja? Aku tak pernah pun perhatikan Encik Haikal tu.” Sangkal Eera walaupun ternyata telahan Jaja sebentar tadi benar belaka. Mana mungkin dia ingin mengaku didepan Jaja. Mahu empat hari, empat malam minah seorang ini mengutuknya.
“Kau tak payah nak tipu aku lah Sya. Mata aku ni terang-terang nampak kau asyik perhatikan Encik Haikal tu. sampai Encik Haikal kita tu pula aku lihat dah terkulat-kulat jadinya. Betul tak kak Lin?” Tanya Jaja kepada kak Lin yang berada di sebelahnya. Kelihatan wanita itu menganggukkan kepalanya tanda bersetuju. Habis la kau Eera. Dah terang-terang terkantoi.
“Betul tu Sya. Akak pun perasan juga. Kau perhatikan dia macam nak telan aja akak tengok. Yang Encik Haikal tu pula, boleh dia tersipu-sipu malu dengan pandangan kau tu. Pelik betul. Sebelum ni bukan main garang lagi dengan pekerja-pekerja dia.” Nampaknya Kak Lin pun sudah turut mengukuhkan fakta yang diberikan oleh Jaja sebentar tadi. Bukan setakat itu sahaja. Siap menambah fakta lagi yang menyatakan Haikal malu-malu dengan pandangannya itu. Eera sudah kelu lidahnya untuk menyangkal.
“Err.. Tak ada lah kak. Mungkin tu semua secara tak sengaja je kot. Lagipun kan masa saya berkerja lebih banyak dengan Encik Haikal tu. mungkin sebab tu kot akak dengan Jaja nampak seperti saya renung dia. Yang Encik Haikal malu-malu tu pula akak rasa betul ke? Tahu pulak ke lelaki macam dia tu malu?” Eera cuba menyangkal lagi. Segala alasan yang terlintas di fikirannya terus sahaja diluahkan. Tidak mungkin dia akan mengakukan akan hal tersebut. Mahu malu sepanjang hayat.
“Ah kau tu. Banyak betul alasan. Tak apa, sekarang kau terlepas Sya. Nanti aku dapat tangkap siap kau. Satu pejabat aku hebohkan.” Jaja tidak berpuas hati dengan penafian Eera itu sambil mencebikkan sedikit mukanya. ‘Nanti aku tangkap gambar banyak-banyak buat bahan bukti.’ Sambung Jaja lagi didalam hati dan merencana rancangan yang bakal dia lakukan untuk mengenakan Eera. Kalau dah suka tu beritahu sahaja. Ini tidak.
Kak Lin yang memerhati jaja dan Eera hanya mampu menggelengkan kepalanya sahaja melihat telatah mereka. Manakala Eera pula sudah berkali-kali menelan air liurnya yang terasa kesat di tekak. Dia risau sekiranya Jaja mengotakan kata-katanya sebentar tadi. Mampus la kalau satu pejabat tahu akan hal ini. Mana hendak dia sorokkan muka malunya nanti? Harap Jaja tidak serius dengan niatnya itu. Eera berdoa didalam hati.
“Dah la tu kau orang berdua. Bertekak aja kerjanya. Kita dah lewat ni. Waktu rehat pun sudah hendak tamat. Nanti marah pula encik kesayangan Sya tu bila kekasih hati tak balik-balik lagi.” Sempat lagi kak Lin menyakat Eera. Kelihatan gadis tersebut menjegilkan matanya seperti tidak berpuas hati. Kak Lin yang melihat jegilan Eera tersebut hanya ketawa kecil. Tidak takut langsung.
Setelah membuat bayaran makanan yang telah dipesan sebentar tadi, mereka bertiga berjalan beriringan menuju bangunan pejabat. Eera yang berjalan sedikit kebelakang terasa seperti terlihat seseorang yang dia kenali melangkah keluar dari pintu perjabat. Kelihatan lelaki tersebut melangkah kearah tapak tempat meletak kereta pejabat mereka. Hendak dikatakan lelaki itu Haikal, pakaiannya tidak sama langsung seperti pagi tadi. Pakaian lelaki ini lebih kepada pakaian yang tidak formal ataupun senang dikatakan bukan pakaian untuk ke pejabat. Eera kepeningan memikirkannya.
“Sya! Kenapa ni?” Panggil kak Lin apabila melihat gadis tersebut tiba-tiba sahaja mematikan langkahnya. Kelihatan Eera seperti memandang sesuatu.
Eera yang sedang memerhatikan lelaki tersebut pantas sahaja mengalihkan pandangannya kearah Kak Lin. Sebelum berkata-kata Eera hanya menggelengkan kepala beberapa kali. “Tak ada apa-apa lah akak. Jomlah.”
Setelah menyambung kembali langkahannya, sekali lagi Eera memusingkan kepalanya kearah belakang untuk mencari kelibat lelaki tersebut. Namun kelibat lelaki itu sudah pun hilang dari pandangannya.
****
Lukisan kartun di meja itu diperhatikan olehnya satu persatu. Comel-comel sahaja lukisan itu. Ada juga lukisan yang terdapat di meja tersebut menceritakan babak-babak pendek yang melucukan. Haikal sedikit terleka memerhatikan hasil lukisan Eera yang yang ditampal di atas meja kerjanya. Dia tidak menyangka pula yang gadis itu pandai melukis kartun rupanya. Satu lagi benda baru yang dia ketahui tentang gadis tersebut.
Sedang asyik Haikal memerhati hasil lukisan Eera itu, tiba-tiba telefon bimbitnya didalam kocek seluar berbunyi. Pantas Haikal mendapatkan telefon bimbitnya itu untuk mengetahui siapa gerangan yang menelefonnya. Apabila dia memandang paparan telefon tersebut. Kelihatan nama papanya tertera di situ. Pantas dia mengangkat.
“Ya pa, ada apa papa call kal ni?” terus sahaja Haikal mengajukan soalan selepas talian disambungkan.
“Assalamualaikum. Betuah punya budak. Salam pun tidak, terus sahaja dia tanya soalan.” Leter Dato Azrul kepada anaknya yang seorang ini. Puas diajar, tapi tidak juga diserap oleh Haikal untuk mengikutinya.
Haikal tersengeh kerana menyedari kesilapannya itu. “Maaf pa. Waalaikummussalam… Papa telefon Kal ni ada apa?” sekali lagi soalan diajukan kepada papanya itu.
        “Hmm.. tak ada apa-apa yang penting pun. Err.. cuma papa hendak bagi tahu Kal yang Haidar dah balik. Tadi dia ada ke sini jumpa papa.” Terputus-putus percakapan Dato Azrul untuk berterus terang memberitahu Haikal. Dia risau yang Haikal akan tiba-tiba sahaja melenting apabila mendengar berita yang baru dia sampaikannya itu. Tetapi lebih baik Haikal tahu akan kemunculan semula Haidar walaupun dia tidak menyukainya.
Dengar sahaja nama itu, terus sahaja muka Haikal menjadi kelat sekelatnya. Dia ingatkan lelaki itu tidak akan muncul lagi dalam hidupnya. Tetapi mana mungkin mereka tidak akan berjumpa. Haidar masih ada hak untuk muncul di dalam keluarga mereka. Dia tidak dapat menghalang akan hal tersebut.
“Itu aja ke papa nak bagi tahu Haikal ni? Kalau tak ada apa-apa lagi kita berbual di rumah aja lah nanti.” Suara Haikal sudah mula kedengaran kasar. Percakapannya pun sudah menjadi dingin.
Dato Azrul yang mendengar perubahan suara Haikal secara mendadak itu faham akan apa yang dirasakan oleh Haikal ketika ini. Siapa tidak sakit sekiranya berada di tempat Haikal. Tetapi dia sebagai seorang Ayah, apa yang mampu dia lakukan? Hendak berpihak sebelah sini, yang sana juga merupakan anaknya juga. Tetapi apa Dato Azrul tahu segala yang berlaku bukan disengajakan oleh Haidar. Semua itu sudah menjadi ketentuan Illahi.
“Eh Tak. Ada lagi yang papa nak cakap ni. Tadi nenek ada call papa. Dia ada bagi tahu yang dia hendak berjumpa Kal dengan Sya. Kal dah tahu ke?” Dato Azrul menyampaikan pesanan ibunya sebentar tadi. Entah apalah yang membuatkan ibunya itu ingin berjumpa dengan Haikal pun dia tidak tahu. Padahal sebelum ini bukan main lagi mereka berdua itu tidak sekepala. Tambahan lagi, ibunya juga turut ingin berjumpa dengan Eera. Untuk apa semua itu? Dato Azrul curiga.
“Oh. Kal dah tahu dah pun. Tadi mama ada bagi tahu Kal. Sekarang ni Kal tengah tunggu Sya nak bagi tahu dia lah ni.” Terang Haikal kepada papanya. Sebab ini jugalah dia sekarang ini masih tercongok di meja kerja gadis tersebut. lambat pula dia rasakan Eera hendak muncul walaupun sudah lama dia menunggunya.
“Tak apa lah kalau macam tu. Papa pun banyak kerja nak buat ni. Ingatkan Kal tak tahu lagi tadi. Papa minta diri dulu lah. Assalamualaikum.” Selepas mendengar salam dibalas oleh Haikal, terus sahaja Dato Azrul mematikan talian. Haikal yang masih menekap telefon bimbitnya di telinga mengelamun seketika mengingati perbualan tadi. Hatinya tidak senang saat ini apabila memikirkan yang Haidar sudah kembali.
“Ehem.. ehem..” Terdengar suara seseorang menyapa gegendang telinganya. Telefon bimbit yang masih dipegang di tangan terasa hampir terlepas dari gengaman akibat terkejut. Nasiblah dia cepat bertindak. Kalau tidak mahunya berderai jatuh ke lantai. Haikal mengalih pandangan memandang empunya badan di sebelahnya.
“Err.. Encik buat apa kat tempat saya ni? Ada hal penting ke nak jumpa saya?” Terus sahaja Eera mengajukan soalan apabila dia melihat Haikal mengalih pandangan kearahnya. Sejak dari pintu masuk pejabatnya aras ini lagi dia dapat melihat kelibat Haikal di meja kerjanya yang sedang berbual-bual dengan seseorang menggunakan telefon bimbitnya itu.
“Ha.. balik pun kau. Lama dah aku tunggu dari tadi.” Haikal bangun dari kerusi yang didudukinya itu. Lagipun orang yang ditunggu sudahpun tiba. “Aku nak sampaikan pesanan nenek aku sahaja ni. Dia nak jumpa kita berdua petang ini selepas waktu pejabat. Katanya ada hal penting dia hendak berbincang dengan kita.” Sambung Haikal lagi setelah dia sudah berdiri di hadapan meja Eera memberi laluan supaya gadis tersebut mengambil alih tempatnya semula.
Eera yang mendengar setiap patah perkataan dari mulut Haikal tersebut terus sahaja terasa seperti mukanya menjadi pucat serta merta. Berkali-kali dia menelan liur untuk memastikan setiap butir bicara Haikal sebentar tadi adalah benar. Dalam tidak sedar, Eera sudah membayangkan kemungkinan-kemungkinan yang akan dibincangkan oleh mereka petang nanti. Adakah hal penting tersebut ialah hal perkahwinan antara dia dan Haikal? Saat ini Eera merasakan dia masih belum bersedia lagi untuk membincangkan tentang hal tersebut.
“Kau kenapa? Tiba-tiba aja muka nampak macam pucat aja ni? Kau tak sihat ke?” Soal Haikal dengan nada yang risau. Manalah tahu sekiranya tiba-tiba sahaja Eera berasa tidak sedap badan ataupun sakit.
“Err.. Tak ada apa-apa lah encik. Saya sihat aja ni.” Eera cuba meyakinkan Haikal yang dirinya sekarang ini memang dalam keadaan sihat. Cuma yang tidak sihat sekarang ini adalah hatinya kerana menanggung resah mendengar pesanan Puan Sri Azizah sebentar tadi. Parah! Parah!
“Hmm.. kalau macam tu tak apa lah. Aku masuk dulu. Kalau ada sesiapa yang cari aku katakan kepada mereka aku tengah sibuk.” Selepas memberi arahan, Haikal mengatur langkah memasuki ruang bilik kerjanya. Dia berasa malas untuk melakukan sebarang kerja disaat ini kerana moodnya sudahpun dibawa lari oleh berita yang baru disampaikan oleh papanya sebentar tadi.
Selepas kelibat Haikal hilang dari pandangannya, Eera terduduk lemah diatas kerusi kerjanya. Dia keresahan memikirkan masalah besar yang bakal melanda dirinya tidak lama lagi. Eera tidak pasti adakah dia mampu untuk menanggungnya ataupun tidak masalah tersebut. bagaimana pula penerimaan Haikal akan dirinya selepas mengetahui hal tersebut? Hendak dikatakan lelaki terseput mempunyai rasa cinta terhadap dirinya, itu tidak mungkin sama sekali. Dalam tidak sedar rupanya Eera sudah mengambil tempat yang sama dengan Haikal sebentar tadi untuk menyambung lamunannya.
****
Sebaik sahaja kereta Haikal berhenti di hadapan vila Permai milik Puan Sri Azizah, denyutan jantung Eera sudah mula hilang rentaknya. Dia risau akan pekara yang bakal dibincangkan sebentar nanti. Eera benar-benar belum bersedia ketika ini walaupun sudah berkali-kali dia cuba meyakinkan diri. Bagaimana pula dengan Haikal? Sempat lagi Eera memandang Haikal yang sudah turun dari kereta dengan tenang. Memanglah lelaki itu kelihatan tenang sahaja kerana beliau belum mengetahui apa-apa lagi.
Sebaik sahaja kaki melangkah masuk melepasi pintu utama vila tersebut, mereka berdua disambut oleh Mak Tun iaitu pembantu rumah Puan Sri Azizah. Wanita itu kelihatan tersenyum sahaja menyambut kehadiran mereka di situ. Eera menyalami wanita tersebut terlebih dahulu sebagai menghormati orang yang lebih tua darinya. Lagipun dia hanya tetamu di situ.
“Nenek mana, Mak Tun? Kenapa dia hendak berjumpa dengan kami berdua?” Tanya Haikal sejurus sahaja memandang wajah Mak Tun. Dia ingin mengetahui sebab apakah yang membuatkan neneknya ingin berjumpa dengan mereka.
“Puan Sri ada didalam bilik bacaan sekarang ini. Mak Tun pun tak pasti kenapa dia nak jumpa dengan Kamu berdua.” kelihatan Mak Tun menjawab dengan jujur.
“Oh, kalau macam tu kami pergi jumpa dengan nenek dulu lah.” Haikal meminta diri. Eera yang berada disebelah Haikal hanya mampu membungkamkan dirinya sahaja.
Selepas meminta diri untuk ke tingkat atas, mereka melangkah mendaki anak tangga untuk menuju ke tingkat atas tanpa sebarang kata. Langkah Eera kelihatan lemah sahaja ketika ini seolah-olah rohnya sudah melayang ke kampung meninggalkan jasadnya di sini.
“Kau kenapa? Dari tadi diam sahaja. Muka pun nampak pucat.” Tanya Haikal tiba-tiba sahaja sebaik mereka sampai di tingkat satu.
Eera terkejut dengan soalan tersebut. Nampak ketara sangat kah? Dia menggeleng sebelum menafikannya. “Tak ada apa-apa lah Encik. Saya baik sahaja ni.”
Kelihatan Haikal hanya mempercayai sahaja kata-kata Eera itu. tanpa banyak soal lagi lelaki tersebut menyambung kembali langkahannya ke bilik bacaan. Dalam perasaan yang masih belum tenteram, sempat lagi Eera memerhati keadaan sekelilingnya. Besar betul vila tersebut sehinggakan boleh membuatkan dia sedikit tercungap-cungap mendaki anak tangga sebentar tadi. Hendak dikatakan tinggi tidak lah sangat. Cuma Eera sahaja yang mengada-ngada.
Sebaik sahaja sampai di hadapan sebuah bilik yang kelihatan pintunya terbuka luas, Haikal memberhentikan langkahannya buat seketika sebelum mengetuk pemukaan daun pintu. Dari luar bilik tersebut mereka berdua dapat melihat kelibat Puan Sri Azizah yang sedang duduk di sebuah meja kerja sambil menyelak-nyelak sebuah buku di situ.
“Ha… sampai pun korang berdua ni. Ingatkan tidak mahu datang tadi.” Kata Puan Sri Azizah sambil menanggalkan kaca mata dari batang hidungnya lalu diletakkan diatas meja.
Haikal mencebik. Dah seboleh-bolehnya neneknya itu berpesan sebentar tadi, boleh pula dia kata mereka tidak akan datang. Kalau tak datang betul-betul baru tahu. “Dah orang berpesan mana boleh tak datang kan. Nanti apa pula dikatakannya.”
“Bagus! Macam tu la yang nenek suka. Tak perlu berkali-kali diingatkan pun sudah terpacak didepan mata.” Kedengaran seperti Puan Sri Azizah memerli Haikal. Manakala lelaki itu pula sudah memuncungkan mulutnya kerana tidak berpuas hati diperli oleh neneknya itu.
“Nenek nak jumpa kami berdua ni ada apa? dengar macam penting sangat tadi.” Pantas Haikal menyoal. Dia tidak mahu berlengah-lengah lagi. Biarlah bicara mereka terus sahaja memasuki isi penting tanpa membuang masa lagi. Eera yang hanya mendengar sejak dari tadi tidak berani untuk bersuara walaupun sepatah. Dia risau akan penerimaan Haikal sebentar lagi. Adakah lelaki itu akan melenting? Ataupun mungkin Haikal akan mengamuk seperti orang gila.
“Kalau ye pun duduk lah dulu. Jemput duduk di sana.” Arah Puan Sri Azizah lalu berdiri dan berjalan kearah Haikal dan Eera yang baru sahaja ingin melabuhkan punggung masing-masing diatas sofa yang tersedia didalam bilik tersebut. Eera yang menyedari wanita tersebut datang menghampiri mereka terus sahaja membatalkan niatnya untuk duduk lalu menghulurkan salam buat wanita tersebut. kali ini salamnya bersambut dengan baik.
“Sebenarnya nenek jemput kau orang berdua ke sini ada hal penting yang nak dibincangkan. Mungkin perkara ini agak terburu-buru. Tetapi ini sahaja yang dapat nenek fikirkan. Terutama sekali untuk kamu Haikal.” Kata Puan Sri Azizah sebaik sahaja punggungnya terhenyak diatas sofa. Dia membetulkan sedikit kedudukannya supaya berasa sedikit selesa.
“Hal apa? Cakap terus sahaja lah nek. Tak perlu hendak berbelit-belit ni. Kal ada banyak kerja lagi nak dibuat selepas ini.” Rengus Haikal yang sudah malas mendengar bicara neneknya yang berbunga-bunga sebagai mukadimah. Lagipun apalah yang penting sangat sehinggakan tidak boleh tunggu raya tahun depan sahaja untuk mereka sekeluarga berkumpul dan beramah mesra. Itulah Haikal, sekiranya tiada Hari raya atau majlis penting, dia tidak akan menjejakkan kakinya langsung ke vila Puan Sri Azizah ini.
“Ok. Kalau macam tu nenek nak Haikal dengar betul-betul apa yang nenek nak cakapkan ini.” Puan Sri Azizah juga sudah malas untuk berbicara panjang. Biarlah perbincangan mereka ini terus sahaja ke topik sebenar. “Nenek nak kau kahwin bulan hadapan dengan pilihan nenek.”
“Ha?! Kahwin? Kenapa pulak Kal kena kahwin bulan hadapan? Dengan pilihan nenek pulak tu.” Haikal terus terbangun dari sofa yang didudukinya sebentar tadi. Terbantut sudah hasratnya sebentar tadi untuk mencapai majalah peniagaan diatas meja kopi yang berada di hadapannya. Dia terperanjat dengan hasrat neneknya itu.
“Ya. Nenek nak kau kahwin dengan Sya dalam masa sebulan lagi dari sekarang.” Puan Sri Azizah berkata dengan tegas. Eera yang sejak tadi lagi mendengar, hanya mampu menelan liur berkali-kali untuk menenangkan hatinya yang kerisauan ketika ini. Dia risau sekiranya Haikal akan berang seperti orang gila pulak nanti. Lagipun dia yakin yang Haikal pasti tidak menyetujui cadangan tersebut.
“Ha? Dengan Sya?” Haikal melopong apabila terdengar sahaja nama itu. sangkanya dia akan berkahwin dengan gadis yang tidak dikenali olehnya langsung. “Tapi kenapa dengan Sya?” Sekali lagi Haikal menyoal Puan Sri Azizah.
“Sebab nenek rasa dia yang paling layak digandingkan dengan kamu. Lagipun nenek terhutang nyawa dengannya. Kalau dia tidak menemui nenek malam itu, mungkin nenek dah tak ada di dunia ini lagi.” Puan Sri Azizah bersuara sayu. Dia sememangnya terhutang budi dengan Eera. Tetapi dia ego untuk menunjukkan terima kasihnya kepada gadis tersebut.
“Kal tahu nenek terasa terhutang budi dengan Sya. Tetapi kenapa pula Kal perlu korbankan masa depan kal dengan dia? Mengarut!” Haikal tidak puas hati dengan cadangan neneknya itu. Dia terasa tercabar kerana tidak boleh memilih pasangan hidupnya sendiri. Dia tidak mahu gadis kampung ini menjadi isterinya.
“Err.. Puan Sri. Saya tak kisah pun akan hal malam tu. saya tolong pun ikhlas. Lagipun sesiapa di tempat saya ketika itu pun, pasti akan melakukan perkara yang sama.” Eera mencelah. Dia tidak mahu apa-apa balasan sekalipun dari wanita tersebut. Lagipun secara terang-terang Haikal memprotes tidak mahu berkahwin dengannya sebentar tadi. Dia tidak mahu lelaki tersebut berasa terpaksa mengahwininya.
Puan Sri Azizah terus memandang wajah mulus Eera sebaik sahaja mendengar gadis itu bersuara. “Kau dah lupa ke perjanjian kita? Perjanjian tersebut tetap berjalan. Kau jangan lupa itu.” Kata Puan Sri Azizah sambil memandang Eera. Dia tahu gadis tersebut cuba melepaskan dirinya. Tapi dia tidak akan benarkan. Rancangannya harus diteruskan sebelum ada pihak lain yang cuba mengambil kesempatan keatas cucunya Haikal yang memegang wasiat arwah suaminya itu. Dia tahu pihak tersebut telah mengetahui rahsia keluarganya. Tetapi Haikal masih belum tahu lagi akan hal tersebut. Syarat yang diletakkan oleh suaminya itu adalah Haikal perlu mendirikan ruamah tangga terlebih dahulu sebelum wasiatnya dibacakan.
“Huh! perjanjian apa pula ni? Sudah lah. Kal tak akan setuju sama sekali dengan cadangan nenek tersebut.” Haikal berkata dengan tegas. Masa depannya biarlah dia sendiri yang tentukan. Lagipun dia tidak berkeinginan untuk beristerikan gadis kampung tersebut. Biarlah apa sekalipun perjanjian yang telah dibuat oleh mereka berdua. Dia tidak mahu masuk campur. Pantas sahaja Haikal ingin mengatur langkah untuk keluar dari bilik ini. Terasa membahang pula seluruh badannya apabila mendengar cadangan neneknya itu.
“Jangan terlalu melulu buat keputusan Kal. Nenek akan pastikan kau berkahwin dengan Sya juga. Sekiranya ini tidak berlaku, segala aset kau akan nenek tarik satu persatu. Papa dan mama kau sendiri pun tidak mungkin dapat membantu kerana semua itu masih bawah kawalan nenek.
Haikal tergamam dengan ugutan neneknya itu. Langkahan yang diaturnya tadi terus sahaja mati. Tidak sempat pun dia melangkah keluar dari bilik tersebut. Dia seolah-olah tidak mempercayai apa yang baru didengari oleh telinganya sebentar tadi. Betulkah apa yang neneknya katakan tadi? Bagaimana sekiranya wanita tersebut mengotakan segala kata-katanya itu?
Eera merenung Haikal seketika yang kelihatan sedang berfikir panjang ketika ini. Wajah lelaki tersebut kelihatan tegang sahaja. Manakala kedua belah tapak tangannya pula sudah digenggam kejap seolah-olah sedang menahan geram. Eera tidak dapat menelah apa yang difikirkan oleh Haikal ketika ini.
“Kalau macam tu Kal akan terima cadangan nenek ni. Tapi…” Akhirnya Haikal bersuara setelah agak lama dia mendiamkan diri sambil berfikir. Haikal tahu yang dia memang tidak akan mampu hidup tanpa kemewahan yang telah lama dia nikmati selama ini. Tentang Eera pula, kemudian sahaja dia uruskannya.
“Tapi apa lagi?” Pantas sahaja Puan Sri Azizah mencelah.
“Tapi kalau boleh kal tak mahu kawan-kawan kal semua tahu tentang pekahwinan ini.” Haikal cuba berunding dengan Puan Sri Azizah. Kalau boleh dia ingin merahsiakan status dirinya yang akan datang. Mana mungkin dia akan mengaku yang gadis kampung itu adalah isterinya kelak. Mahu dikutuknya nanti oleh rakan-rakannya. Terutama sekali rakan baiknya Nizam. Lagipun Haikal merasakan dia tidak boleh mempercayai gadis kampung seperti Eera ini. Mungkin Eera hanya berminat kepada hartanya sahaja. Maklumlah hendak mencari kesenangan segera lah katakan.
“Oh. Cuma itu sahaja ke? Kalau yang itu kal tak perlu risau. Kita Cuma akan buat majlis kecil-kecilan sahaja. Cuma ahli keluarga terdekat sahaja yang bakal dijemput. Cuma di sebelah Sya, kita akan buat seperti biasa. Nanti apa pula kata keluargannya kalau tiada sebarang majlis nanti.” Puan Sri azizah berkata dengan hati yang sedikit lega kerana perancangannya telah berjalan dengan lancar. Lagipun dia tidak perlu risau akan hal merahsiakan perkahwinan Haikal itu nanti. Puan Sri Azizah yakin, pihak yang berniat tidak baik terhadap keluarganya itu akan tahu juga akan perkahwinan Haikal kelak sebaik sahaja wasiat arwah suaminya dibacakan.
Eera yang sejak tadi mendengar hanya mampu memandang lantai sahaja. Untuk membantah sekalipun dia tidak mampu. Bagaimanakah penerimaan keluarganya nanti apabila tiba-tiba sahaja dia memberitahu yang dia bakal berkahwin. Pergi Kuala Lumpur baru sahaja sebulan lebih, tetepi sudah bawa balik calon suami. Tambah-tambahan lagi calon yang dibawanya itu langsung tidak dicintai olehnya langsung.
Sebaik sahaja Eera mengenangkan yang perkahwinannya ini bakal dirahsiakan oleh pengetahuan umum, Eera merasakan air matanya bakal gugur bila-bila masa sahaja. Dia seolah-olah menjadi tahanan diantara agenda dua orang yang berada di hadapannya ini. Kenapalah dirinya yang tidak tahu apa-apa harus terjebak dalam masalah ini?
Selepas selesai membincangkan hal-hal yang berkaitan, Haikal dan Eera meminta diri untuk beredar. Lagipun tiada apa sangat untuk dibincangkan. Maklumlah perkahwinan ini langsung tidak direlai oleh kedua-dua bakal pengantin baik sebelah lelaki mahupun wanita.
Puan Sri Azizah hanya tersenyum sahaja apabila memikirkan permintaan Haikal sebentar tadi. ‘Tak apa lah Haikal. Kita tengok sahajalah nanti samada cadangan kau tu berjalan lancar ataupun tidak.’
Apabila kereta yang dipandu Haikal menghilang dari pandangannya Puan Sri Azizah yang sekarang ini masih berdiri tegak di balkoni bilik bacaannya, tiba-tiba sahaja dia terbatuk-batuk sehinggakan terasa perit di tekaknya. Pandanggannya juga sudah menjadi berpinar-pinar dan tidak jelas ketika ini. Pantas Puan Sri Azizah memegang penghadang di balkoni tersebut supaya badannya tidak rebah ke lantai.
“Kak Zah.. Kak Zah ok ke ni?” Mak Tun yang baru sahaja menjengah ke bilik bacaan ini terus sahaja mendapatkan Puan Sri Azizah apabila sebentar tadi dia terdengar batukan dari wanita tersebut. Dia menjadi risau apabila melihat wajah wanita tersebut seolah-olah sedang menahan sakit.
“Aku tak apa-apa. sikit sahaja ni.” Selepas berkata-kata, pantas dia mengalihkan tangannya yang dari tadi asyik menekup mulutnya. Pandangannya masih terasa kabur.
“Ya Allah Kak! Mulut akak keluar darah banyak ni.” Dengan terkejut, terus sahaja Mak Tun memapah Puan Sri Azizah supaya masuk dedalam. Dia menjadi cemas apabila melihat darah yang keluar dari mulut wanita tersebut. Lagipun cuaca yang sejuk di luar sekarang ini mungkin menyebabkan tubuh tua tersebut tidak dapat bertahan.
“Tak apa Tun. Aku dah biasa. Lagipun kau sendiri pun tahu yang aku ni dah tidak boleh bertahan lama lagi. Aku perlu cepat bertindak.” Lemah sahaja suara Puan Azizah menuturkan ayat tersebut. Lagipun badannya sekarang ini sudah semakin lemah untuk menahan sakit yang dihidapinya ketika ini.
Mak Tun Hanya mampu menggelengkan kepalanya sahaja. Dia memandang sayu wanita tersebut. begitu tabah sekali wanita itu meneruskan hidupnya. Sudahlah terpaksa menguruskan kerja-kerja pejabat. Manakala masalah keluarga pula sering kali membebankannya. Mak Tun Hanya mampu berdoa didalam hati agar Puan Sri Azizah sentiasa sihat selalu.