Thursday 22 December 2011

Kaulah Matahariku 18


Bab 18
Saat ini Eera merasakan kepalanya sesak memikirkan masalah yang bakal ditempuhi olehnya. Dia tidak pernah terbayang langsung di dalam ruang fikirannya yang dia akan melalui detik-dedik sebergini. Masakan tidak. Pekara yang difikir itu adalah melibatkan masa depannya dan keluarga di kampung.
Keluarga? Itulah yang membuatkan Eera sentiasa runsing saban hari. Sekiranya hal ini tidak melibatkan keluarganya di kampung, memang mudah sahaja bagi Eera untuk menyelesaikannya. Tapi tidak untuk kali ini. Eera merasakan dia seperti terperangkap di tengah-tengah dan terpaksa melakukan perkara tersebut demi kesejahteraan keluarganya di kampung.
Tujuan untuk mengahwini Haikal itu adalah satu pekara yang tidak pernah diimpikan oleh Eera. Malah, dia tidak pernah memikirkannya langsung. Masakan dia mampu untuk memikirkan perkara tersebut sekiranya diantara mereka tiada sekelumit perasaan cinta yang hadir. Lagipun mereka adalah dari dua dunia yang teramat berbeza. Mampukah Haikal mencintainya kelak? Ataupun mampukah dia sendiri yang mencintai Haikal selayaknya sebagai suami? Arhhhh!!! Pening Eera memikirkannya.
Sedang asyik memikirkan masalah yang melanda dirinya, tiba-tiba fikirannya melayang mengingati sahabat baiknya Anis di kampung. Segera Eera mencapai telefon bimbitnya yang kelihatan agak uzur di sebelahnya. Pesanan ringkas mula ditaip dan di hantar kepada nombor milik Anis. Hendak ditelefon kawan baiknya itu, nampaknya baki wang tidak mencukupi.

+ Assalammualaikum Anis. Kau wat apa?
- Waalaikummussalam. Aku? Mcm biasa la. Tunggu orang masuk minang.
+ ko nih.. aku tgh serius boleh pula ko main-main.
- Heheh.. Tak lah.. aku baru balik kerja ni. Ada apa ko sms aku?
+ Saja lah aku sms ko. Takkan tak boleh kot?
- Alah ko tu mcm aku tak kenal pula. mesti ada masalah la tu.
+ Memang pun.. aku tengah berserabut sangat ni.
- Masalah apa pula ni? Cuba cita kat aku meh.

Sedang asyik Eera membalas pesanan ringkas sahabatnya itu, tiba-tiba sahaja pesanan yang terakhir tidak dapat dihantar. Ini menandakan wang yang masih tinggal telahpun habis digunakan olehnya. Nampaknya tidak dapatlah Eera berkongsi masalah dengan Anis buat kali ini. Eera kecewa.
“Kenapa lah aku tak terfikir nak topup banyak-banyak siang tadi?” gumam Eera sendirian didalam biliknya. Enggan memikirkan lagi, Eera mengatur langkah untuk keluar dari biliknya. Dia merasakan dadanya semakin sesak dengan masalah apabila hanya terperap didalam bilik ini sahaja.
Sebaik keluar dari bilik, Eera berfikir seketika kemanakah arah tujunya didalam banglo tersebut. Jam di dinding menunjukkan tepat pukul sebelas malam. Masih awal lagi baginya untuk tidur pada waktu-waktu sebegini. Manakala seisi banglo tersebut sudahpun masuk ke bilik masing-masing. Selepas membuat keputusan, Eera mengatur langkah keluar dari banglo mewah tersebut dan menuju kearah taman bunga yang tersedia indah di luar sana.
Selepas melabuh punggungnya di salah sebuah kerusi batu yang tersedia didalam taman tersebut, Eera menikmati suasana malam di situ. Sunyi malam benar-benar dapat mententeramkan perasaannya yang sedang kalut ketika ini. Bunyi cengkerik yang berlagu riang mengingatkannya akan suasana kampung yang sudah lebih sebulan dia tinggalkan.
Eera menarik dalam-dalam nafasnya untuk menghirup udara malam yang dingin sehingga terasa sampai ke tulang hitamnya. Tiba-tiba dia tersentak apabila telefon bimbit yang diletak di sebelahnya tadi berbunyi. Pantas dia mencapai dan melihat nama pemanggil pada paparan telefon bimbitnya itu. Anis! Tanpa berlenggah lagi dia terus menekan butang menjawab.
“Hello. Assalammualaikum.” Jawab Eera sambil mengukir senyuman gembira kerana rakan baiknya itu menelefonnya.
“Waalaikummussalam. Kau kenapa diam tadi?” Tanya Anis dengan nada yang risau.
“Oh! Tadi tu kredit aku habis la. Lupa pula yang kau dah guna Celcom sekarang.” Beritahu Eera jujur kerana tidak mahu sahabatnya itu risau.
“La.. aku ingat apa lah tadi. Buat penat aja aku risaukan kau kat sini.” Beritahu Anis dengan sura yang dibuat-buatnya seperti sedang kecewa.
“Hahaha... mengada kau! Tak ikhlas langsung nak call aku.” Eera ketawa mendengar keluhan Anis yang tidak ikhlas tersebut. Dia tahu yang sahabatnya itu hanya ingin berlawak dengannya.
“Kau SMS aku tadi kenapa? Mesti ada masalah kan? Selalunya tak ada maknanya kau nak SMS aku dulu.” Serkap jarang Anis. Lagipun dia kenal sangat perangai sahabat baiknya yang seorang ini.
“Hmmm.. lebih kurang macam tu lah. Tapi aku tak tahu nak cerita macam mana.” Adu Eera dengan suara yang lemah. Anis yang mendengar merasakan sahabatnya itu benar-benar punyai masalah berat yang ditanggungnya. Selalunya Eera seorang yang periang dan susah sekali Anis ingin melihat sahabatnya itu bersedih. Lagipun peristiwa sedih setahun yang lepas pun rasanya Eera sudah boleh lupakan.
“Ok, ok.. cuba kau cerita kat aku perlahan-lahan. Jangan risau lah. Kradit aku tengah banyak ni.” Seloroh Anis untuk mewujudkan suasana ceria diantara mereka.
“Haha..” Eera sudah mula ketawa. “Bukan sebab itu lah.” Beritahu Eera sambil menyangkal alasan yang diberikan Anis tadi. Dia tidak risau langsung sekiranya baki wang talian Anis tidak mencukupi kerana bukannya talian milik dirinya pun. Cuma Eera terasa sedikit berat untuk meluahkan perasaannya ketika ini. Dia tidak tahu untuk bermula dari mana.
“Habis tu sebab apa? Cuba kau cerita dengan aku.” Soal Anis kerana tidak sabar untuk mengetahwi perkara sebenar.
“Kalau aku cerita ni kau jangan terkejut pulak tau?” Eera berpesan terlebih dahulu kepada Anis supaya sahabatnya itu tidak terkejut akan berita yang bakal dia sampaikan.
“Ok aku cuba tak mahu terkejut. Tapi aku tak janji tau.” Anis cuba meyakinkan Eera. Dia pun sebenarnya agak berdebar-debar untuk mengetahui pekara yang bakal diceritakan Eera kepadanya. Dari nada Eera bercakap pun dia sudah dapat mengagak yang perkara itu seperti serius.
“Aku kena kahwin...” Perlahan sahaja Eera menyebut perkataan itu. Namun masih boleh didengari oleh Anis yang berada di hujung talian di sebelah sana.
“Apa kahwin?! Kau biar betul! Jagan main-main dengan aku boleh tak?” Anis terjerit. Dia terkejut dan susah untuk mempercayai dengan apa yang baru diperkatakan Eera sebentar tadi.
“Ya betul lah. Aku dipaksa kahwin.” Beritahu Eera sekali lagi. Kali ini lebih jelas dari sebelumnya.
“Ha?! Dipaksa kahwin?” Sekali lagi Anis terjerit. Eera yang menekap telinga pada telefon bimbit sebentar tadi menjarakkan sedikit telinganya. Terasa bingit dengan pekikan Anis itu. Boleh pecah gegendang telinganya kalau selalu seperti ini.
“Sapa yang paksa kau kahwin ni? Ayah kau ke? Ke Mak limah yang paksa kau kahwin?” Bertubi-tubi soalan diajukan oleh Anis sehinggakan ayah dan ibu Eera di kampung juga terbabit sama.
“Eh.. satu-satu la kau ni pun. Macam mana aku nak cerita kalau kau asyik potong sahaja cerita aku.” Eera menjadi geram dengan gelagat Anis yang tidak menyempat itu.
“Ok.. ok.. cuba kau cerita dekat aku masalah kau ni. Aku dengar.” Anis cuba menenagkan dirinya kembali.
“Hmmm.. cerita dia macam ni.” Eera menguis-nguis rumput yang berada di hujung kakinya sebelum memulakan cerita. Eera menceritakan semuanya kepada sahabat baiknya itu. Tetapi tidak pula dia menceritakan sebab apa dia terpaksa dan dipaksa berkahwin dengan Haikal. Biarlah perkara itu menjadi rahsia antaranya dengan Puan Sri Azizah sahaja. Eera cuma menceritakan dengan siapa dia perlu berkahwin kepada Anis dan siapa yang memaksanya supaya berbuat begitu. Sempat juga Eera memesan kepada Anis supaya tidak menceritakan hal ini kepada keluarganya di kampung. Dia tidak mahu ayah dan ibunya risau akan dirinya di sini.
“Habis tu kau macam mana?” Soal Anis yang ingin mendengar jawapan dari mulut Eera. Sudahkah sahabatnya itu membuat keputusan?
“Entah la. Aku pun masih lagi memikirkannya. Tapi aku nak atau tidak, macam dah tak ada pilihan lain lagi.” Sekali lagi Eera mengeluh memikirkan masalahnya itu. Entah buat kali yang keberapa pun dia sudah tidak tahu.
“Aku tak tahu lah sebab apa yang buat kau sampai terpaksa kahwin tu. Tapi aku rasa mungkin ni sudah jodoh kau. Kadang-kadang jodoh tu datang pelbagai cara. Entah la. Aku nak cakap pun tak pandai sangat hal-hal jodoh ni. Aku pun tak kahwin lagi. Jangan kata kahwin, teman istimewa pun aku belum jumpa batang hidung dia lagi.” Anis cuba berseloroh. Nasihat Anis tersebut telah membuatkan Eera memikirkan semula akan perkara tersebut. Ada benarnya mungkin Haikal itu sudah jodohnya. Tapi sampai mana kebenaran itu? Hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu.
“Betul juga cakap kau tu Anis. Mungkin dia jodoh aku. Tapi macam mana pula penerimaannya tentang aku? Sedangkan dia sudah punyai tunang yang sepuluh kali ganda cantik dan seksi dari aku pula tu.” Adu Eera lagi untuk mendapatkan pandangan sahabatnya itu.
“Eh.. kan dari dulu lagi aku cakap yang kau tu cantik. Sapa kata kau tak cantik? Cuba bagi tau aku. Tapi yang seksi tu aku tak boleh kata apa la. Tapi serius aku cakap. Bibir kau memang seksi macam Angelina Jolie.” Anis memuji Eera melambung. Tapi benar, Eera memang mempunyai raut wajah yang menarik. Bibirnya benar-benar seperi bibir Angelina Jolie. Sehinggakan diwaktu mereka sekolah dahulu, rakan-rakan lelaki menggelar Eera, Angelina Jolie Malaysia.
“Huh! Ada-ada je kau kan? Saja nak kenakan aku lah tu. siap la kau kalau aku balik nanti..” Eera merendah diri. Inilah sikap yang sentiasa dimilikinya. Dia tidak mudah melatah dengan pujian orang. Lagipun rupa paras itu cuma sementara sahaja.
“Tengok tu.. aku puji kau betul-betul, kau tak nak percaya. Tapi bakal suami kau tu hansome tak?” Tanya Anis untuk mengambil tahu.
“Ish kau ni. Belum apa-apa lagi dah kata bakal suami aku. Mana la tahu kalau nanti tak jadi ke. Buat malu aku aja.” Eera cuba mengubah tajuk. Biarlah nanti apabila sudah betul-betul pasti sahaja Eera akan kenalkan Haikal kepada Anis. Lagipun risau pulak Eera sekiranya Anis tahu yang wajah Haikal itu seakan-akan mirip dengan wajah seseorang yang dikenali mereka sebelum ini.
“Betul juga cakap kau kan? Tapi apa yang nak dimalukan. Kita dua aja kan yang tahu?” Anis cuba meyakinkan Eera akan pekara tersebut. “Ok lah sayangku Eera. Aku ada kerja nak buat lah sekarang ni. Nanti ada masa kita berbual lagi.” Anis meminta diri selepas itu kerana dia mempunyai kerja yang perlu disiapkan. Lagipun kalau hendak melayan perbualannya dengan Eera, mahu sampai esok pagi pun belum tentu lagi habis. Maklumlah banyak benda yang ingin dibualkan.
“Ok. Bye sayang. Nanti kita sambung lagi. Assalammualaikum.” Eera merasakan rindu untuk berbual dengan sahabat baiknya itu terlerai juga apabila dapat berbual seperti ini. Dia tersenyum apabila mengingati perkataan ‘sayang’ yang digunakan sebagai panggilan manja antara mereka berdua apabila saling merindui antara satu sama lain. Masakan tidak, apabila susah dan senang, mereka sentiasa bersama. Anislah sahabat baiknya sejak Eera melangkah masuk alam sekolah menengah lagi.
“Waalaikummussalam.” Jawab Anis lalu memutuskan talian.
Eera menyambung kembali lamunannya di atas kerusi batu yang didudukinya sejak tadi lagi. Dia memikirkan masalah yang perlu dihadapinya di masa-masa yang akan mendatang sambil merenung dada langit yang terbentang luas dan dipenuhi bintang-bintang yang bergemerlapan.
Dalam keasyikan Eera mengelamun, ada sepasang mata yang asyik memerhatikan tingkahnya sejak tadi lagi. Haikal yang sedang berada di balkoni biliknya hanya melihat gerak geri gadis tersebut tanpa jemu. Dia tidak dapat mendengar perbualan Eera sebentar tadi. Namun segala gerak geri gadis tersebut dapat dilihat olehnya. Entah mengapa dia begitu tertarik sekali ingin menatap seraut wajah itu walaupun hanya kelihatan samar-samar didalam kegelapan dan jarak yang sedikit jauh.
Haikal memegang dadanya yang kebelakangan ini kerap kali berdenyut pantas. Puas sudah dia cuba mengelak. Namun semua itu sia-sia sahaja. Haikal tidak mengetahui perasaan apakah yang hadir didalam dirinya ini. Tetapi ternyata gadis tersebut selalu membuatkan jiwa lelakinya kacau-bilau jadinya.
‘Arhhhh!!! Tak mungkin aku suka dengan gadis itu. Gadis kampung seperti itu tidak layak dengan diri aku.’ Jerit Haikal menafikan semua perasaan aneh yang hadir didalam benaknya. Dia merasakan gadis tersebut tidak setaraf dengannya. Lagipun perempuan seperti Eera bukannya pernah jujur mencintai lelaki sepertinya melainkan inginkan harta. Peristiwa setahun yang lepas bermain-main kembali didalam kotak ingatannya tanpa dipinta. Haikal berdengus kasar dan mengatur langkah memasuki biliknya semula. Dia tidak mahu memikirkan apa-apa lagi saat ini.
****
Pagi itu Eera merasakan dia perlu melakukan sesuatu. Mungkin pekara yang bakal dilakukannya ini boleh dikatakan kerja gila. Tetapi bagi Eera ini semua perlu juga dilakukan untuk masa depannya. Tidak kisah lah orang hendak berkata apa sekali pun. Yang pasti hidupnya bahagia.
Semasa menjamu selera di ruang makan, Eera mengambil tempat betul-betul bertentangan dengan Haikal. Selalunya tidak pernah-pernah dia duduk bertentangan dengan lelaki itu. Tapi tidak untuk kali ini. Eera gagahkan juga dirinya untuk mengambil tempat tersebut.
Sepanjang mereka menjamu selera, mata Eera tidak lepas-lepas memandang Haikal. Setiap gerak geri lelaki tersebut dilihat dengan penuh tekun. Wajah lelaki tersebut turut ditenung olehnya. Hish… Kalau orang lain sedar ni boleh dikatakan dia sudah tergila-gilakan lelaki itu pula. Tapi tujuan Eera berbuat begitu adalah untuk mewujudkan rasa cinta untuk lelaki tersebut. Tapi boleh guna ke cara ini? Eera pun tidak tahu.
Eera merenung dalam-dalam wajah Haikal tanpa disedari lelaki tersebut. Dia melihat wajah lelaki itu yang boleh dikatakan tampan. Tampan ke? Memang tidak dinafikan oleh Eera yang wajah Haikal memang tanpan. Lelaki tersebut memiliki kening yang lebat dan mata yang sedikit kuyu menghiasi wajah tersebut. Manakala hidung lelaki itu pula benar-benar mancung pada pandangan Eera. Mata Haikal pula… emm.. kelihatan berwarna coklat cair kalau diamati betul-butul. Eh Mata? Ops! Eera baru menyedari yang dia sudah tertangkap oleh Haikal kerana begitu leka sekali memandang wajah lelaki itu.
Haikal mengangkat-angkat keningnya seperti bertanya kenapa sampai begitu sekali Eera memandang wajahnya. Eera hanya menggeleng sedikit kepalanya sambil tersenyum tawar. Malu usah dikatakan, memang dia teramat malu. Tetapi misinya untuk hari ini perlu diteruskan juga. Lagipun sudah alang-alang menyelup pekasam, biarlah sampai pangkal lengan.
Eera memerhati lagi Haikal yang berada di depannya itu. Biarlah hendak dikatakan gatal sekalipun. Dia sudah tidak kisah selagi dia tidak menilik betul-betul lelaki tersebut.
Kelihatan Haikal sudah tidak senang duduk dengan renungan Eera itu. Dia seolah-olah seperti cacing kepanasan saat ini. Pelik pula gadis di depannya itu. Dah hilang akal ke apa? Tenung orang bagaikan hendak tembus. Tetapi kenapa jiwanya sudah tidak tenteram apabila ditenung sebegitu rupa? Bukannya sebelum ini pun dia selalu sahaja ditenung oleh gadis-gadis yang managih cinta darinya.
“Jom! Kita dah lewat ni.” Haikal cuba mengalih tumpuan Eera yang masih merenung wajahnya. Dia sudah tidak senang duduk dan rasa ingin berlalu sahaja dari situ.
“Hmm ok.” Pendek sahaja jawapan Eera itu. Tanpa berlengah lagi dia terus sahaja mengatur langkah menuju kearah pintu utama.
Semasa didalam kereta, Haikal ingatkan dia dapat menarik nafas lega. Tetapi jangkaannya itu ternyata salah. Kelihatan Eera masih lagi tetap setia merenung kearahnya sehinggakan pemanduannya juga turut terganggu. Minah ni dah kena sawan ke apa? Rungut Haikal didalam hati.
“Kau ni kenapa? Dah tak ada benda lain nak pandang dah ke?” Tanya Haikal dengan perasaan yang tidak puas hati.
“Saja saya nak tenung wajah encik tu.” Beritahu Eera tanpa berselindung lagi dengan tujuan asalnya itu.
“Ish kau ni! Dah la. Pergi tengok benda lain. Tengok muka aku pun bukan dapat apa. Aku tau aku memang hansome. Tapi aku tak suruh pun kau tenung aku sampai macam ni sekali.” Nada suara Haikal sudah mula mengeras. Dia tidak selesa dengan pandangan Eera.
Eera mencebik. Sempat lagi Haikal hendak memuji diri sendiri. Walaupun begitu, Eera tetap juga dengan arah pandangannya yang jatuh pada wajah lelaki itu. Biarlah dia memulakan dengan menghafal setiap inci wajah Haikal itu.
“Huh kau ni! Tak faham bahasa betul.” Haikal berdengus. Dia menggunakan tapak tangan kirinya untuk menghalang pandangan Eera dengan menutup mata gadis tersebut. Cepat-cepat Eera menepis tangan Haikal dan menerus kembali renungannya yang tertangguh sebentar tadi. Kau memang gila Eera!
“Hish!” Haikal kegeraman. Dia sudah malas untuk menghalang. Tetapi apakan daya. Seribu kali pun dia mencuba untuk tidak memperdulikan pandangan tersebut, tetapi ia tetap juga tidak berhasil. Akhirnya Haikal sudah tidak keruan dengan pandangan tersebut.
Haikal betul-betul tidak menyangka yang hari ini dia benar-benar menjadi seorang lalaki yang kekok. Segala kerja yang dilakukan semuanya tidak menjadi. Jangan kata kerja, berjalan pun dia sudah merasakan tidak betul. Haikal benar-benar panas hati dengan pandangan Eera terhadapnya. Tidak putus-putus gadis tersebut merenungnya apabila memperolehi kesempatan ataupun masa terluang.
Haikal mula tersenyum apabila mengingati peristiwa semasa dia keluar dari tandas lelaki sebentar tadi. Tidak tersangka lagsung yang dia akan terserempak dengan Eera yang ingin masuk ke tandas wanita. Haikal menjadi tergamam melihat renungan wanita tersebut yang berhenti di hadapannya dan memandang seperti pengawal keselamatan. Atas, bawah Eera memandang tubuhnya. Haikal merasakan seperti dia tidak berpakaian pula saat itu. Terus sahaja Haikal merasakan bulu romanya meremang. Dia merasakan seperti gadis itu ingin merogolnya pula. Yang Haikal pula sempat juga mencengkap baju kemejanya di bahagian dada dengan kedua belah tangannya seolah-olah bahagian tersebut terdedah. Boleh pula dia melakonkan perkara sebegitu tanpa sedar. Haikal.. Haikal.. buat malu sahaja.

No comments:

Post a Comment