Tuesday 1 May 2012

Kaulah Matahariku 24

Bab 24


Sesungguhnya takdir itu telah menentukan segalanya. Kita sebagai manusia hendaklah menerimanya dengan hati yang terbuka tidak kira suka ataupun tidak. Mungkin kita diturunkan dengan pelbagai dugaan bagi memastikan kita tidak leka mengingati-Nya. Sesungguhnya dugaan itu jugalah yang akan mendekatkan kita terhadap Sang Pencipta yang lagi maha berkuasa terhadap dunia ini.

Selepas disiapkan mak andam yang diupah khas oleh Puan Sri Azizah, seluruh keluarga Eera yang terdekat dan rakan-rakan dijemput dengan kenderaan mewah yang telah disediakan oleh pihak lelaki untuk pergi ke Masjid yang terdekat. Ini semua telah diuruskan oleh Puan Sri Azizah terlebih dahulu tanpa pengetahuan Eera langsung. Rupanya wanita tersebut sudah lama merancang dengan keluarga Eera di kampung bagi menjayakan majlis tersebut. Sampaikan kenduri di pihak wanita pun telah dirancang dan ditanggung sepenuhnya. Cuma Eera sahaja yang tidak tahu akan hal tersebut. Ingatkan hendak buat kecil-kecilan sahaja. Tapi sekali buat, satu kampung dijemputnya. Boleh terkejut orang kampung bila tahu Syamsudin yang tidak punyai harta langsung ini boleh buat kenduri besar-besaran sebegini.

Selepas bersiap, Eera memerhatikan dirinya seketika kedalam cermin. Pantulan imej di hadapannya itu telah memaparkan imej seorang gadis yang mengenakan sepersalinan baju kurung moden putih dan dihiasi oleh labuci serta sulaman, benar-benar membuatkan Eera tergamam seketika. Bagaikan tidak percaya pula yang ini adalah dirinya. Disentuh sedikit wajahnya yang telah dicaliti solekan tipis. Benarlah ini dirinya. Tetapi kenapa nampak lain benar?

“Cantik anak ibu hari ni.” Kedengaran sura Halimah menegur Eera dari belakang. Dia baru sahaja memasuki bilik ini untuk memastikan anaknya itu sudah bersedia untuk berangkat. Kenderaan yang dihantar oleh pihak lelaki sudahpun tiba.

Eera memusingkan badan dan menghadiahkan senyuman manis buat ibunya itu. Terasa berbunga sahaja hati ini apabila mendapat pujian dari orang paling disayangi. Halimah yang menghampiri anaknya itu terus sahaja mengusap pelahan wajah anak gadis tersebut seraya membalas senyuman tersebut.

“Dah siap? Kereta dah sampai tu. Mereka suruh cepat sikit sebab pengantin lelaki dah sampai dah.”

“Dah bu” Eera memberi jawapan. Sebaik sahaja dia mendengar perkataan pengantin lelaki, terus sahaja semuanya terlayar kembali. Barulah dia teringgatkan akan masalah perkahwinannya yang terpaksa ini. Sebentar tadi Eera terlupa sekejap kerana begitu kembang hati ini melihat wajah sendiri sebaik sahaja disiapkan oleh mak andam.

“Kalau macam tu jom lah.” Halimah menarik tangan Eera pelahan. Mereka perlu cepat. Lagipun sudah setengah jam mereka lewat dari masa yang dijanjikan.

Eera hanya mengikut sahaja. Sedangkan hati ini pula makin lama makin kuat menghentam dadanya sehinggakan terasa seperti sesak nafas sahaja. Kalau boleh dia lari, sudah pasti dia akan lari dari masalah ini. Tetapi bagaimana pula dengan keluarganya? Dia tidak sanggup hendak melihat keluarganya menderita. Sebagai anak, dia hendak memastikan mereka sentiasa gembira tidak kira apa sahaja yang berlaku.

Sebaik sahaja sebelah kaki sudah melangkah kedalam perut kereta, tiba-tiba Eera teringatkan sesuatu. Patutlah dari pagi tadi terasa sunyi sahaja hidupnya. Rupanya masih ada yang tidak muncul lagi walaupun masa bertolak sudah tiba.

“Ibu? Anis mana? Kata nak ikut sekali. Ni dari pagi tadi lagi tak nampak?” Tanya Eera kepada Halimah sebaik sahaja menyedari sahabat baiknya itu masih belum muncul lagi. Semalam bukan main lagi beriya-iya nak ikut. Alih-alih sekarang ini dia pula yang tak ada. Apa kes?

“Aa la.. mana pula si Anis ni? Semalam sibuk sangat nak ikut. Ni orang dah nak bertolak dia pula tak muncul-muncul.” Gumam Halimah sambil memandang ke arah jalan besar dihadapan rumah.

“Mungkin dia tak jadi ikut kot. Semalam pukul dua pagi baru dia balik. Mungkin penat kot.” Sambung Halimah lagi membuat ulasan. Lagipun masa sudah suntuk ni. Kalau tidak bertolak sekarang nanti bising pula pihak lelaki.

“Hmm.. mungkin kot ibu. Kalau macam tu tak apa lah. Kita gerak dulu.” Luah Eera bernada sayu. Kalau boleh dia ingin sahabat baiknya itu menjadi teman di hari berbahagianya ini. Tapi bahagiakah dia? Rasanya jauh panggang dari api adalah. Tak apa lah. Dah tak ada rezeki.

Sebaik sahaja sebelah kakinya memasuki perut kereta, sekali lagi ianya tidak jadi apabila mendengar suara seseorang memanggil namanya dari kejauhan. Kelihatan Anis sedang berlari-lari anak kearahnya. Kelibut sungguh minah ini. Ingatkan sudah tidak jadi hendak ikut dah tadi.

Sedang asyik berlari-lari anak, tiba-tiba sahaja kaki Anis tersadung akar pokok mangga di hadapan rumah Eera itu. Disebabkan hilang keseimbangan terus sahaja Anis tersembab di situ juga. Nasib baik terjatuh atas rumput. Kalau tidak sakit juga tu. Itulah kelibut sangat. Eera dan orang ramai yang melihat terus sahaja menghamburkan ketawa kerana tidak tahan melihat gaya Anis jatuh sebentar tadi. ‘macam-macam betul kawan aku ni.’ monolog Eera didalam hati.

Cepat-cepat Anis bangun dan menayangkan sengihan seolah-olah tidak bersalah. Padahal dah tentu malu tak sudah tu. depan orang ramai pula tu. Eera hanya mampu menggeleng sahaja melihat telatah rakannya itu.

“Kau ni kenapa kelibut sangat ni?” Tanya Eera sebaik sahaja Anis mendekatinya.

Anis menayangkan muka masam. “Aku terlewat bangun lah tadi. sebab tu lah nak cepat sampai siap terjatuh-jatuh. Nanti kena tinggal pulak.” Terang Anis atas kelewatannya sebentar tadi.

“haha… lawak la kau ni. Tengok tu.. kain tudung pun dah senget habis.” Eera menunjukkan tudung Anis yang sudah senget.

Cepat-cepat Anis membetulkan tudungnya. “Sorry aku lambat tadi. Nasib baik sempat. Kalau tak, mahu kena tinggal aku ni. Penat-penat ja aku beli baju nak melaram masa kau menikah ni. Alih-alih kena tinggal pula.”

“Ye lah tu. Eh jom lah! Kita dah lambat ni.” Terus Sahaja Eera menarik tangan Anis masuk kedalam kereta yang sama. Manakala Halimah yang memerhati sejak tadi turut juga masuk kedalam kereta bersebelahan pemandu. Dia sudah faham benar dengan sikap keduanya itu. kalau berjumpa, mulut tak pernah berhenti bercakap. Sekejap lagi pasti kereta yang dinaiki mereka ini tidak lari dari mendengar dua orang itu  bersembang. Manakala suaminya pula menaiki kereta di hadapan bersama dengan saudara yang lain.

****

Sebaik sahaja kaki melangkah keluar ke perkarangan masjid, mata Eera telihat rombongan sebelah lelaki yang hadir. Ramai juga yang hadir. Tapi yang pasti kesemuanya dia tidak mengenalinya. Mana tidaknya. Asyik dirumah Dato Azrul dan pejabat sahaja. Lagipun mungkin kesemua manusia di hadapan matanya ini adalah orang yang kenamaan sahaja mungkin.

Tercari-cari juga Eera kelibat Haikal di situ. Tetapi tidak kelihatan langsung. Mungkin dia sudah berada di dalam masjid. Sambil mengatur langkah untuk memasuki masjid, rombongan dari pihak Eera dijemput ramah oleh orang ramai yang berkumpul sebentar tadi. Siapa lagi kalau bukan rombongan dari pihak Haikal.

Apabila memasuki ruangan masjid ini, barulah Eera dapat melihat susuk tubuh Haikal dari arah belakang yang mengenakan baju melayu cekak musang yang bewarna putih bersih senada dengan baju yang dipakai olehnya juga. Dato Azrul, Zakuan, Datin Fauziah dan Puan Sri Azizah juga turut berada di situ sambil bersembang-sembang dengan beberapa orang lagi yang memakai serban di kepala. Mungkin orang tersebut adalah imam yang akan melangsungkan upacara akad nikah mereka sebentar lagi agaknya.

Eera menghampiri kelompok tersebut dengan diikuti Anis dan keluarganya di belakang. Sebaik menyedari ada orang menghampiri mereka, semua yang berada di situ memandang kearah Eera dan rombongan. Terpaku seketika Eera sebaik sahaja melihat wajah Haikal ketika ini. Langkahnya serta merta mati.

Biarpun wajah Haikal ketika ini tidak mempunyai sebarang riak, tetapi dia kelihatan begitu kacak sekali dengan mengenakan sepersalinan baju melayu kain satin. Wajahnya kelihatan seolah-olah bercahaya sahaja pada pandangan Eera. Tiba-tiba sahaja hati Eera berdetak kuat dan terasa satu perasaan asing di dalam dirinya. Eera tidak pasti perasaan apakah itu. selama ini dia tidak pernah merasakan sebegitu.

Sebaik sahaja terasa lengannya disiku oleh Anis, Baru sahaja Eera merasakan dia berpijak kealam nyata semula. Tadi rohnya bagaikan sudah melayang-layang ke udara sahaja. Hebat betul aura lelaki tersebut memberi kesan kepadanya. Eera memandang kearah Anis. Kelihatan wajah sahabat baiknya itu sarat dengan persoalan yang memerlukan jawapan. Eera tahu apa yang bakal disoalkan oleh sahabatnya itu.

“Muka bakal laki kau ni macam Anan ja. Ni Anan ka?” Anis mengajukan soalan dengan hanya berbisik sahaja. Kalau boleh dia tidak mahu orang lain mendengarnya. Biarlah mereka berdua sahaja yang berbicara.

Eera mengeleng pantas. Dia sudah agak. Pasti soalan itu yang akan diajukan oleh Anis. “Bukan lah. Nama dia Haikal, aku mula-mula ingat macam tu juga.” Bisik Eera kepada Anis pula. “Kau ni macam tak tengok kad kawin aku pulak kan?” Sambung Eera lagi yang masih dalam keadaan berbisik. Anis tersengeh sahaja selepas itu. mungkin berpuas hati dengan jawapan yang diberi oleh Eera.

“Pengantin lelaki, pengantin perempuan dengan Wali diminta duduk di sini.” Arah salah seorang yang memakai serban sebentar tadi kepada semua hadirin terutamanya kepada bakal pengantin dan wali. Kelihatan alas tempat duduk bagi Eera dan Haikal sudah tersedia elok diatas lantai masjid yang beralaskan karpet nipis. Semuanya sudah tersedia elok tanpa perlu disusun lagi.

Semua hadirin mengambil tempat masing-masing bagi menyaksikan dua hati yang bakal disatukan sebentar lagi. Dari belakang Eera hanya dapat memandang susuk tubuh Haikal yang sedang mengadap ayahnya menanti untuk menjawab akad sebentar lagi. Terasa gemuruh pula hati ini walaupun bukan dia yang perlu menghadapinya. Titis-titis halus peluh sudah terasa membentuk di dahi apabila memikirkan perkahwinan ini bukan atas dasar cinta sama sekali. Eera merasakan nasibnya sudah pasti tidak senasib dengan isteri-isteri di dunia ini yang telah mengecapi bahagia disamping suami tercinta.

Terkejut Eera seketika apabila tubuhnya dipeluk oleh seseorang. Pantas sahaja dia mengalihkan pandangan mengadap bahagian sisinya dan kelihatan wajah Halimah sudah dibasahi dengan air mata. Eera yang baru menyedari dari lamunannya sebentar tadi terkaku seketika kerana tidak dapat menjangka apa yang sudah berlaku sehinggakan ibunya menagis sebegitu sekali.

“Kenapa ibu menangis ni?” Tanya Eera kehairanan. Sedangkan sebentar tadi elok sahaja ibunya itu duduk di sebelah.

Halimah megeleng lemah sambil menghadiahkan senyuman manis buat Eera. “Ibu bukan menangis lah sayang. Tapi ibu gembira.”

Eera yang mendengar jawapan dari ibunya itu mengerutkan sedikit wajah kerana tidak faham. Kalau gembira kenapa pula air mata itu turun berjujuran seperti tidak mahu berhenti pula? kalau gembira kenapa ibunya itu berasa gembira pula? Eera penasaran seketika.

“Kenapa ibu gembira pula ni?” Tanya Eera seperti orang yang tidak mengetahui apa-apa.

Halimah yang mendengar pertanyaan tersebut terus sahaja tercengang. Baru sahaja dia hendak melayan perasaan ini. Alih-alih disoal begitu pula. Pantas sahaja tangannya menampar lengan Eera kuat. “Lupa lah tu! Awak tu dah jadi isteri orang sekarang ni. Ni mesti tengah berangan ni.”

Ekk? Baru sahaja Eera tersedar yang dia sekarang ini tengah berada di tengah-tengah masjid untuk di ijab kabulkan sebentar tadi. sempat pula dia memikirkan masa hadapan yang bakal dilaluinya kelak sehinggakan tidak sedar semuanya sudah selesai. Menyesal pula rasanya apabila tidak dapat menghayati setiap bait patah perkataan yang dilafaskan oleh Haikal tadi.

Haikal yang baru sahaja selesai membuat solat sunat syukur kelihatan mengatur langkah kearah Eera bagi menyarungkan cincin. Terasa berdebar-debar pula Eera saan ini apabila Haikal kian menghampiri. Memang ternyata lelaki itu begitu segak pada hari ini. Mata yang melihat ini seolah-olah tidak jemu sahaja memandangnya. Jantung pula usah dikatakanlah. Dah hampir jatuh pun.

Sebaik sahaja jari manis Eera disarungkan cincin, serta merta silauan kelipan dari cahaya kamera menerangi ruang tersebut. kedengaran juga suara-suara yang mengarahkan Eera mencium tangan suaminya itu. Eera hanya ikut sahaja tanpa membantah. Lagipun, inilah tugasnya yang pertama setelah menjadi isteri orang. Sebaik sahaja dia memanggung, satu kucupan hangat hinggap di dahinya. Terkaku seketika Eera saat ini. Manakala lampu-lampu dari kamera sekali lagi berpancaran kearah mereka berdua tanpa memberi peluang langsung.

Sebaik sahaja semua selesai, Datin Fauziah terus sahaja melulu mendapatkan Eera dan memeluk tubuh itu. Manakala Haikal pula secara tidak langsung tertolak ketepi sedikit. Muka itu terus sahaja bertukar menjadi keruh apabila diperlakukan sebegitu rupa. Mungkin kerana tidak berpuas hati apabila mamanya sendiri lebih mengutamakan menantu terlebih dahulu daripada dirinya.

“Terima kasih Sya sebab sudi terima anak mama yang tak dengar cakap ni.” Terus sahaja ayat itu meluncur laju dari mulut Datin Fauziah sebaik sahaja pelukan dirungkaikan sedikit. Mata Datin Fauziah sempat menjeling Haikal kerana ayat itu memang sengaja dituturkan buatnya.

Haikan mencebik lagi. Tak habis-habis mamanya ingin memburukkan diri ini kepada orang ramai terutamanya Eera. Lagipun dia juga tidak ingin mengahwini gadis tersebut sekiranya tidak dipaksa oleh nenek. Tetapi kalau tidak mengahwini gadis tersebut, kenapa kebelakangan ini hati tersebut terasa gelisah semacam sahaja bila tidak bertemu? Hish! Parah.. parah..

“Tak ada lah mama. Mungkin ini semua adalah suratan takdir. Mungkin inilah jodoh kami.” Sambil berkata, Eera melirikkan matanya kearah Haikal. Kelihatan lelaki itu cepat-cepat memandang kearah lain seperti tidak mendengar apa yang diperkatakan. Hendak belakon tidak tahu apa-apa lah tu. Hai suami aku ni…

Selepas upacara akad nikah selesai, semua jemputan dan hadirin yang berada di masjid tersebut dijemput hadir kerumah pengantin perempuan bagi meraikan detik bersejarah ini dengan kenduri kesyukuran. Semua ini juga telah dirancang oleh Puan Sri Azizah. Pada awalnya encik Syamsudin ayah kepada Eera menolak juga tawaran tersebut. Tetapi Puan Sri Azizah begitu bijak sekali memainkan ayat untuk memujuknya. Katanya, kelak mereka bakal menjadi satu keluarga juga.

****

Semua rombongan pihak lelaki beransur pulang selepas menjamu selera. Yang tinggal cumalah Haikal seorang sahaja ketika ini. Pada mulanya dia juga ingin mengikut rombongan pulang ke hotel yang disewa sementara oleh mereka kerana keesokan masih ada lagi majlis persandingan. Tetapi pantas sahaja Datin Fauziah menghalang. Katanya biarlah sehingga majlis selesai kalau hendak pulang sekalipun. Akhirnya Haikal terpaksa akur juga.

Disebabkan terasa agak kekok dengan orang ramai yang tidak dikenalinya, Haikal terpaksa menempel dekat dengan isterinya yang baru nikahi itu. Sekiranya ada yang bertanya, bolehlah Eera yang tolong jawabkan apa yang patut. Keadaan itu berterusan sehinggalah majlis tamat.

Terasa penat pula apabila terpaksa melayan tetamu yang tidak putus-putus hadir walaupun hari ini Cuma boleh dikatakan kenduri kecil-kecilan sahaja. Esoknya barulah akan diadakan kenduri yang sebetul-betulnya. Pasti boleh lembik badan ini hendak melayan tertamu nanti. Ini semua Puan Sri Azizah punya angkara. Kalau buat kecil-kecilan pun sudah cukup fikir Eera. Tidak perlu membazir sangat. Lagipun keluarganya bukan ada ramai kenalan rapat pun. Biasalah. Orang kurang harta ni tidak ramai yang ingin berkawan.

Eera melabuhkan punggungnya di birai katil bagi menghilangkan lelah. Tudung yang meliliti kepalanya dirungkai pelahan. Biarlah angin luar menyegarkan kulit kepala ini yang sudah terasa berkuap. Sebaik sahaja tudungnya dapat dirungkaikan, kedengaran satu ketukan pelahan pada permukan pintu biliknya. Cepat-cepat Eera mencapai tuala dan diletakkan diatas kepala sebelum membuka pintu tersebut. Kelihatan wajah Haikal yang tersembul di balik pintu tersebut. Eh? Dia tak balik lagi ka? Tanya hati Eera kehairanan.

“Eh? Encik tak balik lagi ka?” Tanya Eera pelahan. Risau juga ada orang dengar yang dia memanggil Encik kepada suami sendiri. Tapi apa boleh buat. Itulah permintaan Haikal sebelum ini.

“Aku ingat nak balik dah tadi. Tapi Ibu kau yang tahan. Dia kata, masuk la bilik dahulu berehat. Lepas sembahyang zohor nanti barulah balik.” Terang Haikal panjang lebar. Dia pun dalam keadaan berbisik juga. Takut orang dengar lah tu.

“Ek? Errr.. err.. kalau macam tu masuk lah.” Jemput Eera tergagap-gagap. Dia terasa segan pula apabila membayangkan terpaksa berada sebilik dengan lelaki. Padahal lelaki tersebut adalah suaminya juga.

Haikal melangkah masuk dan memandang sekeliling bilik tersebut yang telah dihias cantik. Kecil sahaja bilik Eera ini kalau nak dibandingkan dengan biliknya. Boleh dikatakan empat kali saiz bilik ini baru sama dengan biliknya. Terus sahaja menapak kearah katil dan melabuhkan badannya di situ. Letih pula asyik berdiri sahaja dari tadi melayan tetamu yang tidak dikenali. Ni kalau tidur pun sedap.

Eera yang memerhati sedikit tergamam dengan tindakan Haikal itu. selamber badak sahaja hendak tidur atas katilnya. Tapi memang sepatutnya begitu pun. Eera yang tidak keruan ketika ini hanya mampu duduk diatas kerusi mengadap meja solek. Tuala yang diatas kepala tadi dengan pelahan ditanggalkan. Sanggul rambutnya diuraikan untuk membenarkan rambut yang panjang lepas bebas ditup angin.

Mata Haikal yang terpejam seketika tadi dibuka pelahan-lahan. Kelibat isterinya dicari untuk memastikan kedudukannya. Dia terpandang Eera yang duduk mengadap meja solek dan pantulan wajah tersebut dari cermin dipandang. Air liur ditelan berkali-kali apabila melihat wajah tersebut tanpa bertudung. Begitu ayu sekali pada pandangan mata lelakinya. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia menghampiri Eera saat ini.

Sedang asyik menguraikan rambutnya, Eera tersedar yang ada mata sedang memandangnya melalui pantulan cermin. Muka Eera tiba-tiba sahaja membahang kerana malu dipandang begitu. Dia sudah menjadi seperti cacing kepanasan sahaja. Risau pula apabila melihat pandangan tajam tersebut. Tetapi keadaan itu tidak lama kerana Haikal mula membetulkan baringannya dengan mengiring membelakangi Eera. Mungkin suaminya itu juga terasa malu barangkali. Ataupun dia memang tidak terniat langsung hendak melihat wajah ini melainkan tidak disengajakan.

Sedang asyik mengelamun dihadapan cermin, Eera tidak menyedari yang dia terlelap di hadapan meja solek tersebut dengan hanya beralaskan lengan sendiri sahaja. Mungkin badan yang letih menuntutkan rehat yang secukupnya. Sedar- sedar sahaja telinganya menangkap bunyi denkuran halus dekat di cuping telinganya. Mata yang memberat dipaksakan membuka juga. Sebaik sahaja mata itu membuka terus sahaja wajah Haikal dipandang hampir dengan wajahnya. Oh, rupanya Haikal yang berdengkur, fikir Eera dalam fikiran yang masih mamai. Eh? Haikal? Terus sahaja mata Eera membutang apabila betul-betul sedar dari lenanya. Tindakan refleks yang cepat membuatkan Eera terus terduduk dari pembaringannya. Haikal juga turut terjaga dari lenanya apabila terasa katil bergoyang. Dalam keadaan mata yang separuh buka, dia melihat Eera sudah duduk di sebelahnya. Pelahan-lahan dia bangun dan duduk juga sambil tangan menutup mulut yang sedang menguap.

“Err.. Macam mana saya boleh tidur atas katil ni?” Tanya Eera malu-malu. Mukanya sudah mula merah-kemerahan disebabkan menahan rasa malu yang menguasai diri.

Haikal mengaru kepalanya seketika sebelum menjawab. “Entah la. Aku pun tak tahu mcm mana kau boleh ada atas katil ni. Kot kau tidur sambil berjalan kot tadi.” jawab Haikal. Dia baring kembali apabila terasa matanya masih memberat.

Eera tergadah seketika. Takkanlah dia berjalan masa tidur kot? Masa kecil-kecil dahulu pernah lah juga. Tapi bila meningkat usia ni rasanya tak pernah lagi. Mungkin betul kot apa yang Haikal katakan itu. disebabkan penat yang melampau, dia tidak menyedari langsung apa yang sudah berlaku.

Apabila melihat Haikal kembali tidur, Eera terus sahaja turun dari katil. Nampaknya waktu zohor sudah masuk. Jadi dia harus menyucikan diri untuk mengadap yang maha Esa. Haikal nanti dia kejutkan. Selepas mengambil sepersalinan baju dan kain tuala, terus sahaja Eera melangkah keluar dari bilik. Beginilah rumah kampung. Bilik air pun dekat luar. lagipun tetamu sekarang ini sudah berkurang. Yang ada cumalah sanak saudara yang terdekat sahaja. Itupun tidak ramai.

Sementelah semuanya selesai pada petang hari itu, Haikal meminta diri untuk pulang ke hotel terlebih dahulu. Eera dan keluarga hanya menghantar pemergian Haikal cuma sekadar di halaman sahaja. Bukan apa. Esok dia akan ke sini lagi bersama dengan keluarganya. Mungkin lepas itu beliau akan menghabiskan cuti beberapa hari di sini sehinggalah majlis sebelah lelaki pula pada minggu hadapan. Itupun kalau dia tahan untuk berada di kampung ini sehingga waktu itu.


p/s: Sorry kalau terlambat. kerja memang banyak sekarang ini. apa2 pun, saya akan cuba buat yang termampu. kepada pembaca2 sekalian, kalau sudi tinggal2kanlah commen anda. mgkin cerita ini tidak seberapa. tapi commen anda memang membantu untuk ketahui baik buruk penulisan saya ini. TQ~~~:)


3 comments:

  1. akhirnya kahwin juga Eera & Haikal... XD

    ReplyDelete
  2. Ini baru permulaan cerita antara Eera dengan Haikal. nanti bayak lagi yang perlu dorang lalui. yang pasti, ada suka dan duka mereka bersama :)

    ReplyDelete